Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-518: BOLEHKAH SEORANG IBU MEMBERI ZAKAT HARTANYA KEPADA ANAKNYA SENDIRI

IF518

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya soalan berkenaan dengan zakat. Saya seorang ibu dan mempunyai simpanan yang cukup syarat untuk dikeluarkan zakat. Persoalannya bolehkah saya memberi zakat saya itu kepada anak saya yang memerlukan.

Ringkasa Jawapan

Seorang ibu dibenarkan malah disunatkan untuk memberi zakat kepada anaknya yang berkelayakan. Ini kerana, bukan menjadi kewajipannya untuk memberi nafkah kepada anaknya. Sekiranya dengan ketiadaan bapa, maka kewajipan ke atas ibu untuk menanggung nafkah anaknya dan tidak dibenarkan untuk memberi zakat kepada anaknya.

Namun, kami sarankan supaya sebaiknya membayar zakat kepada pihak yang berwajib seperti PPZ MAIWP. Ini kerana, terdapat bahagian yang boleh dituntut untuk pengagihan sendiri

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang bertujuan untuk menjaga dan membantu dalam hal ekonomi masyarakat Islam. Di dalam pembahagian dan pemberian zakat Allah SWT telah menetapkan golongan yang mempunyai hak dalam menerimanya. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah, 60)

Dr. Muhammad Zuhaili menyebut wajib memberi zakat harta dan zakat Fitrah kepada lapan golongan asnaf. Dan mereka itu adalah golongan fakir dan miskin, amil zakat, muallaf, hamba, orang yang berhutang, golongan yang berjuang di jalan Allah dan musafir. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/105)

Pengagihan Zakat Kepada Ahli Keluarga Yang Di Bawah Tanggungan Nafkah

Berbalik kepada persoalan di atas, maka timbul persoalan berkenaan dengan pengagihan zakat kepada ahli keluarga yang di bawah tanggungan nafkah pemberi zakat. Justeru, para ulama membahaskan berkenaan memberi zakat kepada ahli keluarga atau muallaf yang wajib ditanggung nafkah ke atasnya adalah tidak dibenarkan.

Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:

ولا يجوز دفعها الي من تلزمه نفقته من الاقارب والزوجات من سهم الفقراء

Maksudnya: Tidak harus memberinya (zakat) kepada sesiapa yang perlu untuk dinafkahkannya daripada golongan keluarganya dan isteri-isterinya daripada bahagian orang-orang fakir.

Imam al-Nawawi menyatakan lagi:

ولا يجوز أن يدفع إليه من سهم المؤلفة ان كان ممن يلزمه نفقته لأن نفعه يعود إليه

Maksudnya:  dan tidak diharuskan memberi zakat kepadanya daripada bahagian golongan muallaf, sekiranya ia daripada golongan yang perlu dinafkahkannya. Ini kerana manfaatnya kembali kepadanya (pemberi zakat)

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/229)

Begitu juga yang disebut oleh Dr Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya bahawa disyaratkan kepada sesiapa yang hendak memberi zakat, hendaklah mereka itu bukan daripada golongan yang di bawah tanggungan nafkahnya. Ini seperti wajib seseorang itu menanggung nafkah isterinya, usul dan furu’nya, maka tidak boleh ia memberi zakat kepada isterinya walaupun isterinya sorang yang fakir atau miskin. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/121)

Dalam al-Fiqh al-Manhaji juga menyatakan, golongan yang berhak menerima zakat mestilah bukan daripada golongan yang menjadi tanggungan nafkah si pembayar zakat. Ini kerana seseorang yang nafkahnya ditanggung oleh pembayar zakat dianggap sebagai kaya dengan nafkahnya itu. Dan memberi zakat kepada seseorang yang di bawah tanggungan nafkahnya seolah-olah memberi zakat kepada dirinya sendiri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e, 2/64-65)

Berbalik kepada perbahasan di atas, jelas bahawa tidak boleh memberi zakat kepada ahli keluarga yang dibawah tanggungannya disebabkan keadaan mereka fakir, miskin atau muallaf jika mereka merupakan golongan yang wajib ditanggung nafkahnya.

Namun dibenarkan memberi zakat sekiranya ahli keluarga itu bukan daripada golongan fakir dan miskin serta golongan muallaf yang dipertanggungjawab untuk memberikan mereka nafkah, dan mereka itu termasuk daripada golongan asnaf yang boleh menerima zakat seperti orang yang berhutang, amil, fi sabillillah dan selainnya.

Ini jelas apa yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:

قَالَ أَصْحَابُنَا وَيَجُوزُ أَنْ يَدْفَعَ إلَى وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ مِنْ سَهْمِ الْعَامِلِينَ وَالْمُكَاتَبِينَ وَالْغَارِمِينَ وَالْغُزَاةِ إذَا كَانَا بِهَذِهِ الصِّفَةِ

Maksudnya: Para Ashab Syafie’yyah menyebut, dan diharuskan memberi (zakat) kepada anak dan bapanya daripada bahagian golongan amil zakat, al-mukatibin (golongan dalam perjanjian), golongan yang berhutang dan golong yang berperang apabila memiliki sifat-sifat tersebut.

(Lihat al-Majmu’ syarh al-Muhazzab, 6/229)

Selain itu, di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, sekiranya mereka (ahli keluarga) bukan daripada golongan fakir atau miskin, seperti golongan berhutang atau musafir, orang yang menanggung nafkah mereka dibenarkan memberi zakat harta kepada mereka sebagai golongan yang disifatkan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e, 2/65)

Isteri Memberi Zakat Kepada Suami dan Anaknya

Dalam hal yang lain, seorang isteri boleh memberi zakatnya kepada suami dan anaknya disebabkan seorang isteri tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada mereka. 

Ini berdasarkan hadis Saidatina Zainab RAnha, isteri Abdullah bin Mas’ud RA bertanya kepada Rasulullah SAW: “Adakah diambil kira perbuatanku memberi nafkah kepada suami dan anak-anak yatim dalam jagaanku? Baginda bersabda kepada orang yang menyampaikan pertanyaannya.”

نَعَمْ، لَهَا أَجْرَانِ، أَجْرُ الْقَرَابَةِ، وَأَجْرُ الصَّدَقَةِ

Maksudnya: Ya, dia mendapat dua pahala, iaitu pahala persaudaraan dan pahala berzakat

Riwayat Muslim (1000)

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut, disunatkan seorang isteri apabila ia kaya dan diwajibkan ke atas hartanya untuk mengeluarkan zakat, dan ia memberikan zakat hartanya kepada suaminya yang fakir. Dan begitu juga disunatkan bagi isteri itu memberi nafkah kepada anak-anaknya sekiranya mereka juga sedemikian. Ini kerana nafakah suami dan anak-anaknya tidak wajib ke atas ibu dan isteri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’e, 2/65-66)

Begitu juga yang disebut oleh Dr. Muhammad Zuhaili bahawa apabila seorang isteri itu kaya dan suami serta anaknya fakir dan miskin, maka tidak wajib baginya untuk memberi nafkah ke atas mereka. Dan harus bagi isteri itu memberi zakat hartanya kepada suaminya bahkan ia merupakan perkara yang disunatkan. Begitu juga disunatkan seorang isteri memberi zakat kepada anaknya sekiranya anaknya itu seorang yang fakir dan miskin. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/122)

Imam Ibn Hajar al-A’sqalani menyebut hal yang sedemikian sekiranya dengan kewujudan bapa, maka nafkah tersebut adalah di atas tanggungan bapanya, maka zakat boleh diberikan kepada anaknya yang fakir atau miskin, kerana tidak wajib bagi ibu untuk menanggung nafkah anaknya. Berbeza keadaan dengan ketiadaan bapa, maka nafkah anak ketika itu wajib ditanggung oleh ibunya dan tidak dibenarkan untuk memberi zakat kepada anaknya

 نقل ابن المنذر وغيره الإجماع على أن الولد لا يُعطى من الزكاة الواجبة قال الحافظ: وفيه نظر، لأن الذي يمتنع إعطاؤه من الصدقة الواجبة مَنْ يلزم المعطي نفقته ، والأم لا يلزمها نفقة ولدها مع وجود الأب

Maksudnya: Dinukilkan oleh Ibnu Munzir dan selainnya, ijma’ (bersepakat) berkenaan anak tidak boleh diberikan zakat. Imam Ibn Hajar menyatakan ia perlu dilihat semula, kerana yang menghalang pemberian zakat (kepada anak) adalah kepada yang wajib memberi nafkah kepadanya, sedangkan ibu tidak wajib memberi nafkah kepada anaknya dengan kewujudan bapa.

(Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Bab Zakat, 3/330)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas dan perincian perbahasan fuqaha’ dapat kami simpulkan bahawa secara asasnya seseorang itu tidak boleh memberi zakat kepada ahli keluarga yang dibawah tanggungan nafkahnya disebabkan mereka itu fakir dan miskin. Ini kerana kewajipannya untuk memberi nafkah ke atas mereka.

Sebagai contoh, seorang bapa wajib memberi nafkah kepada anaknya yang masih kecil dan gila serta miskin disebabkan mereka tidak mampu untuk bekerja. Bahkan tidak sah sekiranya bapa itu memberi zakat kepada mereka kerana kawajipannya untuk memberi nafkah.

Namun dibenarkan memberi zakat kepada ahli keluarga yang di bawah tanggungannya sekiranya mereka itu tidak termasuk di dalam golongan fakir dan miskin seperti musafir, amil, fisabillillah dan selainnya.

Justeru bagi menjawab persoalan di atas, seorang ibu dibenarkan malah disunatkan untuk memberi zakat kepada anaknya yang berkelayakan. Ini kerana, bukan menjadi kewajipannya untuk memberi nafkah kepada anaknya. Sekiranya dengan ketiadaan bapa, maka kewajipan ke atas ibu untuk menanggung nafkah anaknya dan tidak dibenarkan untuk memberi zakat kepada anaknya.

Namun, kami sarankan supaya sebaiknya membayar zakat kepada pihak yang berwajib seperti PPZ MAIWP. Ini kerana, terdapat bahagian yang boleh dituntut untuk pengagihan sendiri

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.