IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-590: HUKUM SELLER MEMBUAT BELIAN BARANG SENDIRI DAN MEMBUAT REVIEW PALSU

IF 590

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya merupakan penjual di shopee. akaun shopee saya baru berdaftar dan belum ada jualan, kata kan saya buat pembelian palsu untuk membeli di akaun shopee saya sendiri dan buat review palsu demi mendapatkan kepercayaan dari bakal pelanggan, adakah ini sah dalam syarat berjual beli dalam islam? Saya lakukan sedemikian dengan niat untuk mendapatkan jualan. Jika ada jualan, barang tetap akan dihantar seperti biasa.

 

Jawapan Ringkas

Jual beli yang berlaku tersebut adalah sah sekiranya telah cukup syarat dan rukun jual beli. Namun begitu, tindakan penjual yang melakukan penipuan tersebut adalah diharamkan dan penjual perlu bertaubat dan menghentikan perbuatan tersebut kerana akan menyebabkan dosa yang berpanjangan. Meskipun perbuatan ini bertujuan untuk mendapatkan penarafan (rating) yang baik untuk meningkatkan jualan mereka, tetapi usaha meningkatkan jualan tersebut mestilah selari dengan apa yang diharuskan oleh Syarak. Para penjual mungkin boleh menjalankan kempen pemasaran, promosi atau iklan di medium lain dan kemudiannya meminta bakal pembeli yang berminat untuk melakukan pembayaran melalui laman web e-commerce.

 

Huraian Jawapan

Perniagaan berkonsepkan e-commerce sudah menjadi suatu fenomena baru dalam kalangan masyarakat dunia, bahkan ramai pengguna yang lebih memilih untuk membeli barangan harian mereka melalui platform e-commerce ini seperti Lazada, Shopee, e-Bay dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana harga yang ditawarkan di platform tersebut kebiasaanya lebih murah berbanding di kedai serta memudahkan pembeli.

 

Ekosistem jual beli di platform-platform e-commerce ini amat bergantung dengan penarafan (rating), jumlah barangan terjual (sold item) serta ulasan (review) yang diberikan oleh pelanggan. Apabila sebuah kedai atau penjual mendapat penarafan serta ulasan yang baik, perkara tersebut akan menjadi salah satu faktor untuk menarik minat bakal pelanggan yang lain untuk membuat belian. Justeru, faktor tersebut mendorong panjual yang belum mendapat pelanggan untuk membuat belian barang sendiri (dengan mewujudkan akaun lain) dan kemudiannya meninggalkan ulasan pada barang tersebut untuk menzahirkan barang tersebut sudah dibeli dan pelanggan berpuas hati dengannya sedangkan pada hakikatnya perkara tersebut adalah daripada penjual itu sendiri.

 

Perbuatan sedemikian adalah sama dengan perbuatan menipu kerana penjual memanipulasi sistem platform e-commerce tersebut dengan membuat belian barang sendiri dan meninggalkan ulasan pada barang jualan sendiri dan dalam masa yang sama, bakal pelanggan tidak mengetahui tentangnya. Perbuatan menipu adalah salah di sisi Islam bahkan perbuatan tersebut tidak menunjukkan akhlak seorang Muslim yang sebenar.

 

Abu Hurairah r.ah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Siapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kita (umat Islam)

Riwayat Muslim (101)

 

Penipuan dalam jual beli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan antaranya penipuan yang telah dirancang oleh penjual itu sendiri kerana ingin melariskan produknya atau menarik perhatian bakal pembeli untuk mendapatkannya. Fuqaha’ menyebut perbuatan menipu sebegini sebagai al-tadlis. Antara persamaan yang disifatkan pada cara penipuan tersebut adalah wujudnya unsur perancangan daripada penjual sendiri untuk menipu pelanggan dan mencipta persepsi bahawa barang dagangannya itu bagus, berkualiti dan sebagainya.

 

Al-Jamal menyatakan bahawa al-Ghisy adalah al-Tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barangan dan menghiasinya supaya pelanggan tertarik dengan barang dagangannya.

الْغِشُّ تَدْلِيسٌ يَرْجِعُ إلَى ذَاتِ الْمَبِيعِ كَأَنْ يُجَعِّدَ شَعْرَ الْجَارِيَةِ وَيُحَمِّرَ وَجْهَهَا

Maksudnya: al-Ghisy adalah penipuan yang berlaku pada barang jualan seperti mengerintingkan rambut hamba perempuan dan memerahkan mukanya (tujuan untuk mencantikkan dan menyembunyikan aib). (Rujuk Hasyiah al-Jamal 5/3)

 

Manakala Imam Nawawi dalam al-Majmu’ mendefinisikan al-tadlis adalah perbuatan menyembunyikan aib barang dagangan daripada pengetahuan pembeli. Ini bermakna penjual tahu tentang kecacatan tersebut, tetapi dia menyembunyikannya supaya barang itu terjual.

التدليس كتم البائع عيب السلعة من المشترى وإخفائه

Maksudnya: al-Tadlis adalah seorang penjual menyembunyikan aib barang jualannya daripada pengetahuan pembeli. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 27/13)

 

Oleh kerana itu, dapatlah dilihat bahawa perbuatan membeli barang sendiri dan membuat review palsu sama seperti menipu dan dalam masa yang sama penjual juga menyembunyikan kekurangan atau kecacatan pada barang tersebut. Maka ianya adalah sama seperti perbuatan al-ghisy yang dilarang dan ditegah. Ini selari dengan firman Allah SWT yang melarang orang beriman untuk makan harta orang lain dengan cara yang batil kecuali dengan berlakunya transaksi perniagaan di mana pembeli dan penjual saling meredai. Perbuatan menipu tersebut akan menyebabkan pembeli merasa tertipu kerana membeli barang tidak sama seperti jangkaan atau kualiti yang dijanjikan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..

Surah an-Nisa’ (29)

 

Selain itu, Allah SWT juga telah berfirman:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275)

 

Imam Syafie berkata di dalam al-Umm, hukum asal bagi jual beli adalah harus selagi mana jual beli itu berlandaskan apa yang dibenarkan oleh syarak. Namun, sekiranya terdapat perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW maka jual beli itu akan menjadi haram. (Rujuk al-Umm 3/3)

 

Pandangan yang dinyatakan oleh Imam Syafie tersebut sama dengan kaedah fiqh yang masyhur iaitu:

‌الْأَصْلَ ‌فِي ‌الْأَشْيَاءِ ‌الْإِبَاحَةُ، وَأَنَّ الْحُرْمَةَ بِالنَّهْيِ عَنْهَا شَرْعًا

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus dan perkara yang diharamkan adalah kerana adanya larangan syarak tentangnya. (Rujuk al-Mabsut 77/24)

 

Justeru, hukum keharusan jual beli boleh bertukar menjadi haram kerana wujudnya unsur-unsur yang dilarang atau diharamkan. Bagi konteks perbincangan ini, wujud unsur penipuan yang dirancang oleh penjual untuk memperdayakan bakal pelanggan dan inilah yang dilarang oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang dinyatakan di atas.

 

Kami juga pernah menerbitkan artikel lain berkaitan perbuatan menipu untuk menjalankan aktiviti pemasaran di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 263: Hukum Menipu Untuk Tujuan Marketing. Perbuatan menipu dalam jual beli ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan oleh kerana itu fuqaha memberikan istilah yang pelbagai tentang cara-cara atau bentuk-bentuk penipuan seperti al-Ghisy (menyembunyi kecacatan), al-Tadlis (menipu), al-Najsy (tawaran palsu) dan sebagainya.

 

Rasulullah SAW bersabda bahawa peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan bersama para nabi, orang-orang yang benar dan orang yang syahid di akhirat kelak. Oleh itu, amat penting bagi seorang peniaga untuk mengamalkan kejujuran dalam pekerjaannya di samping mengaut keuntungan melalui perniagaan yang dijalankannya.

التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ

Maksudnya: Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama-sama dengan para nabi, orang-orang yang benar dan para syahid.

Riwayat al-Tirmizi (1208)

 

Adapun berkaitan dengan transaksi jual beli yang berlaku antara penjual tersebut dengan pembeli, ianya adalah isu yang lain. Transaksi jual beli tersebut adalah sah sekiranya cukup syarat dan rukun jual beli sebagaimana berikut:

  • Dua pihak yang melakukan akad (Penjual dan Pembeli)
  • Sighah (Ijab dan Kabul)
  • Perkara yang dijual beli (barang dan harga)

(Rujuk al-Mu’tamad fi fiqh al-Syafie 15/3)

 

Kesimpulan

Jual beli yang berlaku tersebut adalah sah sekiranya telah cukup syarat dan rukun jual beli. Namun begitu, tindakan penjual yang melakukan penipuan tersebut adalah diharamkan dan penjual perlu bertaubat dan menghentikan perbuatan tersebut kerana akan menyebabkan dosa yang berpanjangan. Meskipun perbuatan ini bertujuan untuk mendapatkan penarafan (rating) yang baik untuk meningkatkan jualan mereka, tetapi usaha meningkatkan jualan tersebut mestilah selari dengan apa yang diharuskan oleh Syarak. Para penjual mungkin boleh menjalankan kempen pemasaran, promosi atau iklan di medium lain dan kemudiannya meminta bakal pembeli yang berminat untuk melakukan pembayaran melalui laman web e-commerce.

Wallahualam.


Print   Email