Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-618 : APAKAH DEFINISI SEBENAR NAFKAH TEMPAT TINGGAL BAGI ISTERI?

 

APAKAH DEFINISI SEBENAR NAFKAH TEMPAT TINGGAL BAGI ISTERI

SOALAN

Salam dato’. Kalu pasangan suami isteri, suami tak sediakan rumah untuk isteri dan tinggal dengan mak mertua. Adakah suami dikira sebagai menyediakan nafkah tempat tinggal kepada isteri? Mohon penjelasan.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Nafkah tempat tinggal merupakan salah satu tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh suami kepada isterinya. Hal ini merupakan ijma’ fuqaha atau sepakat para ulama fiqh. Selain itu, kebanyakan ulama fiqh berpandangan bahawa suami wajib menyediakan kediaman khusus untuk isterinya yang mana tiada keluarga yang lain di rumah tersebut. Oleh kerana itu, sekiranya suami menyediakan tempat tinggal satu rumah dengan ibu bapanya maka isteri dibolehkan untuk tidak menetap bersama suami. Ini kerana, nafkah tempat tinggal merupakan hak peribadi isteri bagi diri dan hartanya. Namun di sana mesti dilihat bahawa nafkah yang diberi perlu diukur mengikut kemampuan suami, dan suami wajib berusaha bagi memenuhi nafkah tempat tinggal ini.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Antara tanggungjawab yang besar bagi suami ialah wajib baginya memberikan nafkah tempat tinggal kepada isteri mengikut kemampuannya. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah SWT:

أَسۡكِنُوهُنَّ مِنۡ حَيۡثُ سَكَنتُم مِّن وُجۡدِكُمۡ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُواْ عَلَيۡهِنَّۚ

Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)”.

Surah al-Talaq (6)

 

Syeikh Abu Bakar Syato menjelaskan bahawa ayat di atas dikhususkan kepada isteri yang ditalak oleh suami. Suami wajib menyediakan tempat tinggal kepada isteri yang telah ditalak. Justeru, apatah lagi isteri yang masih sah sebagai pasangannya adalah lebih utama disediakan tempat tinggal.

(Rujuk: I’anah al-Tolibin, 4/84)[1]

 

Sehubungan dengan itu, Syeikh Zainuddin juga menyebut bahawa ciri-ciri tempat tinggal yang wajib disediakan oleh suami kepada isteri adalah yang layak bagi isteri dari sudut adat (terjaga dari pandangan untuk berkhalwat dengan suami) dan yang bersifat aman,harmoni serta selamat dari sebarang bahaya terhadap dirinya dan hartanya ketika suami tidak berada di rumah. Tambahan pula, tempat tinggal ini bukan hanya keinginan bahkan merupakan keperluan bagi isteri, walaupun tempat itu hanya didiami dalam keadaan sewa atau pinjaman.

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 540)[2]

 

Begitu juga, majoriti ulama berpandangan bahawa suami hendaklah menyediakan tempat tinggal khusus bagi isterinya yang mana tiada ahli keluarga suami yang lain yang tinggal bersama di rumah tersebut sebagai contoh ibu bapa atau kaum kerabat suami. Hal ini disebabkan khuatir perkara tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada isteri dan hartanya serta menjejaskan perhubungan antara suami dan isteri.

 

Namun, sekiranya isteri reda untuk dikurangkan haknya dan dia bersetuju untuk tinggal bersama keluarga suami, maka hal tersebut dibolehkan. Sebaliknya jika isteri tidak reda maka suami wajib menyediakan tempat tinggal lain yang khusus bagi isteri.

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah[3], 25/109, Hasyiyah Ibn Abidin[4], 3/599)

 

Justeru secara ringkasnya, suami perlu menyediakan tempat tinggal kepada isterinya yang menepati ciri-ciri berikut, antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaily:

  • Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang sesuai berdasarkan kemampuannya dari segi kewangan.
  • Suami hendaklah menyediakan tempat tinggal yang khusus untuk isteri dan anak-anak mereka. Tidak boleh menghimpunkan bersama ibu bapa atau kaum kerabat suami melainkan jika isteri reda untuk berkongsi kediaman yang sama.
  • Suami hendaklah menyediakan keperluan asas di rumah tersebut seperti alas tidur, alat-alat tempat memasak dan bilik mandi.

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/119)[5].

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, menjadi tanggungjawab suami menyediakan tempat tinggal yang aman dan tenteram serta menepati dengan hukum syarak kepada isterinya. Hal ini demi memelihara suasana yang baik dalam rumah tangga dan memastikan kelangsungan hubungan perkahwinan.

Tempat tinggal yang dimaksudkan juga ialah tempat tinggal yang khusus untuk isteri dan anak-anak mereka. Suami tidak boleh menghimpunkan bersama ibu bapa atau kaum kerabatnya kerana khuatir perkara tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada isteri dan hartanya serta menjejaskan perhubungan antara suami dan isteri.

Namun, sekiranya isteri reda untuk dikurangkan haknya dan dia bersetuju untuk tinggal bersama keluarga suami, maka hal tersebut dibolehkan dengan syarat hendaklah diusahakan agar tidak timbul masalah dan mudarat antara si siteri dan keluarga suami. Sebaliknya jika isteri tidak reda maka suami wajib menyediakan tempat tinggal lain atau tempat tinggal yang selesa untuk isterinya seperti di rumah keluarganya atau sebagainya.

Wallahu A’lam.

 

[1] ويجب للزوجة على زوجها مسكن: أي تهيئته لأن المطلقة يجب لها ذلك لقوله تعالى : (أسكنوهن) فالزوجة أولى

[2] ولها عليه مسكن تأمن فيه لو خرج عنها على نفسها ومالها وإن قل للحاجة بل للضرورة إليه. يليق بها عادة وإن كانت ممن لا يعتادون السكنى. ولو معارا ومكترى.

[3]فالجمع بين الأبوين والزوجة في مسكن واحد لا يجوز (وكذا غيرهما من الأقارب) ولذلك يكون للزوجة الامتناع عن السكنى مع واحد منهما؛ لأن الانفراد بمسكن تأمن فيه على نفسها ومالها حقها، وليس لأحد جبرها على ذلك. وهذا مذهب جمهور الفقهاء من الحنفية والشافعية والحنابلة.

[4] قوله ( خال عن أهله الخ ) لأنها تتضرر بمشاركة غيرها فيه لأنها لا تأمن على متاعها ويمنعها ذلك من المعاشرة مع زوجها ومن الاستمتاع إلا أن تختار ذلك لأنها رضيت بانتقاص حقها  

[5] وبناء عليه يجب أن تتوافر في المسكن الأوصاف الآتية:

أن يكون ملائماً حالة الزوج المالية.

أن يكون مستقلاً بها ليس فيه أحد من أهله إلا أن تختار ذلك، وهذا عند الحنفية؛ لأن السكنى من كفايتها، فتجب لها كالنفقة، وقد أوجبه الله تعالى مقروناً بالنفقة، وإذا وجب حقاً لها ليس له أن يشرك غيرها فيه؛ لأنها تتضرر به؛ لأن السكن المشترك يمنعها معاشرة زوجها والاستمتاع بها، ولأنها لا تأمن على متاعها.

أن يكون المسكن مؤثثاً مفروشاً في رأي الجمهور غير المالكية: بأن يشتمل على مفروشات النوم من فراش ولحاف ووسادة، وأدوات المطبخ.