Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-699: ADAKAH DIKENAKAN ZAKAT PADA EMAS YANG TELAH DIGADAI

if699.PNG

Soalan

Assalamualaikum, saya ada persoalan berkaitan dengan zakat emas yang telah saya cagarkan. Adakah diwajibkan ke atas saya untuk mengeluarkan zakat sekiranya sudah cukup tempoh setahun. Mohon pencerahan daripada Pejabat Mufti Wilayah. Sekian terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Emas yang dicagar atau digadai wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisabnya (kadar yang diwajibkan zakat) mengikut perkiraan yang ditentukan oleh pejabat zakat negeri dan telah mencapai haul (tempoh setahun).

Huraian Jawapan

Zakat merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Kewajipan menunaikannya adalah untuk memenuhi hak bagi golongan asnaf yang memerlukan. Hal ini menunjukkan bahawa Islam merupakan agama yang menyeluruh termasuk dalam membantu dan melindungi umat manusia. Bahkan Allah SWT menjadikan zakat sebagai pembersih dosa dan menyucikan diri daripada keburukan akhlak. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Taubah, 103)

Berbalik kepada persoalan di atas, cagaran atau gadaian menurut bahasa arab disebut sebagai al-Rahnu. Menurut istilah fiqh, al-Rahnu adalah meletakkan sesuatu yang barang berharga sebagai jaminan hutang. Konsep ini dijelaskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

جَعْل عَيْنٍ مَالِيَّةٍ وَثِيقَةً بِدَيْنٍ يُسْتَوْفَى مِنْهَا أَوْ مِنْ ثَمَنِهَا إِذَا تَعَذَّرَ الْوَفَاءُ

Maksudnya: Menjadikan sesuatu yang berbentuk harta sebagai perjanjian (jaminan) hutang bagi melangsaikannya atau daripada nilainya apabila berlaku kesukaran untuk menjelaskannya [1]

Nabi SAW juga pernah melakukan cagaran baju besinya kepada seorang yahudi dan ini menunjukkan tentang keharusan untuk melakukannya. Perkara ini diceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا إِلَى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah membeli makanan secara tangguh daripada seorang yahudi dengan mencagar baju besinya

Riwayat al-Bukhari (2509)

Zakat emas dan perak wajib dikeluarkan oleh setiap individu muslim yang merdeka apabila memilikinya dengan pemilikan yang sempurna, mencapai nisab dan mencukupi tempoh seperti yang telah ditetapkan syarak.[2]

Begitu juga dalam permasalahan cagaran emas atau perak, pencagar wajib mengeluarkan zakat apabila sudah memenuhi syarat-syaratnya. Ini kerana emas dan perak yang dicagarnya itu masih lagi hak milik sempurna bagi pencagarnya. Imam al-Nawawi menyebut tentang perkara ini di dalam kitabnya:

لَوْ رَهَنَ مَاشِيَةً أَوْ غَيْرَهَا مِنْ أَمْوَالِ الزَّكَاةِ وَحَالَ الْحَوْلُ فَطَرِيقَانِ الْمَذْهَبُ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ وُجُوبُ الزَّكَاةِ لِتَمَامِ الملك

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu mencagar haiwan ternakan atau sesuatu harta zakat yang selainnya, apabila cukup haul maka terdapat dua jalan periwayatan di dalam mazhab, menurut pandangan jumhur ulama, wajib dikeluarkan zakat atas sebab pemilikan sempurna.[3]

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi menyatakan di dalam karyanya, al-Rahnu atau cagaran hanya berlaku dalam transaksi hutang. Oleh itu, dalam mazhab al-Syafi’i hutang tidak menghalang kewajipan mengeluarkan zakat.[4]

Oleh itu berdasarkan kepada perbincangan di atas, emas yang dicagar atau digadai wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisabnya (kadar yang diwajibkan zakat) mengikut perkiraan yang ditentukan oleh pejabat zakat negeri dan telah mencapai haul (tempoh setahun).

 

[1] Wizarah al-Auqaf wa Syuun al-Islamiyyah, al-Maus’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Kuwait: Dar al-Salasil, 1427) 23/175

[2] Abu Bakr bin Muhammad bin ‘Abdul Mu’min al-Husaini al-Hisni, Kifayah al-Akhyar fi Hal Ghayah al-Ikhtisar. (Damsyik: Dar al-Khair, 1994) hlm.171

[3] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Bairut: Dar al-Fikr, t.t) 5/343

[4] Ibid., 5/471

وَالرَّهْنُ لَا يَكُونُ إلَّا بِدَيْنٍ وَفِي كَوْنِ الدَّيْنِ مَانِعًا لِوُجُوبِ الزَّكَاةِ قَوْلَانِ سَبَقَا هُنَاكَ (الْأَصَحُّ) الْجَدِيدُ لَا يَمْنَعُ فَإِنْ قُلْنَا الرَّهْنُ لَا يَمْنَعُ الزَّكَاةَ وَقُلْنَا الدَّيْنُ لَا يَمْنَعُهَا أَوْ يمنعها وكان له مال آخر بقى بِالدَّيْنِ وَجَبَتْ الزَّكَاةُ وَإِلَّا فَلَا