Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-599 : HUKUM SUNTIKAN PADA WAJAH AGAR BERBENTUK V (V-SHAPE FACE)

 

suntik v

 

SOALAN:

Terdapat pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di klinik kecantikan   termasuklah menyediakan perkhidmatan V-Shape face (muka berbentuk V ) hingga ke hujung dagu yang tajam dan suntikan filler pada rahang bagi mendapatkan dagu yang runcing, proses tersebut tidak melibatkan pembedahan kosmetik.  Apakah hukum rawatan kosmetik tersebut? Mohon pencerahan S.S Mufti,Terima kasih

Ringkasan Jawapan :

Suntikan pada  kawasan rahang agar kelihatan runcing atau  segala suntikan pada bahagian wajah agar muka berbentuk V (V-Shape face)   bagi  tujuan  kecantikan  adalah dilarang. Hukum rawatan kosmetik bertujuan kecantikan yang boleh menyebabkan pengubahsuaian bentuk ciptaan Allah SWT  adalah haram.

Huraian Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 Suntikan  Filler  pada Rahang  (Jawline Creation)

Dermal Filler (pengisian  dermal asid hyaluronik (HA) adalah bahan seperti gel disuntik di bawah kulit yang dipilih dengan tepat pada sudut kawasan rahang dan dagu bagi mencipta rahang yang muda dan tersusun secara estetik. Dagu yang pendek dapat dibuat untuk kelihatan lebih panjang, lebih jelas dan terbentuk garis rahang. Filler yang disuntik pada dagu berfungsi untuk memanjangkan dan meningkatkan penampilan wajah sehingga menghasilkan profil wajah yang lebih seimbang. Hasil segera akan kelihatan   bergantung pada kawasan yang dirawat [1]. Pengisi rahang yang disuntik ke dalam kulit turut memberikan isipadu dan merangsang penghasilan asid hyaluronik atau kolagen. Ini dapat mengurangkan penampilan kulit yang kendur dengan  mengangkat kulit rahang yang kendur. Selain itu, fungsi (Jaw Filler)  pengisi rahang boleh mengimbangkan garis rahang yang tidak simetri (sama bentuk ukuran), menguatkan atau menambah bahagian dagu selain memberikan asas dan kerangka yang kuat untuk wajah.[2] Pengisi (filler) yang ditambahkan ke dagu memberikan bentuk-V pada wajah. Pengisi kulit (filler) tersebut  boleh bertahan hingga 1-2 tahun bergantung pada gaya hidup pengguna.[3]

Suntikan  Filler pada wajah (V-Shape face), pipi dan telinga

Pengisi (filler) yang lebih tebal juga boleh digunakan untuk menambahkan isipadu ke pipi yang tenggelam, membentuk semula hujung hidung. Sementara itu, bagi mendapatkan muka berbentuk V  ( V-Shape face), Botulinum Toxin A boleh disuntik dibahagian muka atau di bawah garis rahang. Baru-baru ini, produk pengisi kulit telah mula digunakan untuk peremajaan cuping telinga untuk membantu menaikkan cuping dan mengembalikan kepenuhan dan bentuk yang sering memanjang dan kendur dengan proses penuaan semula jadi. Terdapat juga  saranan agar pengisi (filler) digunakan bersama dengan dengan suntikan toksin botulinum dalam suntikan ( V-Shape face). Botulinum toxin digunakan sebagai rawatan untuk mengurangkan penampilan kedutan wajah dan garis-garis halus. [4]

Komplikasi

Kesan sampingan yang jelas   dengan pengambilan suntikan ini biasanya berlaku sedikit pendarahan.  setelah jarum dimasukkan ke dalam kulit.  Sebilangan pesakit mungkin mengalami lebam, bengkak ringan dan kemerahan yang mungkin juga berlaku di sekitar tempat suntikan selepas rawatan. Tanda-tanda ini mungkin mengambil masa 3-5 hari untuk hilang sepenuhnya[5].

Berdasarkan fakta-fakta yang telah dinyatakan, pengisi rahang (jaw filler) dan pengisi (filler) digunakan bersama dengan dengan suntikan toksin botulinum Toxin A  dalam (V-Shape face) boleh dikatakan penyebab perubahan  bentuk muka. Walaupun proses tersebut tidak melalui proses pembedahan plastik namun segala kaedah yang boleh menyebabkan perubahan bentuk  muka  adalah dilarang. Perubahan yang  menunjukkan kesan drastik serta merta seperti bentuk dagu menjadi tirus (runcing) mahupun meninggikan bentuk hidung  kelihatan berlebihan dalam mendapatkan rawatan kosmetik  adalah termasuk dalam larangan mengubah ciptaan Allah SWT.

Merujuk kepada  Keputusan Fatwa Kebangsaan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke- 74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 bersetuju memutuskan supaya negeri-negeri mewartakan fatwa pengharaman suntikan Botulium Toxin Type A (Botox cosmetic).

HUKUM MENGUBAH CIPTAAN ALLAH

Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT  tetapkan  pada makhluknya sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya.   Ini berdasarkan  dalil-dalil berikut :

فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ

Maksudnya : "Tetaplah atas fitrah Allah SWT  yang telah menciptakan  manusia  atas fitrah itu, tidaklah patut ada  sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu".

Surah al-Rum ( 30)

Mengubah ciptaan Allah turut  termasuk dalam tipu daya  dan hasutan syaitan. Ini berdasarkan dalil berikut :

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

Surah an-Nisa’ (119)

Menurut Abu Jaafar al-Thabari makna yang paling tepat mengubah ciptaan  Allah  SWT (فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّه ) ialah  mengubah pada agama (Islam)  kerana ayat lain memberi makna agama daripada surah al-Rum ayat 30(لا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ). Menurut beliau lagi, dalam konteks yang lain ayat ini juga memberi makna larangan merubah bentuk ciptaan Allah SWT.  (Lihat al-Jaami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aayi al-Quran, al-Thabari, 9/222).  

Terdapat hadis yang boleh dikaitkan dengan larangan merubah ciptaan Allah sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: "Allah SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana ia merubah ciptaan Allah SWT".

Riwayat Muslim (2125)

Ancaman laknat dalam hadis menunjukkan  pengharaman mengubah ciptaan Allah SWT  sama ada bagi orang yang melakukannya dan juga orang yang meminta untuk dilakukannya  ( Lihat Fath al-Bari  10/377)

Ibn Hajar menjelaskan hadis di atas, kata beliau:

وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ يُفْهَمُ مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَةَ مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْنِ فَلَوِ احْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ

Wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan difahami daripada hadis bahawa ia adalah perbuatan tercela, dia melakukannya untuk tujuan   kecantikan. Jika ianya dilakukan kerana keperluan  perubatan maka diharuskan (Rujuk Fath al-Bari, 10/372-373)

Imam al-Nawawi menyatakan makna perkataan “ li husni”   sebagai sebagai isyarat kepada hukum haram bagi tujuan menzahirkan kecantikan (Rujuk  al-Minhaj fi Syarh  Sahih Muslim,14/107).  

Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan membahaskan   tentang pembedahan kosmetik    pada dagu  yang melibatkan bahagian tulang rahang  untuk tujuan  menambah kecantikan. Pembedahan dagu demi kecantikan   adalah haram apabila penampilan dagu tiada kecacatan. Prosedur tersebut termasuk dalam mengubah ciptaan Allah SWT seperti  yang dinyatakan dalam nas. Walau bagaimanapun  harus bagi tujuan rawatan dan menutupi aib yang terzahir (Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah ,223)

Penutup

kesimpulannya, setelah meneliti fakta dan dalil yang dibentangkan. Rawatan suntikan filler di rahang bagi mendapatkan dagu yang runcing, suntikan V-shape face (wajah  berbentuk V) mahupun suntikan botox  adalah   dilarang. Maka, segala kaedah sama ada melibatkan pembedahan plastik atau suntikan yang menyebabkan perubahan daripada bentuk asal hanya bagi tujuan kecantikan adalah haram. Bahkan, mereka yang menjalankan rawatan menghalang proses penuaan seolah menafikan terhadap fitrah semulajadi   yang akan dilalui oleh setiap insan  dalam  meniti usia lanjutnya.   Justeru, umat Islam tidak sepatutnya melibatkan diri dalam segala jenis rawatan kosmetik untuk kecantikan  yang boleh mengubah ciptaan Allah. Akhir kalam, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta reda dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah SWT ciptakan untuk hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya, setiap penciptaan-Nya pasti mempunyai hikmah yang tersendiri.  Hayatilah firman Allah SWT:

لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیم

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya.)"

Surah At-Tin: (4)

 

 

[1]https://cliniccleo.com/dermal-fillers-landing-page/?gclid=EAIaIQobChMIuuaHj_jj7gIVzJVLBR03FQ7gEAAYASAAEgIJofD_BwE

[2] https://www.healthline.com/health/jaw-filler#definition

[3] https://www.yourfaceinourhands.com/blog/defining-the-jaw-jawline-with-fillers/

[4] https://vogueclinic.my/V+Shapping+Face+V-Shaped

[5] https://vogueclinic.my/treatments/dermal-fillers-treatment/