Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-433 : HUKUM BERENANG ATAU BERMANDI MANDA DI TEMPAT YANG DILARANG UNTUK MANDI

60c39a79 b756 4519 abc8 19eea50d2937

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Saya kerap kali melihat orang bermandi manda di kawasan larangan berenang/mandi seperti di kawasan pantai atau lombong atau lain-lain. Bukankah itu termasuk dalam perkara yang diharamkan kerana boleh membahayakan diri sendiri? Kerana apa yang saya faham, larangan tersebut tidak diletakkan sesuka hati melainkan demi kebaikkan bersama dan keselamatan. Mohon pencerahan Datuk Mufti.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Agama Islam sangat menekankan aspek penjagaan masa dalam kehidupan seharian. Kita dapat lihat melalui penetapan waktu-waktu solat, waktu bersahur dan berbuka puasa, dan lain-lain. Kita sering diingatkan agar mengurus masa dengan baik dan jangan sesekali mensia-siakannya.

Hukum asal berenang

Hukum asal berenang adalah harus. Lebih-lebih lagi ia termasuk di dalam aktiviti yang menyihatkan serta menguatkan tubuh badan. Saidina Umar bin al-Khattab R.A, pernah mengatakan :

عَلِّمُوا أَبنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ والرَّمْيَ

Maksudnya :Ajarlah anak-anak kamu berenang dan juga memanah.

Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (8297)

Begitu juga, aktiviti berenang tidak dikira sebagai sesuatu yang sia-sia. Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW :

كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ فَهُوَ لَهْوٌ وَسَهْوٌ، إِلَّا أَرْبَعَ خِصَالٍ : مَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ الْغَرَضَيْنِ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَمُلَاعَبَتُهُ أَهْلَهُ، وَتَعَلُّمُ السِّبَاحَةِ

Maksudnya : “Setiap perkara yang tidak disebut nama Allah SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat benda : Perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang.” Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat (8147)

Oleh itu, kita ketahui bahawa berenang termasuk di dalam perkara yang berfaedah dan bukannya perbuatan yang sia-sia. Malah, ia memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan.

Berenang di tempat larangan

Walau bagaimanapun, hukum harus tersebut bukanlah bersifat mutlak tetapi ia terikat selagimana tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syara’. Seseorang yang hendak berenang perlu pastikan aurat mereka terjaga, tiada percampuran antara wanita dan lelaki ajnabi, dan lain-lain.

Termasuklah juga perkara yang perlu dititik beratkan adalah dari segi soal keselamatan. Tidak boleh aktiviti berenang atau mandi manda tersebut dijalankan di kawasan larangan yang telah diwartakan berbahaya. Secara asasnya, larangan tersebut terbina atas konsep al-Maslahah al-Mursalah bagi menjaga nyawa (hifz al-nafs) yang merupakan salah satu daripada al-Daruriyat al-Khams (lima keutamaan yang perlu dipelihara).

Terdapat banyak nas-nas syara’ yang umum menyebutkan akan perkara ini seperti firman Allah SWT :

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya : “dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah : 195)

Begitu juga, sabda Nabi SAW :

‏ لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya : “Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat. Riwayat Ibn Majah (2341)

Oleh itu, kami cenderung kepada pendapat bahawa berenang atau mandi manda di tempat yang dilarang adalah haram. Lebih-lebih lagi, perbuatannya itu mendedahkan dirinya kepada bahaya. Ini juga sebagai satu langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar seperti kehilangan nyawa.

Dalam hal ini, para pemerintah berhak meletakkan apa-apa peraturan atau larangan demi kemaslahatan rakyatnya. Kaedah fiqh ada menyebutkan :

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya : “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”(Lihat al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Suyuti, hlm. 121)

Syeikh Muhammad al-Burnu berkata : "Kaedah fiqhiyyah ini bermakna hak pelaksanaan pemerintah terhadap rakyat dan apa yang mereka wajibkan ke atas rakyat sama ada mahu atau enggan tertakluk kepada hasil dan manfaat, sama ada berkaitan hal agama atau dunia." (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 2/57)

Kesimpulannya

Tuntasnya, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami cenderung menyatakan bahawa berenang atau bermandi manda di kawasan yang dilarang adalah haram. Lebih-lebih lagi, jika perbuatannya itu mendedahkan dirinya kepada bahaya. Oleh itu, ini juga sebagai satu langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar seperti kehilangan nyawa.

Perkara ini bertepatan dengan konsep al-Maslahah al-Mursalah bagi menjaga nyawa (hifz al-nafs) yang merupakan salah satu daripada al-Daruriyat al-Khams (lima keutamaan yang perlu dipelihara).

Selain itu, pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting seperti mewartakan tempat larangan berenang atau bermandi manda di kawasan tertentu, demi menjaga keselamatan dan nyawa rakyatnya. Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat pula untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam perkara-perkara yang baik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.