Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-443: HUKUM MEMBERI NAFKAH KEPADA BAPA YANG MUNGKAR

irsyad443

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti. Saya ingin bertanyakan satu soalan berkenaan hukum memberi nafkah kepada bapa yang selalu bermain judi dengan duitnya? Adakah tetap perlu diberi nafkah atau bagaimana? Adakah ia dikira sebagai derhaka terhadap ibu bapa? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.

Surah al-Isra’ (23)

Melalui firman ini, Allah S.W.T telah memerintahkan agar anak-anak berbuat baik terhadap ibu bapa mereka. Syeikh al-Sa’di berkata ayat ini menerangkan suruhan agar berlaku ihsan yakni berbuat baik kepada keduanya (ibu bapa) dengan segala jenis bentuk ihsan sama ada berbentuk lafaz mahupun perbuatan kerana mereka berdua merupakan sebab kewujudan seseorang hamba dan melalui mereka terbitnya perasaan kasih sayang terhadap seorang anak, ihsan mereka terhadapnya dan juga betapa akrabnya hubungan mereka terhadap anak menyebabkan mereka berdua lebih berhak dan wajib bagi  seseorang anak berlaku baik kepada keduanya. [Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm. 456].

Sehubungan dengan itu, para ulama’ telah bersepakat bahawa wajib ke atas setiap anak untuk menafkahi ibu bapanya bersandarkan kepada firman Allah S.W.T yang telah dinyatakan di atas. [Lihat juga: Mughni al-Muhtaj; 5/183].

Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T:

وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

Maksudnya: dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.

Surah Luqman (15)

Serta firman Allah S.W.T:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْنًاۖ

Maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;

Surah al-‘Ankabut (8)

Namun begitu, terdapat beberapa syarat yang menjadikan kewajipan ini terletak ke atas seseorang anak, antaranya adalah si pemberi nafkah hendaklah seorang yang tidak berada dalam kesusahan dari sudut kewangan dan juga tanggungan yakni setelah diutamakan nafkah ke atas dirinya dan ahli keluarganya. Perkara ini ada disebut di dalam kitab karangan Imam al-Syirbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj (5/184-185). 

Hal ini kerana disandarkan kepada salah satu hadith Nabi Muhammad S.A.W:

«ابْدَأْ بِنَفْسِك فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِك، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِك شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِك فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا»

Maksudnya: “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu”.

Riwayat Muslim (997)

Kedua, tidak diwajibkan untuk menafkahi orang yang mempunyai pekerjaan dan memperoleh gaji daripadanya dengan rezeki halal yang boleh menampung keperluannya, namun jika mereka bekerja tetapi tidak memperoleh sebarang wang pendapatan atau sebarang faedah, maka mereka ini berhak untuk dinafkahi. [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 5/185].

Oleh yang demikian, tidak diwajibkan bagi seorang anak menafkahi ibu bapanya yang kaya atau berkemampuan, dan juga tidak wajib ke atasnya menafkahi kedua ibu bapanya dalam keadaan dirinya tidak mampu. Namun, jika seseorang anak itu tetap menafkahi ibu bapanya meskipun ibu bapanya ialah orang kaya atau berkemampuan, maka ia adalah sunat sebagai tanda berbuat kepada baik kepada kedua ibu bapa, menghubungkan silaturrahim, mengharapkan ganjaran pahala dan juga menginginkan kasih saying kedua ibu bapa serta keredhaan mereka. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W:

رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الوَالِدِ، وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Maksudnya: "Redha Allah terdapat pada redha seorang ayah, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang ayah”.

Riwayat Tirmizi (1899)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, mengenai hukum bagi seseorang anak menafkahi ibu bapanya yang mungkar, yakni jika diberi nafkah tersebut kepada mereka, mereka akan menggunakannya ke arah yang tidak dibenarkan syarak seperti digunakan untuk berjudi, membeli arak dan bermacam-macam lagi bentuk kemaksiatan terhadap Allah S.W.T.

Dalam hal ini, Allah S.W.T telah berfirman:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَاۖ

Maksudnya: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka.

Surah Luqman (15)

Melalui ayat ini, jelas menunjukkan bahawa sekiranya ibu bapa menyuruh atau mendesak seseorang anak bagi menyekutukan Allah S.W.T, maka tidak boleh bagi seseorang anak itu mentaati perintah mereka dalam hal ini.

Ini juga berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad S.A.W:

لاَ طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الخَالِقِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakakan Pencipta”.

[Lihat: al-Jami’ al-Soghir; 1/13477 (13477)]

Dalam hal ini, jelas dinyatakan bahawa sekiranya ibu bapa meminta anaknya melakukan sesuatu yang dilarang Allah S.W.T, maka dalam bab ini tidak boleh anak tersebut taat akan perintah kedua ibu bapanya. Meskipun begitu, dalam konteks kali ini, walaupun ibu bapa tidak menyuruh anaknya melakukan kemungkaran, namun mereka melakukan kemungkaran hasil nafkah yang diberikan oleh anak-anak mereka, maka dalam hal ini, mencegah itu adalah lebih baik. Ini kerana kaedah Fiqh menyebut:

ما أدى إلى حرام فهو حرام

Maksudnya: Apa-apa perkara yang membawa kepada haram, maka haram hukumnya.

Di samping, kaedah Fiqh yang berbunyi:

درء المفسدة مقدم على جلب المصلحة

Maksudnya: Menolak kerosakan didahulukan daripada mengambil kemaslahatan.

Maka, berdasarkan kepada dalil-dalil ini, seorang anak tidak seharusnya menafkahi ibu bapanya yang mungkar meskipun mereka itu miskin kerana dengan nafkah tersebut, boleh membantu mereka untuk melakukan maksiat kepada Allah S.W.T. Maka, apatah lagi sekiranya mereka berkemampuan, maka amatlah tidak digalakkan bagi menafkahi mereka jika dengan nafkah tersebut dikhuatiri akan digunakan untuk perkara kemaksiatan.

Meskipun begitu, kami lebih tertarik terhadap jawapan yang dikeluarkan oleh Fatawa al-Lajnah al-Daimah ketika mereka ditanya akan hukum memberi nafkah kepada seorang bapa yang suka minum arak, maka jawapan mereka:

إذا كان الواقع كما ذكر من أنه يشرب الخمر، وكان عنده ما يكفيه لحاجته المباحة - فصاحبه في الدنيا بالمعروف، وأحسن إليه بما تيسر لك، مما لا يتمكن من صرفه في محرم؛ مثل أن تعطيه كسوة أو كيس أرز، أو شيئا مما يكون أثاثا للبيت؛ من سجادة أو أواني، وتبش في وجهه وتكلمه كلاما لينا سمحا ونحو ذلك من المعروف والإحسان، مع نصيحته بترك شرب الخمر وسائر المحرمات.

Maksudnya: Sekiranya dalam keadaan ini seperti yang dikatakan bahawa bapanya seorang yang suka minum arak, dan dia tiada duit yang mencukupi bagi keperluannya, maka bergaullah dengannya dengan cara yang baik, dan berbuat baiklah kepadanya dengan apa yang mudah bagi kamu, dan dengan apa-apa barangan yang dia tidak boleh gunakan untuk perkara yang haram seperti memberinya pakaian, atau beras atau sebagainya daripada kelengkapan dan perabot rumah seperti sejadah atau bekas, dan ceriakan wajahnya kemudian katakan padanya dengan kata-kata yang baik lagi lemah lembut berserta menasihatinya agar meninggalkan perbuatan meminum arak serta seluruh perkara haram yang lain. [Rujuk: Fatawa al-Lajnah al-Daimah; 25/173-174].

Penutup

Kesimpulannya, kami menyatakan di sini bahawa seseorang anak itu tidak boleh menafkahi bapanya yang mungkar, kecuali diiringi dengannya beberapa perkara:

  • Bapa tersebut tidak mempunyai wang yang cukup atau tidak mampu untuk menyara dirinya bagi menjalani kehidupan seharian.
  • Mengelakkan nafkah dalam bentuk pemberian tunai untuk mengurangkan risiko ia disalahgunakan dengan memberikan makanan, minuman, pakaian, membayar bil elektrik, air dan sebagainya.
  • Mestilah diiringi dengan nasihat agar si bapa menghentikan perbuatan mungkar dan maksiat tersebut.

Maka, dalam hal ini, jika kesemua ini bergerak seiring maka ia dibolehkan dengan harapan agar nafkah tersebut dapat melembutkan hati si bapa di samping sentiasa menasihatinya agar meninggalkan maksiat kepada Allah S.W.T. Semoga Allah S.W.T memberi kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, moga Allah menetapkan keimanan dalam hati, memberikan keringanan dan keikhlasan dalam beribadah seterusnya menjauhkan diri kita dari melakukan maksiat dan juga kemungkaran terhadapNya.

Wallahua’lam.