Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-709 : BOLEHKAH MEWAKAFKAN MAKANAN?

709

 

Soalan

Assalamualaikum dato, adakah dibolehkan untuk kita wakaf makanan? Contohnya, saya nak anjurkan program bantuan makanan untuk golongan yang memerlukan dan saya akan buat iklan “Wakaf Makanan” untuk minta sumbangan dari orang ramai. Mohon pencerahan.

 

Jawapan Ringkas

Makanan tidak boleh diwakafkan kerana manfaat harta yang ingin diwakafkan mestilah dapat digunakan berterusan seperti tanah, rumah, telaga, kereta dan sebagainya. Manakala makanan pula manfaatnya tidak dapat digunakan berterusan, selepas makanan itu habis maka manfaat yang diberikan terhenti setakat itu sahaja. Sebaiknya kempen tersebut menggunakan nama lain yang lebih sesuai seperti Infak Makanan atau Sedekah Makanan dan lain-lain kerana lebih tepat dan mencapai maksud kempen yang ingin dilakukan.

 

Huraian Jawapan

Perkara utama dalam merungkai persoalan yang ditanyakan ini adalah dengan memahami maksud wakaf itu sendiri. Wakaf bermaksud menahan hak pewakaf untuk melakukan urusan jual beli, pewarisan dan sebagainya ke atas harta yang boleh dimanfaatkan dengan mengekalkan sifat fizikal harta itu, untuk mendekatkan diri kepada Allah. (Rujuk  Musnad al-Syafie 138/2[1]; Mughni al-Muhtaj 522/3[2]; Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih 3/12[3])

 

Kebiasaannya, perkara yang boleh diwakafkan adalah harta yang boleh memberi manfaat yang berterusan sama ada harta tidak alih (‘aqar) seperti tanah, bangunan, telaga dan seumpamanya atau harta alih (manqul) seperti kereta, haiwan tunggangan, pinggan mangkuk dan sebagainya. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 607/3)

 

Para ulama menyatakan bahawa wakaf adalah sedekah jariah. Ganjaran bagi orang yang berwakaf akan mengalir berterusan selagi harta yang diwakafkan itu wujud dan boleh diambil manfaat darinya. Contohnya, seseorang mewakafkan RM100 untuk pembinaan surau/masjid, selagi surau/masjid itu masih wujud maka selagi itulah dia akan mendapat pahala. (Rujuk Asna al-Matalib 457/2[5])

 

Perkara ini juga dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW berikut:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، ‌أَوْ ‌وَلَدٍ ‌صَالِحٍ ‌يَدْعُو ‌لَهُ

Maksudnya: Apabila seseorang itu mati, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmunya yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.

Riwayat Muslim (1631)

 

Manakala dalam konteks persoalan yang diajukan ini dilihat lebih sesuai dengan konsep sedekah. Ini adalah kerana apabila kita memberikan makanan atau wang untuk membeli makanan, kemudian setelah makanan itu habis dimakan maka pahala hanya setakat itu sahaja kerana manfaatnya hanya sekali. Berbeza dengan wakaf, pahala yang diperoleh daripada wakaf akan berterusan kerana manfaatnya dapat digunakan berulang kali dan berterusan.

 

Tambahan lagi, para ulama mazhab Syafie turut menyatakan bahawa makanan tidak boleh diwakafkan. Ini adalah kerana manfaat yang boleh digunakan dari makanan tidak bersifat berterusan dan akan habis dengan cepat. Oleh itu, makanan akan menyebabkan tujuan berwakaf tidak dapat dicapai iaitu untuk memberi manfaat yang berterusan. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 524/3[6]; Nihayah al-Muhtaj 362/5[7]; al-Siraj al-Wahhaj h.302[8]; Hilyah al-Ulama’ fi Ma’rifah Mazahib al-Fuqaha’ 11/6[9])

 

Kesimpulan

Makanan tidak boleh diwakafkan kerana manfaat harta yang ingin diwakafkan mestilah dapat digunakan berterusan seperti tanah, rumah, telaga, kereta dan sebagainya. Manakala makanan pula manfaatnya tidak dapat digunakan berterusan, selepas makanan itu habis maka manfaat yang diberikan terhenti setakat itu sahaja. Sebaiknya kempen tersebut menggunakan nama lain yang lebih sesuai seperti Infak Makanan atau Sedekah Makanan dan lain-lain kerana lebih tepat dan mencapai maksud kempen yang ingin dilakukan.

Wallahualam.

 

[1] ‌حبس ‌مال ‌يمكن ‌الإنتفاع ‌به مع بقاء عينه

[2] ‌حَبْسُ ‌مَالٍ ‌يُمْكِنُ ‌الِانْتِفَاعُ ‌بِهِ مَعَ بَقَاءِ عَيْنِهِ بِقَطْعِ التَّصَرُّفِ فِي رَقَبَتِهِ عَلَى مَصْرَفٍ مُبَاحٍ مَوْجُودٍ

[3] ‌حبس ‌مال ‌يمكن ‌الانتفاع ‌به ‌مع ‌بقاء ‌عينه, ممنوع من التصرف في عينه, وتصرف منافعه إلى وجه من وجوه [البر] , يقصد به التقرب إلى الله تعالى

[5] وَالصَّدَقَةُ الْجَارِيَةُ مَحْمُولَةٌ عِنْدَ الْعُلَمَاءِ عَلَى الْوَقْفِ

[6] (لَا مَطْعُومٌ وَرَيْحَانٌ) بِرَفْعِهِمَا، فَلَا يَصِحُّ وَقْفُهُمَا وَلَا مَا فِي مَعْنَاهُمَا، لِأَنَّ مَنْفَعَةَ الْمَطْعُومِ فِي اسْتِهْلَاكِهِ، وَعَلَّلَ فِي الرَّوْضَةِ كَأَصْلِهَا عَدَمُ صِحَّةِ وَقْفِ الرَّيْحَانِ بِسُرْعَةِ فَسَادِهِ، وَقَضِيَّتُهُ تَخْصِيصُهُ بِالرَّيَاحِينِ الْمَحْصُودَةِ

[7] (‌لَا ‌مَطْعُومٌ) بِالرَّفْعِ أَيْ وَقْفُهُ إذْ نَفْعُهُ بِإِهْلَاكِهِ

[8] فَلَا يَصح وقفهما لاستهلاك المطعوم بِالْأَكْلِ وَقرب فنَاء الريحان

[9] ولا يجوز ‌وقف ‌الطعام..... لأنه لا يمكن الانتفاع به على الدوام