Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

TALIQ

 

Soalan

Assalammualaikum,  isteri  menerangkan contoh  lafaz ta’liq kepada suami seperti “ kalau kau keluar daripada rumah ini, kau tertalaq” , kemudian bertanya kepada suami, adakah pernah melafazkan ta’liq tersebut,  lantas suami menjawab “ ada”  dan terus bercakap  “mana ada, main-main sahaja”.  Adakah  jatuh talaq  sekiranya tidak melafazkan dan hanya menjawab “ada:”? Sekiranya sabit talaq, adakah dibolehkan  tarik semula lafaz ta'liq ?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Taʻliq  ialah  suami mengantungkan talaq kepada  isterinya  dengan sifat atau syarat  yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa  hadapan. (Lihat : al-Fiqh al-Manhaji  (2/128)

Fuqaha  empat mazhab  sependapat sabit talaq dengan lafaz  ta’liq. Hal ini kerana fuqaha berhujah  berdasarkan dalil  pensyariatan talaq secara mutlak merupakan hak suami sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya : Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.

Surah al-Baqarah ( 229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق ). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak keatas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya.( Lihat : al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu (7/447)

Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta’liq  ialah  jika, apabila, kalau dan seumpamanya.  Sebagai contoh “  Kamu tercerai sekiranya keluar daripa rumah ini”. (Lihat : al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu (7/444) Rasulullah SAW bersabda :

 الْمُسْلِمُونَ عند شُرُوطِهِمْ 

Maksudnya :  “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

   Riwayat al-Hakim (1352)

Implikasi talaq  ta’liq:

  • Tidak jatuh talaq selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Mereka kekal sebagai suami isteri selagi syarat yang dikaitkan dengan ta’liq tidak berlaku walaupun ia pasti berlaku “ Apabila tiba bulan ramadhan engkau tercerai”
  • Jatuh talaq apabila syarat yang berkaitan itu berlaku (Lihat : al-Fiqh al-Manhaji (2/128)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan,  kami bahagikan kepada dua isu iaitu pertanyaan untuk mengetahui tentang talaq dan sekiranya sabit talaq, adakah boleh ditarik semula lafaz ta’liq?

  • Pertanyaan untuk mengetahui tentang talaq

Seorang ingin mendapatkan berita talaq, lalu bertanyaAdakah kamu mentalaqkan isterimu? Suami menjawab: Ya’ atau seumpamanya,  maka hukumnya seperti berikut:

  • Suami iqrar dengan talaq, jika dia berdusta, isterinya  itu dianggap isteri pada batin (kerana jatuh talaq pada  pada zahirnya).
  • Jika suami bermaksud talak dan telah pun rujuk, hendaklah dia benarkan dengan sumpahnya.
  • Jika ditanya untuk meminta dia menjatuhkan talaq, lantas suami menjawab: Ya: atau seumpanya, maka hal tersebut dihukumkan sarih (jelas) dan jatuh talaq pada masa itu. (Lihat : Matla’ al-Badrain , Disusun oleh PMWP (3/132).

Sehubungan itu,  lafaz ta’liq  adalah sebahagian daripada jenis talaq, maka sekiranya suami menjawab “ya” dan seumpamanya bagi   pertanyaan untuk pengetahuan  tentang talaq, maka suami perlu bertindak melakukan iqrar  (pengakuan)  dengan talaq atau sumpah sekiranya telah rujuk dan  sabit talak sarih  bagi jawapan “ya” sekiranya meminta menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, jatuh talaq bagi lafaz ta’liq selepas berlaku perkara  yang telah disyaratkan.

Persoalan seterusnya,  sekiranya sabit lafaz ta’liq tersebut, adakah boleh ditarik semula lafaz ta’liq  sebelum  syarat yang dikaitkan dengan ta’liq  tidak berlaku? Berikut pandangan fuqaha berkaitan tarik semula lafaz ta’liq   :

  • Tarik Semula Lafaz Ta’liq

Fuqaha berselisih pendapat terhadap  isu tarik  semula  lafaz ta’liq kepada beberapa pandangan berikut :

  • Majoriti fuqaha mazhab berpendapat bahawa lafaz ta'liq tidak boleh dibatalkan apabila telah diucapkan, Hal ini kerana  lafaz cerai bersyarat  seolah  suami telah melaksanakan lafaz talaq.
  • Mazhab Hanbali berpendapat harus membatalkan atau menarik semula lafaz ta’liq. Hal tersebut berdasarkan qiyas (menyamakan) seseorang yang menyatakan kepada hambanya “ Apabila datang awal bulan, maka kamu dibebaskan” Maka, tuan mempunyai hak untuk menarik kembali pembebasan hambanya.
  • Syeikh Ibn Taymiyyah berpendapat harus menarik semula lafaz ta’liq sekiranya akad itu adalah akad mua’wadhah (tukar ganti). Sebagai contoh lafaz seorag suami “Sekiranya kamu berikan aku seribu, maka kamu akan tertalaq”. Maka, suami berhak merujuk semula  ( tarik semula) selagi  isteri tidak memberikannya seribu. (Lihat: al-Syarh al-Mumti’  (13/ 127- 129)

Penutup

Tuntasnya, setelah diteliti dalil-dalil serta pandangan para fuqaha, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara berikut :

  • Sabit talaq melalui pertanyaan dan dibuktikan dengan cara iqrar dengan talaq atau sumpah sekiranya telah rujuk.
  • Sabit talaq dengan lafaz ta’liq apabila berlaku perkara yang disyaratkan  dan tidak boleh ditarik balik  berdasarkan pandangan majoriti fuqaha.
  • Lafaz ta’liq merupakan sebahagian daripada konsep talaq. Maka,  perbuatan bermain-main mahupun bergurau dengan lafaz talaq bukannya halangan untuk menidakkan jatuh talaq selagi pihak suami dalam keadaan  faham  (rusyd ), baligh dan pilihannya sendiri. Hal ini kerana  perkara yang melibatkan talaq tidak boleh dibuat main-main.

 Nabi SAW  menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

MaksudnyaTiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak).

Riwayat Abu Daud (2194)

Hadith di atas jelas menunjukkan larangan tidak bermain-main dalam tiga perkara. Hal ini kerana gurauan tiga perkara tersebut akan dihukumkan sebagai maksud asal perkataan  tanpa mengira niat untuk bergurau.

Walaubagaimanapun, pasangan  suami  isteri perlu hadir ke mahkamah syariah  untuk mendapatkan pengesahan berkaitan lafaz talaq sama ada melibatkan lafaz talaq secara lansung  (التنجيز) atau secara tidak langsung  (التعليق ).

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya.