Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE – 478: ADAKAH BIL AIR TERMASUK NAFKAH WAJIB KEPADA ISTERI

bil air

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Mufti. Saya mempunyai satu kemusykilan. Saya pernah dengar pandangan seorang ustaz yang mengatakan air yang digunakan isteri ketika tinggal bersama suami di rumah kediaman tidak termasuk dalam kategori nafkah wajib? Benarkah pandangan sebegini. Mohon penjelasan.

Jawapan

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda SAW, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Kami mulakan perbahasan nafkah dengan firman Allah swt. Terdapat pelbagai Nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, Firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

Surah al-Talaq (7)

Nafkah adalah pembelanjaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/274)

Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada dibawah tanggungannya itu ialah seperti:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 4/542)

Dalam perbincangan yang lain, para ulama bersepakat bahawa nafkah yang wajib ke atas suami secara umumnya ialah tempat tinggal, makanan dan minuman, pakaian dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Manakala, perkara lain seperti ubat-ubatan dan kos rawatan diperselisihkan para ulama kerana kemudaratan kesihatan bukan perkara hajat yang sering terjadi, sebaliknya berlaku dalam keadaan tiba-tiba ataupun jarang-jarang bergantung kepada individu masing-masing.

Dalil pensyariatan nafkah tempat tinggal disebutkan dalam al-Quran melalui firman -Nya,

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.

Berdasarkan ayat di atas, sekiranya isteri yang diceraikan wajib disediakan tempat tinggal sepanjang tempoh iddah mereka, menyediakan tempat tinggal bagi isteri yang belum diceraikan adalah lebih penting dan utama.

Dalil pensyariatan nafkah makanan, minuman dan pakaian melaui firman Allah swt,

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut kadar yang sepatutnya.

Perkara ini juga disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Muawiyah al-Qusyairi ketika beliau bertanya kewajipan yang perlu ditunaikan kepada seorang suami kepada isteri, lalu Rasulullah saw membalas,

أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ، وَلَا تَضْرِبْ الْوَجْهَ، وَلَا تُقَبِّحْ، وَلَا تَهْجُرْ إِلَّا فِي الْبَيْتِ

Maksudnya: Berilah mereka makan daripada makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian daripada pakaian yang kamu pakai. Janganlah kamu pukul muka mereka, jangan kamu buruk-burukkan mereka serta jangan asingkan tempat tidur dengan mereka melainkan dalam kawasan rumah.

Riwayat Abu Daud (2142)

Bertitik tolak daripada perbahasan di atas, khusus berkaitan bil air dan bil elektrik kami melihat perkara ini perkara baharu yang kurang dibincangkan ulama silam.

Namun berdasarkan kaedah Fiqh yang menyebut,

التابع حكمه حكم المتبوع

Maksudnya: Setiap sesuatu yang berstatus pengikut (tabi’), akan mengikut hukum sesuatu yang diikutinya.

Menurut kaedah ini, kami berpandangan bil air dan bil elektrik termasuk daripada perkara yang tak dapat dipisahkan dengan tempat tinggal. Setiap rumah tidak kira rumah yang dibeli mahupun disewa tidak akan terpisah daripada perlu membayar bil utiliti; termasuklah bil air dan bil elektrik.

Sudah dibincangkan di atas, tempat tinggal beserta kelengkapan asas rumah seperti bilik air merupakan nafkah wajib yang perlu disediakan suami terhadap tanggungannya. Menjadi suatu perkara yang maklum bahawa setiap titisan air yang keluar daripada pili paip akan dicaj dan dikenakan bayaran. Lantaran itu, hukum membayar bil air bagi penggunaan air yang digunakan isteri mengikut hukum menyediakan bilik air iaitu kedua-duanya adalah wajib.

Sebagai nasihat dan saranan, hubungan suami dan isteri tidak seharusnya bersifat kaku terhenti sekadar hak dan kewajipan semata-mata. Sebaliknya, perlulah berdiri di atas prinsip saling bertolak ansur dan bersifat ihsan dengan erti kata memberikan apa-apa yang terbaik mengikut kemampuan tanpa ada unsur berkira. Prinsip ini lebih memupuk kasih sayang dan mengekalkan hubungan dalam jangka masa yang panjang.

Ketahuilah bahawa setiap perbelanjaan tambahan yang dikeluarkan suami terhadap isterinya kelak akan diberi ganjaran oleh Allah swt dan dikira berdasarkan niat baiknya. Sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Mas’ud al-Badri RA bahawa Nabi Muhammad saw bersabda,

إذَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى أَهْلِهِ نَفَقَةً وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Maksudnya: Apabila seorang muslim memberi nafkah kepada keluarganya karena Allah, maka pahala nafkahnya itu sama dengan pahala sedekah.

Riwayat Muslim (1002)

Dalam riwayat lain, hamba Rasulullah saw bernama Tsauban RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda,

أَفْضَلُ دِينَارٍ يُنْفِقُهُ الرَّجُلُ دِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى عِيَالِهِ ، وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى دَابَّتِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ، وَدِينَارٌ يُنْفِقُهُ عَلَى أَصْحَابِهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ.

Maksudnya: Sebaik-baik dinar (wang ringgit) yang dibelanjakan seseorang adalah dinar yang dibelanjakan untuk orang yang dibawah tanggungannya (termasuklah isteri dan anak-anak), untuk haiwan tunggangan yang digunakan untuk fi sabilillah beserta sahabat perjuangannya.

Riwayat Muslim (994)

Sebagai kesimpulan, bil air termasuk dalam kategori nafkah wajib. Namun, suami disarankan untuk tidak bersifat kedekut dan berkira untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk isteri dalam perkara-perkara yang bersifat al-kamaliyyat dan al-tahsiniyyat seperti wang saku bulanan, bil telefon, dan lain-lain selagi mana berkemampuan. Dalam masa yang sama, isteri juga perlu memahami sekiranya perbelanjaan nafkah dikurangkan di saat suami kekurangan wang saku.

Wallahua’lam.