Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-647: HUKUM MAJIKAN MENGAMBIL TIP YANG DIBERIKAN KEPADA PEKERJA

647

 

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada bekerja di sebuah restoran sebagai pelayan. Kadang-kadang ada pelanggan yang memberikan wang kepada saya sebagai tip atas layanan yang diberikan. Apa yang saya faham tip itu menjadi milik saya. Tetapi majikan saya mengambil tip tersebut dan mencampurkannya dalam akaun syarikat. Soalan saya, adakah boleh seorang majikan mengambil tip yang telah diberikan oleh pelanggan kepada pekerja?

 

Jawapan Ringkas

Haram untuk majikan mengambil tip yang telah pelanggan berikan kepada pekerja. Ini adalah kerana tip yang diberikan tersebut merupakan pemberian atau hadiah daripada pelanggan atas layanan baik pekerja tersebut. Tip yang diberikan pelanggan adalah milik pekerja tersebut. Justeru, mengambil tip yang diberikan tanpa kerelaannya adalah satu kezaliman. Namun begitu, sekiranya pekerja memberikan tip yang diperolehinya kepada majikan secara sukarela maka ianya tidak menjadi salah untuk majikan mengambilnya.

 

Huraian Jawapan

Hubungan antara dua pihak tersebut adalah atas dasar majikan dan pekerja, bukannya hubungan antara tuan dan hamba yang membolehkan tuannya memiliki semua harta hamba. Seorang pekerja mesti melakukan kerjanya dan majikan perlu membayar gaji atas kerja yang dilakukan. Seorang majikan tidak berhak untuk mengambil tip yang diberikan kepada pekerja. Ini adalah kerana pemberian tip daripada pelanggan dianggap sebagai hadiah yang dimiliki sepenuhnya oleh pekerja.

 

Sehubungan dengan itu, mengambil harta orang lain dengan cara yang salah adalah satu perbuatan yang dilarang dan diharamkan syarak. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah

Surah al-Baqarah (188)

 

Ulama tafsir ketika menerangkan ayat di atas menyatakan bahawa mengambil dengan cara yang batil adalah dianggap sebagai perbuatan menzalimi orang lain kerana telah mengambil harta orang lain tanpa kebenarannya. Imam al-Mawardi pula menyatakan bahawa cara yang batil tersebut boleh berlaku dalam bentuk merampas, menzalimi, menang hasil daripada perjudian. (Rujuk Tafsir al-Tabari 552/3[1]; Tafsir al-Mawardi 248/1[2]; Tafsir al-Baghawi 210/1[3])

 

Selain itu, terdapat juga sebuah hadis Qudsi yang mana Allah SWT melarang manusia untuk saling menzalimi antara manusia. Allah SWT berfirman:

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، ‌فَلَا ‌تَظَالَمُوا

Maksudnya: Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian menzalimi.

Riwayat Muslim (2577)

 

Selain itu, Rasulullah SAW juga melarang untuk seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat keizinan daripada. Ini bermakna sekiranya pekerja memberikan tip yang diperolehinya kepada majikan secara sukarela maka ianya tidak menjadi salah. Rasulullah SAW bersabda:

‌لَا ‌يَحِلُّ ‌مَالُ ‌امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak halal untuk mengambil harta seorang muslim kecuali dengan kerelaan daripadanya.

Riwayat Daruqutni (2885)

 

Kesimpulan

Haram untuk majikan mengambil tip yang telah pelanggan berikan kepada pekerja. Ini adalah kerana tip yang diberikan tersebut merupakan pemberian atau hadiah daripada pelanggan atas layanan baik pekerja tersebut. Tip yang diberikan pelanggan adalah milik pekerja tersebut. Justeru, mengambil tip yang diberikan tanpa kerelaannya adalah satu kezaliman. Namun begitu, sekiranya pekerja memberikan tip yang diperolehinya kepada majikan secara sukarela maka ianya tidak menjadi salah untuk majikan mengambilnya.

 

Wallahualam.

[1] أما"الباطل" يقول: يظلم الرجل منكم صاحبَه، ثم يخاصمه ليقطع ماله وهو يعلم أنه ظالم

[2] فيه تأويلان: أحدهما: بالغصب والظلم. والثاني: بالقمار والملاهي

[3] أَيْ لَا يَأْكُلُ بَعْضُكُمْ مَالَ بَعْضٍ بِالْبَاطِلِ أَيْ مِنْ غَيْرِ الْوَجْهِ الَّذِي أَبَاحَهُ اللَّهُ، وَأَصْلُ الْبَاطِلِ الشَّيْءُ الذَّاهِبُ، وَالْأَكْلُ بِالْبَاطِلِ أَنْوَاعٌ، قَدْ يَكُونُ بِطَرِيقِ الْغَصْبِ وَالنَّهْبِ وَقَدْ يَكُونُ بِطَرِيقِ اللَّهْوِ كَالْقِمَارِ وَأُجْرَةِ الْمُغَنِّي وَنَحْوِهِمَا