Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 635: SYAK MENGENAI STATUS CECAIR YANG MASIH KELUAR DARI KEMALUAN SELEPAS MANDI WAJIB

 

IF365 min

Soalan:

Assalamualaikum. Selepas mandi wajib, saya dapati terdapat lagi sedikit lebihan cecair jernih yang keluar dari kemaluan. Saya tidak pasti apakah ia air mazi atau air mani. Justeru adakah saya perlu mengulangi semula mandi wajib tersebut?

Ringkasan Jawapan:

Seseorang perlu siasat semampu mungkin agar dapat membezakan antara kedua-dua jenis air, sama ada mani atau mazi berdasarkan perbezaan pada maksud dan sifatnya. Jika tidak dapat dibezakan, maka hendaklah dipilih salah satu daripada keduanya.  

Jika dia berpendapat bahawa cecair yang keluar itu adalah mani maka wajib ke atasnya untuk mengulangi semula mandi wajib tersebut. Namun sekiranya dia berpendapat bahawa cecair itu adalah mazi, maka dia tidak perlu mengulangi semula mandi wajib tersebut.

Jawapan:

Waalaikumussalam WBT Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah iaitu dengan mandi wajib”.

(Surah al-Ma’idah:6)

PENGENALAN AIR MANI DAN MAZI SERTA PERBEZAANNYA

Sebelum kita membincangkan berkenaan persoalan yang diajukan, eloklah kita mengetahui terlebih dahulu apakah itu air mani dan air mazi serta perbezaannya. Di sini kami ringkaskan maklumat mengenainya sebagaimana dalam jadual berikut:

 

AIR MANI

AIR MAZI

TAKRIF

-Cecair jernih pekat yang keluar memancut ketika memuncaknya syahwat.

-Mani wanita pula cair dan berwarna kekuningan.

 

-Cecair berwarna jernih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya.

-Mazi lelaki dan wanita adalah sama.

SIFAT-SIFAT

-keluarnya dalam keadaan memancut beberapa kali.

-Keluar dengan rasa seronok atau lazat sewaktu keluarnya, diikuti dengan zakar menjadi layu dan patah keinginan syahwat.

- Baunya semasa basah seperti bau tepung gandum yang diuli dan semasa kering pula ia berbau seperti putih telur.

-Keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar.

-Kadang-kadang ia keluar tanpa disedari.

WAKTU KELUAR

Keluar ketika kemuncak syahwat.

Keluar disebabkan syahwat yang paling rendah iaitu ketika permulaan bangkitnya syahwat.

HUKUM

Suci dan tidak membatalkan wuduk.

Najis dan membatalkan wuduk.

WAJIB MANDI

Mewajibkan mandi.

Tidak mewajibkan mandi.

Jadual 1.0 Air Mani dan Mazi serta Perbezaannya.

(Rujuk: Ghayah al-Muna Syarh Safinah al-Naja’, hlm.168-169).

Maklumat lanjut berkaitan air mani, mazi dan wadi boleh rujuk artikel kami yang berkaitan: Al-Kafi#357: Perbezaan Air Mani, Mazi Dan Wadi https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1295-al-kafi-357-perbezaan-air-mani-mazi-dan-wadi

Justeru, berbalik kepada persoalan di atas, sekiranya seseorang syak cecair yang keluar itu mani atau mazi, adakah dia wajib mengulangi semula mandinya?

Di sisi Mazhab Syafie, para ulama mengatakan sekiranya dia syak samada cecair yang keluar itu mani atau mazi maka dia boleh memilih untuk menentukannya sama ada mani atau mazi.

Menurut Imam Khatib al-Syarbini:

“Sekiranya seseorang syak (was-was) adakah ia (air yang keluar dari kemaluan) air mania tau selainnya, jika kebarangkalian yang keluar itu air mani atau selainnya seperti air wadi atau mazi, maka hendaklah dia memilih antara keduanya mengikut pendapat yang muktamad. Sekiranya ia dihukumkan sebagai mani maka hendaklah dia mandi (junub), atau dihukumkan selainnya maka hendaklah dia berwuduk dan membasuh tempat keluar najis tersebut. Hal ini kerana mendatangkan salah satu (daripada dua kemungkinan tersebut) dapat membebaskan seseorang daripada tanggungan secara yakin, dan hukum asalnya seseorang itu bebas dari (tanggungan) yang lain dan tiada yang berlawanan dengannya (Rujuk: Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/66).

Justeru, jelaslah di sini bahawa sekiranya seseorang itu melihat cecair yang jernih dan melekit keluar daripada kemaluannya dan tidak dapat dibezakan antara mani dan mani, maka hendaklah dia memilih untuk menentukan hukum cecair tersebut samada mani lalu wajib ke atasnya mandi wajib atau mazi maka wajib ke atasnya berwuduk dan membasuh tempat keluar najis tersebut.

Walau bagaimanapun, perlu diingat sekiranya seseorang itu yakin cecair yang keluar selepas mandi wajib tersebut adalah mani, maka di sisi mazhab Syafie wajib ke atasnya untuk mengulangi semula mandi wajib tersebut. Hal ini adalah berdasarkan keumuman hadis Nabi S.A.W:

إنما الماء من الماء

Maksudnya: “Air (kewajipan mandi) adalah disebabkan air (keluar mani)”.

Riwayat Muslim (343)

Justeru, hadis di atas tidak membezakan antara mani yang keluar ketika syahwat atau sisa-sisa mani yang keluar tanpa syahwat.

Dalam masalah ini Imam al-Nawawi menghuraikan seperti berikut:

“Para ulama telah bersepakat mengenai kewajipan mandi wajib dengan sebab keluarnya mani, dan tidak ada perbezaan di sisi kami samada ia (mani) keluar dengan sebab jimak, mimpi, onani atau melihat sesuatu (dengan syahwat) atau dengan sebab-sebab lain samada keluarnya ia (mani) dengan syahwat atau tidak, keluarnya disertai rasa lazat atau tidak, keluar dalam kadar yang banyak, sedikit atau beberapa titik, keluarnya ia ketika tidur atau jaga, daripada lelaki, perempuan, orang yang berakal atau gila, maka dalam semua keadaan tersebut mewajibkan mandi di sisi kami (mazhab Syafie) (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 2/139).

Oleh itu jelas bahawa seseorang yang keluar mani dalam semua situasi maka diwajibkan ke atasnya mandi junub. Selain itu, Imam al-Nawawi turut menjelaskan begitu juga situasi orang yang mendapati sisa mani setelah dia habis mandi wajib, maka wajib ke atasnya mengulangi  mandi wajib tersebut. Menurutnya:

Jika seseorang keluar air maninya kemudian dia mandi wajib, kemudian keluar semula air mani (selepas itu) maka wajib ke atasnya mengulangi semula mandi wajib samada ia (mani) keluar selepas membuang air kecil atau sesudahnya”. (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 2/139).

 

KESIMPULAN

Justeru, setelah meneliti perbahasan di atas, dapat kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

  • Sekiranya keluar cecair jernih yang melekat daripada seseorang dan dia tidak dapat memastikan sama ada cecair yang keluar itu air mani atau mazi, maka menurut pandangan yang muktamad dalam Mazhab Syafie, hendaklah dia memilih untuk menghukumkan salah satu daripada keduanya (iaitu memilih sama ada air mani atau mazi).
  • Sekiranya dia yakin bahawa cecair yang keluar itu adalah air mani maka wajib ke atasnya untuk mengulangi semula mandi wajib. Namun sekiranya dia yakin bahawa cecair itu adalah mazi, maka dia tidak perlu mengulangi semula mandi wajib tersebut. Akan tetapi dia hendaklah membasuh kemaluannya dan berwuduk jika ingin melakukan ibadah yang mensyaratkan wuduk. Ini kerana air mazi hukumnya najis dan boleh membatalkan wuduk.
  • Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang yakin bahawa cecair yang keluar itu adalah mani, maka wajib ke atasnya untuk mengulangi semula mandi wajib sekalipun ia (mani) keluar dalam keadaan apa sekalipun sama ada dalam keadaan bersyahwat atau tidak.

Wallahu A’lam.