Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-650: HUKUM MENGAMBIL UPAH MEMPROMOSIKAN PERKARA YANG HARAM ATAU DIFATWAKAN HARAM

650

 

Soalan

Assalamualaikum. Apakah hukum mengambil upah mempromosikan perkara yang jelas haram atau difatwakan haram. Semoga penjelasan dari pihak tuan dapat menjernihkan kekeliruan. Terima kasih.

 

Jawapan Ringkas

Hukum mengambil upah mempromosikan perkara yang diharamkan atau difatwakan haram adalah haram. Ini adalah kerana perkara yang haram dianggap tidak ada nilai di sisi syarak dan tidak boleh dijadikan manfaat atau subjek dalam kontrak upah mengupah. Tambahan lagi, perbuatan tersebut termasuk dalam perbuatan tolong-menolong dalam perkara yang mungkar serta akan menyebabkan orang lain terjebak dalam perkara yang haram. Manakala upah yang diterima adalah haram dan perlu dibersihkan.

 

Huraian Jawapan

Promosi adalah salah satu komponen penting dalam perniagaan. Promosi menurut Kamus Bahasa Melayu[1] adalah segala usaha dan kegiatan untuk menggalakkan atau mempertingkatkan jualan barang. Oleh itu, secara umumnya aktiviti promosi dan pengiklanan serta mengambil upah untuk melakukannya adalah suatu perkara yang diharuskan oleh syarak. Ini adalah berdasarkan kaedah berikut:

‌الأصل ‌في ‌المعاملات ‌الإباحة

Maksudnya: Hukum asal bagi muamalat adalah harus.

 

Namun begitu, keharusan hukum sesuatu perkara akan berubah menjadi haram apabila terdapat dalil pengharaman berkaitannya atau sebab-sebab yang boleh menjadikannya haram. (Rujuk Bai’ al-Murabahah lil Amir bi al-Syira’ h.28[2])

 

Di samping itu, persoalan mengenai mengambil upah untuk mempromosikan sesuatu termasuk dalam bab perbincangan ijarah iaitu kontrak upah mengupah. Oleh itu, untuk memastikan kontrak tersebut sah di sisi syarak, maka ada beberapa rukun dan syarat yang perlu dipatuhi sebagaimana berikut:

  • Pihak Yang Berakad (Orang Yang Memberi Upah dan Menerima Upah)
  • Lafaz Ijab dan Kabul
  • Upah
  • Manfaat (Subjek)

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 213-218/3)

 

Bagi menjawab persoalan yang diajukan, perkara-perkara yang diharamkan atau difatwakan haram adalah perkara yang tidak mempunyai nilai di sisi syarak. Dalam perbincangan fiqh berkaitan kontrak upah mengupah, manfaat atau subjek yang diakadkan mestilah perkara yang mempunyai nilai. Ulama menyatakan bahawa sekiranya subjek yang diakadkan dalam kontrak upah mengupah melibatkan perkara yang haram, maka kontrak tersebut adalah haram dan diharamkan juga untuk seseorang mengambil upah daripadanya. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 445/3[3]; al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 219/3)

 

Selain itu, mempromosikan perkara yang haram atau telah difatwakan haram adalah sama seperti mengajak orang lain untuk terlibat dengan perkara yang diharamkan tersebut. Perbuatan mengajak orang lain untuk terlibat dalam perkara yang salah adalah dilarang dalam Islam. Oleh itu, seorang muslim sepatutnya mengajak orang lain untuk melakukan kebaikan dan perkara-perkara yang diharuskan syarak. Perkara ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT berikut:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk melakukan kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

 

Mencari rezeki yang halal adalah suatu kewajipan melangkaui kewajipan lain, maka umat Islam amat dituntut untuk mencari rezeki dan memastikannya datang daripada sumber yang halal. Abdullah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌طَلَبُ ‌كَسْبِ ‌الْحَلَالِ ‌فَرِيضَةٌ ‌بَعْدَ ‌الْفَرِيضَةِ

Maksudnya: Mencari rezeki daripada sumber yang halal adalah suatu kewajipan utama melangkaui kewajipan lain.

Riwayat al-Baihaqi dalam Sha’b al-Iman (8367)

 

Kesimpulan

Hukum mengambil upah mempromosikan perkara yang diharamkan atau difatwakan haram adalah haram. Ini adalah kerana perkara yang haram dianggap tidak ada nilai di sisi syarak dan tidak boleh dijadikan manfaat atau subjek dalam kontrak upah mengupah. Tambahan lagi, perbuatan tersebut termasuk dalam perbuatan tolong-menolong dalam perkara yang mungkar serta akan menyebabkan orang lain terjebak dalam perkara yang haram. Manakala upah yang diterima adalah haram dan perlu dibersihkan.

 

Wallahualam.

 

[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=promosi

[2] إن الأصل في المعاملات والعقود الإذن والإباحة إلا ما جاء نص صحيح الثبوت صريح الدلالة يمنعه ويحرمه فيوقف عنده

[3] (وَ) يُشْتَرَطُ (كَوْنُ ‌الْمَنْفَعَةِ ‌مُتَقَوِّمَةً) ، لَمْ يُرِدْ بِالْمُتَقَوِّمَةِ هُنَا مُقَابِلَةَ الْمِثْلِيَّةِ، بَلْ مَا لَهَا قِيمَةٌ لِيَحْسُنَ بَذْلُ الْمَالِ فِي مُقَابَلَتِهَا، كَاسْتِئْجَارِ دَارٍ لِلسُّكْنَى، وَالْمِسْكِ وَالرَّيَاحِينِ لِلشَّمِّ، فَإِنَّهَا إذَا لَمْ تَكُنْ لَهَا قِيمَةٌ إمَّا لِحُرْمَتِهَا أَوْ لِخِسَّتِهَا أَوْ قِلَّتِهَا يَكُونُ بَذْلُ الْمَالِ فِي مُقَابَلَتِهَا سَفَهًا وَتَبْذِيرًا