SOALAN
Saya lihat trend terkini pelbagai video TikTok telah tersebar luas di media sosial dan mudah menjadi ikutan masyarakat tanpa mengira usia. Persoalan saya, Apakah hukum bermain TikTok dengan memuatnaik aktiviti berjoget mengikut trend di aplikasi TikTok,? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti, Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Konsep permainan TikTok
TikTok merupakan aplikasi telefon yang membenarkan pengguna merakam video yang diiringi pelbagai genre muzik sebagai latar belakang. Iringan muzik tersebut boleh dipercepatkan, diperlahankan dan boleh ditapis dengan beberapa pengubahsuaian. Pengguna juga boleh menghasilkan video komedi dan melakukan pergerakan mulut secara senyap seiring dengan rentak muzik yang popular (lip-sync). Selain itu, TikTok menyediakan perkhidmatan untuk menyebar luas video yang telah dihasilkan rangkaian media sosial. [1] Dapat difahami bahawa TikTok hanyalah sebuah aplikasi yang akan dicorakkan oleh penggguna untuk menari mengikut rentak yang dimainkan dalam tempoh beberapa minit. Kemudian, permain TikTok boleh berkongsi video yang dirakam ke rangkaian media sosial. Aplikasi sejenisnya seperti Musicly dan Dubsmash.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami akan membahagikan kepada dua perbahasan iaitu hukum bermain TikTok dan hukum memuatnaik video TikTok ke rangkaian media sosial bagi tatapan umum. Hal ini video TikTok mudah tersebar luas dengan pantas hanya dihujung jari sekaligus menjadi ikutan masyarakat tanpa mengira usia sama ada lelaki mahupun wanita.
Hukum bermain TikTok
Pada dasarnya sebarang aplikasi media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube, WhatsApp, Instagram mahupun TikTok yang digunakan untuk perkara yang manfaat adalah dibolehkan. Hal ini bertepatan kaedah berikut :
الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
Maksudnya:” Pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamnya
Pengguna yang bertanggungjawab mengurus sebarang aplikasi sama ingin memandu kepada jalan yang bermanfaat mahupun jalan yang membawa kerosakan. Justeru, hukum harus boleh berubah kepada hukum lain tertakluk cara pengguna mengendalikannya. Hal ini, situasi gambaran isu kadangkala boleh menatijahkan hukum yang berbeza berdasarkan kaedah umum yang menyebut:
الحكم على الشيئ فرع عن تصوره
Maksudnya: “Hukum terhadap sesuatu perkara merupakan cabang daripada gambarannya'
(Lihat al-Ta'rifat, (59); al-Kulliyyat, 290)
Aplikasi TikTok boleh dikategorikan sebagai hiburan. Persoalannya, adakah bermain TikTok termasuk hiburan yang dibenarkan syarak ?
Beberapa penetapan hukum dalam hiburan antaranya ialah:
- Makruh, sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik kepada manusia kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
- Haram, sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat. Ini seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak
- Dibenarkan dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/521-522)
Merujuk kepada fungsi TikTok mahupun sebarang persamaan aplikasi tersebut yang merakam pelbagai gaya tarian mengikut genre muzik, maka permainan video TikTok hanya sia sia dan tidak mendatang sebarang faedah dan kategori hiburan yang dihukumkan makruh.
Hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir RA, daripada Nabi SAW:
لَيْسَ مِنَ اللَّهْوِ إِلاَّ ثَلاَثٌ : تَأْدِيبُ الرَّجُلِ فَرَسَهُ وَمُلاَعَبَتُهُ أَهْلَهُ وَرَمْيُهُ بِقَوْسِهِ وَنَبْلِهِ
Maksudnya: Tidak termasuk perkara yang hiburan sia-sia melainkan tiga perkara: Seseorang yang melatih kudanya, bermesra dengan isterinya dan memanah dengan menggunakan busur anak panahnya.
Hadis riwayat Abi Daud (2513)
Hukum Memuatnaik Video Tik Tok
Kami bahagikan perbahasan hukum memuatnaik video TikTok kepada dua jenis permainan iaitu video (lip-sync) dan video tarian TikTok
- (Lip-sync)
Pengguna aplikasi TikTok boleh merakam (lip-sync) iaitu pergerakan mulut serta menunjukkan aksi-aksi mimik muka mahupun menjeler lidah dan melibatkan sebahagian pergerakan anggota badan dengan iringan muzik yang dimainkan. Gaya tersebut jelas menghilangkan akhlak sebagai seorang muslim sejati. Walaupun video TikTok yang dimuatnaik hanya melibatkan pergerakan mimik muka namun dikhuatiri video tersebut punca menaikkan syahwat bagi setiap mata yang memandang sekalipun pemain video TikTok wanita yang menutup aurat. Hal tersebut dibimbangi dengan kadar sangkaan yang kuat (ghalabah az-zhan) menimbulkan fitnah dan kemudaratan pada agama. Maka ia diharamkan berdasarkan kaedah sadd al-zarai’, iaitu mencegah perkara-perkara yang boleh membawa kepada yang haram. Hal ini bertepatan kaedah fiqh berikut :
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.
Ini juga berdasarkan satu kaedah:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya:” Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah”
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Begitu juga tujuan penggunaan aplikasi video TikTok untuk menyebarkan perkara yang boleh mengundang fitnah sesama manusia:
الوسائل لها أحكام المقاصد
Maksudnya: Kesemua wasilah (cara) baginya adalah berdasarkan hukum yang hendak dicapai
- Tarian TikTok
Realiti terkini, tarian Tiktok Suling Sakti Sponge Bob sedang menjadi trend ikutan masyarakat rentetan video TikTok mudah tersebar luas di alam maya. Tarian tersebut melibatkan pergerakan tangan, dada dan punggung yang berlatar belakang muzik. Bahkan, segelintir pemain TiKTok bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dalam merakam tarian dengan gaya yang memberahikan tanpa rasa malu. Hal ini jelas telah menimbulkan fitnah dan syahwat bagi sesiapa yang memandang. Ini bertentangan dengan syariat Islam yang sangat menitikberatkan batas-batas pergaulan dan penjagaan aurat sesama manusia dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT :
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
Surah al-Nur (30-31)
Ayat di atas adalah merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka (Lihat: al-Tafsir al-Muyassar, (353)
Dr. Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa menjaga pandangan dan kemaluan merupakan satu kehormatan dan kemuliaan. Ianya bertujuan untuk menutup pintu kerosakan dan mencegah daripada terjadinya sesuatu perkara yang haram. (Lihat: al-Tafsir al-Wasit li al-Zuhaili ( 2/1746)
Nabi SAW bersabda :
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya : “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan lain”
Riwayat Muslim (338)
Sehubungan itu, permainan video TikTok hanyalah sia-sia dan tidak mendatangkan sebarang faedah. Bahkan, trend gaya tarian Tiktok jelas menghilangkan nilai akhlak seorang muslim sejati selain mengundang mudarat kepada agama dan ancaman fitnah.
Rasulullah SAW bersabda:
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
Maksudnya: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”
Riwayat al-Tirmizi (11).
Penutup
Kesimpulannya, pengguna bertanggungjawab mengurus sebarang aplikasi sama ingin mengendalikan ke arah bermanfaat mahupun jalan yang membawa kerosakan. Justeru, hukum harus boleh berubah kepada hukum -hakam lain tertakluk cara pengguna mengendalikannya. Namun, hukum permainan video TikTok yang merakam pelbagai gaya tarian mengikut genre muzik hanya perbuatan sia-sia dan tidak mendatang sebarang faedah. Pemain TikTok dilarang memuat naik video tarian TikTok mahupun aksi mimik (Lyp Sinc) di media sosial. Larangan tersebut bertujuan menutup pintu kerosakan (sadd al-zara’i) selain boleh menimbulkan ancaman fitnah bagi sesiapa yang melihatnya.
Oleh yang demikian, umat Islam perlu memelihara diri daripada sebarang hiburan yang tidak mendatangkan faedah serta boleh menjatuhkan maruah individu sekaligus mengugat nilai-nilai akhlak seorang mukmin. Semoga kita terhindar daripada golongan tersebut, Sabda Rasulullah SAW :
لَيَكونَنَّ مِن أُمَّتي أقْوامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَ والحَرِيرَ، والخَمْرَ والمَعازِفَ
Maksudnya : Sungguh akan ada sebagian dari umatku yang menghalalkan zina, sutera, minuman keras, dan alat-alat musik
Riwayat al-Bukhari ( 5590)
Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik dalam beragama dan menjalani kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar.
.