Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA SIRI KE-674: HUKUM PERKAHWINAN DENGAN PASANGAN MAZHAB IBADI

Picture1

Soalan

Assalammualaikum, saya bercadang untuk berkahwin dengan pasangan saya yang berasal dari Oman. Tapi saya waswas adakah sah perkahwinan saya sekiranya berkahwin dengan berlainan mazhab iaitu Ibadi?

Ringkasan Jawapan

Mazhab Ibadi merupakan mazhab yang terkeluar dari Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebahagian sarjana berpandangan bahawa mereka ialah dari kelompok Khawarij manakala sebahagian sarjana lagi tidak bersetuju mengolongkan kelompok Ibadi di dalam kelompok Khawarij. Terdapat pelbagai pecahan dalam mazhab Ibadi yang sebahagiannya dekat dengan ahli sunnah manakala sebahagian lagi melampau sehingga menghina sahabat Nabi R.anhum.

Perkahwinan dengan orang yang bermazhab Ibadi adalah sah kerana mereka masih lagi termasuk dikalangan orang Islam sekalipun mereka sesat. Walau bagaimanapun kami menasihatkan supaya mencari pasangan yang memilki pegangan yang benar khususnya dalam bab akidah yang selaras dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Huraian Jawapan

Mazhab Ibadi di asaskan oleh Jabir bin Zaid. Namun begitu mazhab ini dinisbahkan kepada Abdullah bin Ibad al-Tamimi kerana beliaulah yang jelas menentang dari sudut politik khususnya pada zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan[1]. Sebahagian sarjana seperti Muhammad Abu Zahrah berpandangan bahawa mazhab Ibadi merupakan pecahan kepada kelompok Khawarij. Meskipun begitu mereka merupakan kelompok Khawarij yang paling dekat dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fakta ini dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Abu Zahrah:

هُمْ أَتْبَاعُ عَبْدِ اللهِ بْنِ إِبَاضٍ وَهُمْ أَكْثَرُ الخَوَارِجِ اِعْتِدَالًا، وَأَقْرَبُهُمْ إِلَى الجَمَاعَةِ الإِسْلاَمِيَّةِ تَفْكِيْرًا فَهُمْ أَبْعَدُهُمْ عَنِ الشَطَطِ وَالغُلُوِّ

Maksudnya: “Mereka ialah pengikut kepada Abdullah bin Ibad. Mereka adalah kelompok Khawarij yang paling pertengahan. Selain itu, mereka adalah yang paling dekat dengan Jamaah Islamiyah dari sudut cara berfikir. Mereka juga paling jauh dari kesesatan dan pelampauan[2].”

Menurut Muhammad Abu Zahrah lagi mereka ialah kelompok Islam yang melampau. Mereka tersesat dalam mencari kebaikan. Kelompok begini tidak dihukumkan dengan kafir meskipun mereka itu sesat. Oleh itu diriwayatkan dari Saidina Ali RA beliau melarang orang ramai memerangi Khawarij selepas kewafatannya. Ini kerana mereka ialah kelompok yang mencari kebenaran namun tersesat[3]. Meskipun begitu terdapat sebahagian dari kelompok ini yang memilki pandangan-pandangan yang boleh mengeluarkan mereka dari Islam.

Dalam kitab al-Farq baina al-Firaq disebutkan bahawa antara mereka yang memiliki pandangan yang membawa kepada kekufuran ialah:

  • Al-Yazidiyyah: Mereka mendakwa bahawa Allah SWT akan membangkitkan Nabi dari kalangan ajam(bukan arab) dan akan diturunkan kepadanya kitab suci yang akan menasakhkan syariat Nabi Muhammad.
  • Al-Maimuniyah: Mereka berfahaman bahawa seseorang boleh berkahwin dengan cucu perempuan dan anak saudara perempuan. Di samping itu mereka juga menolak surah Yusuf sebagai sebahagian dari al-Quran kerana menurut mereka kisah Yusuf bercerita tentang kesusahan yang Allah berikan secara berterusan. Perkara ini tidak layak bagi Allah SWT[4].

Walau bagaimanapun menurut Ali Muhammad al-Sallabi kelompok Ibadi pada hakikatnya bukanlah pecahan dari kelompok Khawarij. Bahkan menurut beliau tokoh-tokoh ulama mazhab Ibadi sendiri tidak bersetuju dengan penisbahan mereka kepada kelompok Khawarij[5]. Angapan bahawa mazhab Ibadi merupakan sebahagian dari kelompok Khawarij telah wujud semenjak zaman Imam Abu Hasan al-Asyaari dalam bukunya al-Maqalat al-Islamiyin[6]. Meskipun begitu Ali al-Sallabi turut bersetuju bahawa antara ciri-ciri utama kelompok ini ialah:

  • Melampau dalam agama.
  • Jahil terhadap agama.
  • Berkeras dengan sesama Islam.
  • Mengkafirkan orang yang melakukan dosa besar.
  • Menghina sebahagian Sahabat[7].

Tunstasnya mazhab Ibadi merupakan kelompok Islam yang terkeluar dari Ahli Sunnah Wal Jamaah.  Berkahwin dengan mereka yang bermazhab Ibadi adalah sah kerana mereka masih lagi dianggap sebagai Islam. Walau bagaimanapun kami menasihatkan supaya mencari pasangan yang berakidah dengan akidah yang sahihah iaitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Islam ialah agama yang menuntut setiap penganutnya untuk mencari pasangan hidup yang baik. Saranan mencari pasangan yang baik dinayatakan oleh Baginda SAW agar tidak timbul kerosakan dan fitnah dalam hidup berumahtangga. Sabda Nabi SAW:

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ ، إِلا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya: “Apabila seorang yang kamu reda dengan agamanya dan akhlaknya meminang kamu maka kahwinilah. Jika kamu tidak lakukannya nascaya akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang berpanjangan.”

(Riwayat Tirmzi)

Berkahwin dengan mereka yang tidak bermazhab dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dikhuatiri akan menyebabkan seseorang itu terpengaruh dengan akidah yang sesat. Imam al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal menceritakan bahawa seorang lelaki bernama Imran bin Hitan ingin berkahwin dengan seorang wanita yang berfahaman Khawarij. Pada asalnya niat beliau ingin menarik wanita tersebut kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Namun pada akhirnya beliau terpengaruh dengan fahaman Khawarij dan menjadi antara pemuka kelompok Khawarij[8].

Ini merupakan antara kesan buruk apabila berkahwin dengan sorang ahli bidaah. Bahkan menurut Imam Zakaria al-Ansari seoang ahli bidaah dianggap tidak sekufu dengan seorang ahli sunnah. Beliau berkata:

وَالْمُبْتَدِعُ لَيْسَ كُفْءَ سُنِّيَّةٍ

Maksudnya: “Seorang ahli bidaah tidak sekufu dengan seorang Ahli Sunnah[9].”

Selain itu perkahwinan dengan pasangan yang bukan bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah akan menyebabkan pengaruh mazhab tersebut akan meresap ke dalam pemikiran anak-anak yang bakal dilahirkan.

 

 

[1] Muhammad Salim al-Awa’, al-Madaris al-Fikriyah al-Islamiyah, Beirut: al-Syabakah al-Arabiyah li Abhas wa al-Nasyr (2016), hlm. 62.

[2] Muhammad Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah fi al-Siyasah wa al-Aqaid wa al-Tarikh al-Mazahib al-Fiqhiyyah, Kaherah: Dar al-Fikr al-Arabi (t.t), hlm. 73.

[3] Ibid, hlm. 75.

[4] Abdul al-Qahir al-Baghdadi, al-Farq baina al-Firaq, Kaherah: Matbaah al-Madani (t.t), hlm. 104.

[5] Muhammad Ali al-Sallabi, al-Ibadiyah Madrasah Islamiyyah Ba`idah `an al-Khawarij, Beirut: Dar Ibn Kathir (2019), hlm. 22.

[6] Ibid, hlm. 889.

[7] Ibid, hlm. 888.

[8] Imam al-Mizzi, Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal, Beirut: Muasasah al-Risalah (1980), jld. 22, hlm. 323.

[9] Syeikh Zakaria al-Ansari, Fath al-Wahhab, Beirut: Dar al-Fikr (1994), jld. 2, hlm. 47.