Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE #392: ADAKAH MASIH WUJUD ASNAF AL-RIQAB PADA ZAMAN SEKARANG?

irsyad fatwa392.png

 

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Kita mengetahui bahawa salah satu asnaf yang berhak menerima zakat ialah asnaf al-riqab iaitu hamba yang ingin memerdekakan dirinya. Soalan saya, masih wujudkah asnaf tersebut pada zaman sekarang ini?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT telah menetapkan lapan golongan yang layak mendapat zakat melalui firmanNya dalam surah al-Taubah, ayat 60:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 60)

Jika diperhatikan dalam ayat di atas, asnaf al-riqab diletakkan pada tempat yang kelima daripada lapan asnaf keseluruhannya. Para ulama’ membahagikan asnaf kepada muqaddam dan muakkhar berdasarkan turutannya dan kata awalannya iaitu, li (ل) dan fi (في) di dalam ayat. Maka, dibahagikan asnaf zakat seperti berikut:

  1. Asnaf Muqaddam (terawal dan didahulukan) : fakir, miskin, amil dan muallaf.
  1. Asnaf Muakkhar (terakhir dan dikemudiankan) : riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil. (Rujuk Fiqh al-Zakat, 2:70-71)

Dari sudut bahasa, al-riqab adalah kata jamak daripada perkataan mufrad al-raqabah yang membawa makna tengkuk atau leher. Hal ini mengisyaratkan bahawa terdapat belenggu yang menghalang seseorang daripada bebas dan merdeka sepertimana haiwan peliharan yang diikat lehernya. Ia juga kiasan kepada golongan hamba yang dibelenggu dengan perhambaan.

Dari sudut istilah pula, secara asasnya para fuqaha’ menafsirkan asnaf al-Riqab sebagai hamba al-Mukatab iaitu hamba yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah oleh tuannya dengan syarat membayar sejumlah wang. Hal ini seperti disebutkan oleh Syeikh Hasan al-Kaff bahawa:

وَهُوَ من كاتبه سيّدهُ كتابةً صحيحة فَيعْطى من الزَّكَاة ليسَاعِده ذلك فِي تَحْرِيرِ مِن الرقِّ

Maksudnya: Yang dimaksudkan asnaf al-riqab ialah hamba al-Mukatab iaitu seseorang yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah untuk dibebaskan oleh tuannya. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah: 424)

Namun begitu, jika dilihat realiti pada hari ini, perhambaan sudah hampir tidak wujud dan tidak kedengaran lagi di dunia ini. Hal ini kerana, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam article 4, The Universal Declaration of Human Right yang diumumkan pada 10 Disember 1948 telah menggariskan larangan amalan perhambaan dan perdagangan hamba untuk dilakukan oleh mana-mana negara atau institusi. (1) Justeru itu, tidak wujud lagi sistem perhambaan di dunia pada zaman kini, sama ada di negara yang maju mahupun negara yang miskin, sepertimana yang pernah ada pada zaman lalu.

Bahkan, Islam telah pun mendahului deklarasi ini dengan menetapkan denda-denda yang melibatkan hukuman memerdekakan hamba (Rujuk Fiqh al-Zakat Lil Qardawiy, 2:76). Sebagai contohnya, hukuman bunuh secara tidak sengaja dan kafarah sumpah. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ

Maksudnya: Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman.

(Surah al-Nisa: 92)

Firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.

(Surah al-Maidah: 89)

Oleh kerana itu, perhambaan di dunia pada masa kini dikira sebagai sudah tiada dan pupus. Justeru itu, ada dalam kalangan ulama’ kontemporari berpendapat bahawa tiada lagi asnaf al-riqab dan harta zakat golongan tersebut boleh diagihkan bahagiannya kepada asnaf-asnaf lain yang memerlukan.

Namun, sebahagian ulama’ pula meluaskan definisi al-riqab kepada segala bentuk yang bersifat perhambaan dan belenggu, yang bukan hanya terhad kepada golongan hamba al-mukatab semata-mata. Antaranya ialah Syeikh Yusof al-Qaradawiy, Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Mahmud Syaltut meluaskan definisi asnaf al-riqab kepada tawanan-tawanan perang muslim dan negara Islam yang ditakluki atau ditindas oleh orang kafir. (Rujuk Fiqh al-Zakat Lil Qardawiy, 2:77-78)

Tafsiran yang luas ini juga difatwakan dan dipraktikkan di Malaysia, antaranya Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan menyenaraikan asnaf al-riqab dengan golongan yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan diri dari belenggu tersebut. Golongan yang dikategorikan asnaf al-Riqab:

  • Kesalahan yang berhubungan dengan akidah.
  1. Kejahilan dalam agama seperti murtad;
  2. Ajaran sesat.
  3. Fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahlussunnah Wa Jamaah seperti liberalisme, orientialisme dan lain-lain.
  • Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.
  1. Menolak kemudharatan seseorang individu daripada belenggu pemikiran yang dialami.
  2. Perluasan asnaf ini bagi kes-kes: mencaci/menghina/mencabar agama atau institusi Islam.
  • Kesalahan berhubungan dengan kesusilaan.
  1. Menyelamat/melindungi wanita atau lelaki daripada terjerumus aktiviti-aktiviti tidak bermoral.
  2. Aktiviti pelacuran
  3. LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transgender) dan lain-lain.
  • Kesalahan yang berhubungan dengan dadah.
  1. Mereka-mereka yang terlibat secara langsung atau tidak seperti pengedar/penagih dan dalam proses pemulihan.
  2. Termasuk juga yang terlibat dalam lain-lain aktiviti penagihan seperti pil kuda, estacy dan seumpamanya.
  • Terbelenggu dengan penyakit kronik.
  1. Pesakit Aids/HIV/Tibi adalah terbelenggu dari segi kebebasan dan dari menjalani kehidupan yang sihat
  • Individu yang ditinggalkan dan tiada tempat bergantung.
  1. Bayi yang ditinggalkan ini terbelenggu kehidupannya daripada kejahilan terhadap agama, kebebasan dan harta.
  2. Diperluaskan kepada isteri/suami/ibubapa/anak-anak yang ditinggalkan adalah termasuk dalam belenggu agama, kebebasan dan harta.
  3. Diperluaskan juga kepada golongan gelandangan.
  • Kes-kes ancaman dan keselamatan.
  1.  Perluasan bantuan melalui asnaf bagi kes-kes yang mengancam keselamatan nyawa, maruah diri dan keluarga seperti hutang ah long.
  2.  Hilang tempat perlindungan kerana dihalau oleh keluarga/tuan rumah sewa.

Konsep dan Skim Agihan: berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat, dan memulih asnaf al-riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna sebagai muslim. Perluasan asnaf al-riqab bukan sahaja diberikan kepada pusat-pusat pemulihan, bahkan kepada individu-individu yang terlibat. (Rujuk Panduan Pengagihan Zakat Melalui Wakalah – Maiwp: 3-4)

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kami menyatakan bahawa pada zaman kini sudah tidak wujud lagi asnaf al-riqab seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab turath sebagai hamba al-mukatab iaitu, hamba yang dijanjikan dengan perjanjian yang sah oleh tuannya dengan syarat membayar sejumlah wang. Namun begitu, jika mengambil pendapat para ulama’ kontemporari yang meluaskan definisinya kepada golongan-golongan seperti tawanan perang, rakyat yang berada di dalam negara yang dijajah atau bergolak, golongan yang dibelenggu dengan masalah sosial dan akidah, dan seumpamanya, maka golongan asnaf al-riqab masih tetap wujud dan wajib diagihkan zakat kepada mereka. Kami juga berpandangan bahawa dengan meluaskan lagi makna al-riqab dengan merujuk kepada segala bentuk belenggu dan kekangan adalah lebih waqi’iy dan bertepatan maqasid al-syariah. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.

Rujukan

(1) https://www.un.org/en/universal-declaration-human-rights/