Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

PUTIH

 

SOALAN

Saya mengalami keputihan yang berterusan tanpa mengira waktu,  ketika saya mendirikan solat   keputihan akan tetap mengalir,  adakah saya perlu membatalkan solat dan mengulangi wuduk semula?

Mohon pencerahan. Terima kasih 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat

Sebagai mukadimah,  perkara yang perlu diperhalusi ialah perbezaan kelembapan faraj dan keputihan:

Lembapan faraj  (رطوبة الفرج)  ialah  cairan putih jernih yang diragukan  sama ada sifatnya   antara  mazi dan peluh. (Lihat  al-Majmu’, 2/570).  Cecair ini keluar daripada kawasan faraj yang zahir apabila wanita duduk mencangkung. Kawasan faraj zahir yang sampai kepadanya had  zakar ketika berjimak mengikut pendapat yang paling sahih ( Lihat  Hasyiyah  al-Bujairimiala al-Khatib (1/108). 

Keputihan   ( الإفرازات/ رطوبة جوفية ) adalah cecair yang keluar  daripada bahagian batin faraj seperti air mazi, air wadi dan sebagainya.  Had batin faraj iaitu tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak (Lihat Hasyiyah Jamal  (1/178).  Hasil kajian beberapa wanita   mendapati cecait keputihan menyerupai warna gam pekat yang  berwarna putih atau hingus yang berwarna putih  dan kadang-kadang bercampur warna kekuningan   dan sedikit hijau. ( Lihat Tuhfah al-A‘izza (242))

Keputihan (leukorrhea)   menurut kamus  perubatan  ialah pengeluaran lendiran  putih atau kuning daripada faraj atau serviks.[1] Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal  kerana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Namun ciri-ciri  keputihan berpenyakit adalah keluar lendir kental berwarna kelabu, kuning atau hijau  berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada faraj   atau dikenali keputihan patologi. Penyakit keputihan patologi  adalah berpunca daripada jangkitan kuman (bakteria atau kulat) perlu dirawati [2].

Hukum  keputihan

Berkata Imam Syafie dalam kitab al Umm:

كُلِّ مَا خَرَجَ مِنْ ذَكَرٍ مِنْ رُطُوبَةِ بَوْلٍ، أَوْ مَذْيٍ أَوْ وَدْيٍ أَوْ مَا لَا يُعْرَفُ، أَوْ يُعْرَفُ فَهُوَ نَجِسٌ كُلُّهُ مَا خَلَا الْمَنِي

Setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada  kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani ( Lihat  al-Umm 1/72). Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj  selain  mani, maka statusnya najis.

Keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Apabila cecair keluar daripada kawasan faraj yang  tidak wajib dibasuh dinamakan   ( رطوبة جوفية). (Lihat Hasyiyah Jamal  (1/178), Lihat  Hasyiyah  al-Bujairimiala al-Khatib (1/108).

Syeikh Muhammad Shalih Al-‘Utsaimin  berpendapat,

Keputihan membatalkan wuduk seperti angin dan kencing yang keluar daripada dalam. Akan tetapi jika keputihan  keluar terus-menerus, maka tidak membatalkan wuduk. Oleh itu, tidak mengambil wuduk melainkan setelah masuk waktu dan wuduk bagi setiap waktu dan amalan lain seperti membaca al-Quran  (Lihat Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin : (1/284 - 285)

Hukum  lembapan faraj

Fuqaha mazhab syafie saling berselisih pendapat terhadap  status hukum kelembapan faraj:

رُطُوبَةُ الْفَرْجِ مَاءٌ أَبْيَضُ مُتَرَدِّدٌ بَيْنَ الْمَذْيِ وَالْعَرَقِ فَلِهَذَا اُخْتُلِفَ فِيهَا ثُمَّ إنَّ الْمُصَنِّفَ رَحِمَهُ اللَّهُ رَجَّحَ هُنَا وَفِي التَّنْبِيهِ النَّجَاسَةَ وَرَجَّحَهُ أَيْضًا الْبَنْدَنِيجِيُّ: وَقَالَ الْبَغَوِيّ وَالرَّافِعِيُّ وَغَيْرُهُمَا الْأَصَحُّ الطَّهَارَةُ وقال صاحب الحاوى في باب ما يوجب الغسل نص الشافعي رحمه الله في بعض كتبه علي طهارة رطوبة الفرج

Lembapan faraj itu cairan keputihan  yang meragukan antara cecair  mazi atau peluh. Oleh itu, para ulama berbeza pendapat mengenai hukumnya. Kemudian, penulis (al-Syirazi) dalam kitab ini (al-Muhadzzab) dan kitab at-Tanbih, cenderung berpendapat bahawa hukumnya najis. Pendapat ini dipilih juga al-Bandaniji. :Telah berkata al-Baghawi dan al-Rafie yang paling sahih adalah suci. Pengarang  kitab al-Hawi mengatakan dalam bab apa yang  menyebabkan mandi wajib, Imam  Syafie menegaskan dalam sebagian kitab-kitabnya bahawa lendir faraj wanita hukumnya adalah suci.(Lihat  al-Majmu Syarh al-Muhadzzab, (2/570).

al-Mawardi menjelaskan,

قوله وفي رطوبة فرج المرأة روايتان  إحداهما هو طاهر وهو الصحيح من المذهب مطلقا

Pendapat mengenai lendir daripada faraj  wanita ada dua pendapat salah satunya adalah suci dan inilah yang shahih dalam mazhab kami secara mutlak. (Lihat  al-Majmu Syarh al-Muhadzzab, 2/570)

Basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang datang dari had zahir faraj wanita  dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk. Basahan ini disebabkan  oleh  lembapan peluh  daripada had zahir faraj wanita dan tercapai zakar ketika jimak pendapat paling sahih adalah suci. (Lihat  Hasyiyah  al-Bujairimiala al-Khatib (1/108). Hal ini lembapan keluar di kawasan faraj yang wajib dibasuh, maka tidak menajiskan zakar ketika berjimak kerana ia dihukumkan suci  (Lihat Hasyiyah Jamal  (1/178)

Muzakarah Tabung Haji membincangkan bahawa lembapan faraj  terhasil daripada mukosa faraj  (selaput lendir daripada lapisan kulit dalam) untuk mengelakkan kulit daripada melekat dan kering. Lembapan faraj tersebut tidak membatalkan wuduk kerana sama keadaannya dengan seseorang yang menjulurkan lidahnya, kemudian memasukkan kembali dan menelan air liur yang terdapat dalam lidahnya.[3] Sekiranya lembapan faraj membatalkan wuduk. Nescaya wuduk akan  sentiasa batal pada setiap masa kerana basahan tidak terpisah daripada  had zahir wanita.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, wanita yang sentiasa keluar najis  keputihan ketika melaksanakan solatnya tidak perlu mengulangi wuduknya kerana diluar kawalan selain dihukumkan seperti wanita istihadah. Namun, satu wuduk hanya sah  untuk satu fardu solat dan beberapa amalan sunat

Panduan wanita keputihan ketika perlaksanaan ibadah

Sehubungan itu, wanita yang keluar  keputihan berterusan  hukumnya seperti wanita istihadah yang sentiasa dalam keadaan   hadas  daim al-hadath ( دائم الحدث). Maka,  beberapa perkara yang perlu diambil perhatian  oleh wanita  yang mengalami keputihan berterusan seperti  berikut :

  • Membasuh faraj daripada najis keputihan
  • Memakai tuala wanita seperti pantyliner dipermukaan faraj agar tidak mengalir keluar
  • Mengambil wuduk setelah masuk waktu
  • Wuduknya hanya sah untuk satu waktu solat fardu dan beberapa solat sunat [4]

Kaedah ini berdasarkan  beberapa riwayat berikut

Fatimah binti Hubaisy datang menemui Rasulullah SAW untuk menceritakan tentang darah istihadahnya, Lalu Baginda bersabda :

ثم اغتسلي ثُمَّ يَتَوَضَّي لكل صلاة و وصَلِّي

Maksudnya : “ Mandilah, kemudian berwuduklah bagi setiap waktu solat dan solatlah

Hadis riwayat Abu Daud  (298)

Bacaan tambahan : al Kafi # 347  Beza mani, Mazi dan Wadi

Penutup

 Setelah meneliti dalil serta hujahan fuqaha, kami simpulkan bahawa hukum   keputihan dan kelembapan faraj  adalah berbeza seperti  berikut :

1) Lembapan faraj  keluar dari tempat yang diwajibkan basuh ketika istinjak iaitu yang jelas ketika duduk mencangkung (had zahir) adalah suci dan tidak membatalkan wuduk

2)  Keputihan ialah cecair yang keluar daripada  dalaman  faraj (batin al-faraj) adalah najis dan membatalkan wuduk.

3) Keputihan yang keluar berterusan dihukumkan seperti wanita istihadah dan sah wuduk untuk satu solat fardu.

Akhir kalam, semoga Allah SWT  memberikan kefahaman  yang sahih dalam beragama. Ameen

 

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Leukorrhea, Dorland's Medical Dictionary

[2] http://www.myhealth.gov.my/penyakit-keputihan/

[3] Lembaga Tabung Haji, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke -28

[4]  Panduan  ini dilakukan oleh wanita istihadah dan keputihan berterusan  semasa  mengerjakan solat,  ibadah haji, tawaf fardu serta rukun-rukunnya.( Lihat Panduan Ibadah Haji  Umrah dan Ziarah  (166)