Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-646: HUKUM MELAKUKAN DAKWAAN MELAMPAU (OVERCLAIM) DALAM MARKETING (PEMASARAN)

646

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, apakah hukum overclaim ketika buat marketing? Contohnya, ada iklan yang mendakwa bahawa ubat/supplement sekian-sekian mampu menyembuhkan penyakit kencing manis sedangkan tidak ada bukti yang benar dan kukuh tentang keberkesanannya. Mohon pencerahan.

 

Jawapan Ringkas

Kaedah dakwaan melampau atau overclaim dalam pemasaran adalah haram kerana ianya mempunyai unsur menipu dan memakan harta orang lain dengan cara yang batil. Oleh itu, penjual mestilah bersikap amanah, jujur dan menerapkan nilai-nilai yang dianjurkan Islam ketika melakukan aktiviti pengiklanan.

 

Huraian Jawapan

Kaedah pengiklanan dengan cara dakwaan melampau atau overclaim dalam kamus Merriam-Webster merujuk kepada perbuatan untuk membuat dakwaan palsu atau berlebih-lebihan tentang sesuatu produk[1]Oleh itu, perbuatan ini adalah sama seperti menipu yang dilarang dalam Islam. Tambahan lagi, kaedah pemasaran ini juga dilihat bertujuan untuk memanipulasi seseorang supaya tertarik dengan tawaran dan dakwaan penjual itu dan seterusnya membeli produk tersebut. Namun, apabila produk tersebut digunakan, kesannya tidak sama seperti yang didakwa.

 

Perbuatan sebegini adalah dilarang dalam Islam memakan harta orang lain dengan cara-cara menipu. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT berikut:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.

Surah al-Baqarah (188)

 

Imam al-Baghawi menerangkan ayat di atas sebagaimana berikut:

أَيْ لَا يَأْكُلُ بَعْضُكُمْ مَالَ بَعْضٍ بِالْبَاطِلِ أَيْ مِنْ غَيْرِ الْوَجْهِ الَّذِي أَبَاحَهُ اللَّهُ

Maksudnya: Janganlah kamu makan harta sebahagian kamu dengan cara yang batil iaitu daripada cara yang tidak diharuskan Allah. (Rujuk Tafsir al-Baghawi 210/1)

 

Tambahan lagi, perbuatan ini juga sama seperti larangan Rasulullah SAW terhadap peniaga yang melakukan penipuan terhadap produk jualannya. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا، فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ: مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ؟ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، ‌مَنْ ‌غَشَّ ‌فَلَيْسَ ‌مِنِّي

Maksudnya: Rasulullah SAW melewati selonggok makanan (yang dijual), kemudian baginda memasukkan tangan ke dalam longgokan makanan itu. Baginda merasakan makanan tersebut telah basah lalu bertanya kepada penjual: “Apakah ini wahai pemilik makanan?”. Dia menjawab, “Makan tersebut terkena hujan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapakah kamu tidak meletakkan makanan yang basah itu di bahagian atas supaya orang dapat melihatnya? Siapa yang menipu maka bukan dari kalanganku.”

Riwayat Muslim (102)

 

Di samping itu, perbuatan dakwaan melampau atau overclaim boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. Individu mengeluarkan iklan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan dan sebagainya boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun. Manakala pertubuhan boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua.

 

Seorang penjual perlulah bersifat jujur dan amanah ketika melakukan aktiviti pengiklanan produk mereka. Penjual yang jujur bukan sahaja mendapat kelebihan duniawi, dia akan turut mendapat kelebihan di akhirat kelak. Hal ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Rifa’at RA berikut:

أَنَّهُ خَرَجَ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمُصَلَّى فَرَأَى النَّاسَ يَتَبَايَعُونَ فَقَالَ ‏"‏ يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ ‏"‏‏.‏ فَاسْتَجَابُوا لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَرَفَعُوا أَعْنَاقَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ إِلَيْهِ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فُجَّارًا إِلاَّ مَنِ اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ ‏"

Maksudnya: Rifa’at RA keluar bersama Nabi SAW ke tempat solat lalu Baginda ternampak orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut panggilan Nabi SAW itu sambil mengangkat kepala mereka dan melihat ke arah Baginda, lalu bersabda: “Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali sesiapa yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur.”

Riwayat al-Tirmizi (1210)

 

Kesimpulan

Kaedah dakwaan melampau atau overclaim dalam pemasaran adalah haram kerana ianya mempunyai unsur menipu dan memakan harta orang lain dengan cara yang batil. Oleh itu, penjual mestilah bersikap amanah, jujur dan menerapkan nilai-nilai yang dianjurkan Islam ketika melakukan aktiviti pengiklanan.

 

Wallahualam

[1] https://www.merriam-webster.com/dictionary/overclaim