Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-684: BOLEHKAH MENYAMBUT HARI RAYA SELAMA SEBULAN SYAWAL?

Screenshot 2022 05 25 at 10.45.57 AM

 

Soalan:

Asalamualaikum SS Datuk, semoga sentiasa dirahmati Allah. Saya pernah mendengar bahawa ada seorang ustaz memberitahu hari raya aidilfitri hanya sehari. Orang melayu sahaja yang menyambut hari raya sehingga sebulan. Betulkah kenyataan ustaz ini?

Ringkasan Jawapan:

Hari raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam. Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh nabi SAW. Namun orang Ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal di samping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

Huraian Jawapan:

Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan aid(عيد) kerana  hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun[1]. Setelah sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira. Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi SAW sampai ke Madinah Nabi mendapati penduduk Madinah memiliki 2 hari yang mereka bergembira padanya lalu Nabi SAW bertanya: “Apakah dua hari ini?” lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira”, nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.”

(Riwayat Abu daud)

Manakala dalam riwayat yang lain Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Nabi SAW dan ketika itu terdapat 2 orang hamba perempuan dari kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as. Lalu Abu Bakar RA berkata: “Adakah seruling Syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?” lalu Rasulullah SAW  bersabda:

يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَهَذَا عِيدُنَا

Maksudnya: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan berkenaan hadis ini berkata: “Antara faedah yang boleh diambil dari hadis ini ialah disyariatkan memperluaskan memberi keluarga sesuatu yang boleh menggembirakan ahli keluarga pada hari raya di samping merehatkan badan dari kepenatan ibadat. Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah termasuk dalam syiar agama[2].”

Pada hari raya umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim. Ziarah menziarahi pada hari raya dapat difahami daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah baginda Nabi SAW[3]. Suasana di Malaysia orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara mara dan rakan taulan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan siaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

مَن أحَبَّ أنْ يُبْسَطَ له في رِزْقِهِ، ويُنْسَأَ له في أثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezkinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.”

(Riwayat al-Bukhari)

Manakala berkenaan kelebihan memuliakan tetamu pula Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا، أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkatalah benar atau diam, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah menyakiti jiran, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu.” 

(Riwayat al-Bukhari)

Tidak dinafikan bahawa hari raya yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal. Walau bagaimanapun ia tidak menafikan kebaikan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim sama ada pada bulan Syawal mahupun pada bulan-bulan yang lain. Adat kebiasaan di Malaysia pada bulan Syawal orang ramai akan melakukan ziarah menziarahi dan ini merupakan adat kebiasaan yang baik. Mana-mana adat yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah fiqh disebutkan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)[4].”

Kami juga telah bincangkan berkenaan isu ini dalam artikel yang lepas bertajuk "Sambut Hari Raya Sebulan itu Bidaah?" sila rujuk link berikut untuk bacaan lanjut: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3499-al-kafi-1296-sambut-hari-raya-sebulan-itu-bid-ah  

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam. Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh nabi SAW. Namun orang Ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal disamping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

 

[1] Al-Azhari, Tahzib al-Lughah,  Beirut: Dar al-Ihya’ al-Thurast al-Arabi (2001), jld. 3, hlm. 85.

ثَعْلَب عَن ابْن الْأَعرَابِي: سُمِّي العِيد عِيداً لِأَنَّهُ يعود كل سنة بفرح مجدَّد.

[2] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Beirut: Dar al-Makrifah (1379H), jld. 2, hlm. 443.

 وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ مِنَ الْفَوَائِدِ مَشْرُوعِيَّةُ التَّوْسِعَةِ عَلَى الْعِيَالِ فِي أَيَّامِ الْأَعْيَادِ بِأَنْوَاعِ مَا يَحْصُلُ لَهُمْ بَسْطُ النَّفْسِ وَتَرْوِيحُ الْبَدَنِ مِنْ كَلَفِ الْعِبَادَةِ وَأَنَّ الْإِعْرَاضَ عَنْ ذَلِكَ أَوْلَى وَفِيهِ أَنَّ إِظْهَارَ السُّرُورِ فِي الْأَعْيَادِ مِنْ شِعَارِ الدِّينِ

[3] Al-Mausuah al-Quwaitiyyah, Kuwait: Dar al-Salasil (1404-1427H), jld. 31, hlm.117.

التَّزَاوُرُ مَشْرُوعٌ فِي الإِْسْلاَمِ، وَقَدْ وَرَدَ مَا يَدُل عَلَى مَشْرُوعِيَّةِ الزِّيَارَةِ فِي الْعِيدِ، فَقَدْ رُوِيَ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: دَخَل عَلَيَّ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ. فَاضْطَجَعَ عَلَى الْفِرَاشِ وَحَوَّل وَجْهَهُ، وَدَخَل أَبُو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي، وَقَال مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَأَقْبَل عَلَيْهِ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَال: دَعْهُمَا زَادَ فِي رِوَايَةِ هِشَامٍ: يَا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُل قَوْمٍ عِيدًا، وَهَذَا عِيدُنَا (١) قَال فِي الْفَتْحِ: قَوْلُهُ: " وَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ " وَفِي رِوَايَةِ هِشَامٍ بْنِ عُرْوَةَ " دَخَل عَلَيَّ أَبُو بَكْرٍ " وَكَأَنَّهُ جَاءَ زَائِرًا لَهَا بَعْدَ أَنْ دَخَل النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْتَهُ (٢)

[4] Imam al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazoir, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1990), hlm. 60.