Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-721 : BENARKAH ORANG YANG MENGEJEK DOSA ORANG LAIN AKAN DIUJI DENGAN DOSA YANG SAMA SEBELUM MENINGGAL DUNIA?

 

Irsyad Fatwa 721

SOALAN

Assalamualaikum. Saya pernah terdengar ada seorang ustaz menyebut bahawa jika kita mengejek seseorang kerana maksiat yang dilakukannya, kelak kita akan diuji dengan maksiat yang sama sebelum kita meninggal dunia. Adakah perkara tersebut benar dan ada sandaran dalam agama?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi berkaitan perkara ini. Para ulama juga ada mensyarahkan maksud yang sama bagi hadis tersebut bahawa seseorang yang mengejek dosa orang lain yang telah bertaubat daripadanya, maka dia akan diuji dengan melakukan dosa yang sama sebelum meninggal dunia. Hal ini kerana perbuatan tersebut disertai perasaan 'ujub terhadap diri sendirimendakwa dirinya suci daripada dosa tersebut serta tidak akan melakukannya selama-lamanya.

Oleh yang demikian, hendaklah kita menjauhi diri kita daripada perbuatan mengejek dan mencela dosa orang lain agar tidak termasuk dalam ancaman dalam hadis tersebut.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Berkaitan perkara ini terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi yang membawa maksud sedemikian. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«مَنْ عَيَّرَ أَخَاهُ بِذَنْبٍ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَعْمَلَهُ» قَالَ أَحْمَدُ: قَالُوا: «مِنْ ذَنْبٍ قَدْ تَابَ مِنْهُ»

Maksudnya: Sesiapa yang mengejek saudara seagamanya atas dosa yang dilakukannya, maka dia tidak akan meninggal dunia kecuali dia diuji melakukan dosa tersebut. Menurut Imam Ahmad, para ulama menyatakan bahawa ia daripada dosa yang telah dia bertaubat daripadanya.[1]

Riwayat al-Tirmidzi (2505)

Walau bagaimanapun hendaklah diketahui terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan perbuatan mengejek tersebut. Ibn ‘Illan menjelaskan bahawa perbuatan mengejek itu untuk tujuan memburukkan orang yang melakukan maksiat tersebut. Kata beliau:

قال رسول الله: «من عير أخاه بذنب لم يمت حتى يعمله» يقال عيرته بفعل كذا: إذا قبحته عليه ونسبته إليه

Maksudnya: Sabda Rasulullah SAW, ‘Sesiapa yang mengejek saudara seagamanya atas dosa yang dilakukannya, maka dia tidak akan meninggal dunia kecuali dia diuji melakukan dosa tersebut.’ Dikatakan seseorang itu mengejek seseorang apabila dia memburukkannya dan menisbahkan keburukan itu kepada diri pelaku tersebut.[2] (Rujuk Dalil al-Falihin, 5:274)

Di samping itu Imam al-Ghazali menjelaskan juga bahawa:

وكل هذا يرجع إلى استحقار الغير والضحك عليه استهانة به واستصغاراً لَهُ

Maksudnya: Perbuatan ini semua kembali kepada tujuan untuk menghina orang lain dan mentertawakannya serta merendah-rendahkan orang yang diejek tersebut.[3] (Rujuk Ihya Ulumuddin, 3:131)

Justeru berdasarkan hadis ini, jika seseorang mencela saudaranya yang muslim atas dosa yang dilakukannya, maka dia akan dibalas dengan sendirinya akan melakukan dosa tersebut sebelum dia meninggal dunia. Syeikh Mulla Ali al-Qari menjelaskan hal ini bahawa:

أَيْ: وَبَّخَ وَلَامَ (أَخَاهُ) أَيِ: الْمُسْلِمَ (بِذَنْبٍ) أَيْ: صَدَرَ مِنْهُ سَابِقًا أَوْ عَلَى طَرِيقِ الشَّمَاتَةِ (لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَعْمَلَهُ) أَيْ: مِثْلَ ذَنْبِهِ.

Maksudnya: Maksud hadis ini ialah memburukkan dan mencela saudaranya yang muslim dengan dosa yang telah dilakukannya atau dengan cara mengutuknya, maka dia tidak akan meninggal dunia sehingga dia sendiri melakukan dosa yang sama tersebut.[4] (Rujuk Mirqat al-Mafatih, 7.308)

Manakala Syeikh Mubarakfuri juga menjelaskan bahawa balasan bagi perbuatan tersebut ialah akan ditarik taufiq(petunjuk) daripadanya sehingga dia melakukan dosa yang dia mengejek saudaranya tersebut. Kata beliau:

يُجَازَى بِسَلْبِ التَّوْفِيقِ حَتَّى يَرْتَكِبَ مَا عَيَّرَ أَخَاهُ بِهِ وَذَاكَ إذَا صَحِبَهُ إعْجَابُهُ بِنَفْسِهِ بِسَلَامَتِهِ مِمَّا عَيَّرَ بِهِ أَخَاهُ.

Maksudnya: Dibalas (disebabkan perbuatan tersebut) dengan ditarik taufiq daripadanya sehingga dia melakukan maksiat yang diejek saudaranya tersebut. Hal ini sekiranya perbuatan tersebut disertai perasaan ujub terhadap dirinya sendiri bahawa dia akan terselamat daripada maksiat yang diejek saudaranya tersebut.[5] (Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, 2:682)

Selain itu, perlu diketahui juga bahawa perbuatan mengejek dosa orang lain dengan menganggap diri sendiri suci daripada dosa itu adalah lebih besar dosanya berbanding dosa orang tersebut. Ibn Qayyim menjelaskan bahawa:

أَنَّ تَعْيِيرَكَ لِأَخِيكَ بِذَنْبِهِ أَعْظَمُ إِثْمًا مِنْ ذَنْبِهِ وَأَشَدُّ مِنْ مَعْصِيَتِهِ، لِمَا فِيهِ مِنْ صَوْلَةِ الطَّاعَةِ، وَتَزْكِيَةِ النَّفْسِ، وَشُكْرِهَا، وَالْمُنَادَاةِ عَلَيْهَا بِالْبَرَاءَةِ مِنَ الذَّنْبِ

Maksudnya: Sesungguhnya dosa perbuatan kamu mengejek saudaramu atas dosa yang dilakukannya adalah lebih besar daripada dosanya dan lebih teruk daripada maksiatnya tersebut. Ini kerana ia terkandung sifat menganggap diri sendiri sentiasa akan berada dalam ketaatan, suci daripada maksiat, mensyukuri dosa itu tidak berlaku ke atasnya serta mendakwa dirinya tidak akan melakukan dosa tersebut. [6] (Rujuk Madarij al-Salikin, 1:194)

Di samping itu, perlu juga dibezakan antara perbuatan mengejek atau mencela dalam erti kata mencegah kemungkaran. Kedua-duanya kembali kepada cara dan niat seseorang. Mengejek itu datang daripada sikap takabbur dan rasa diri suci daripada sebarang dosa. Manakala mencela bagi mencegah kemungkaran pula bertujuan untuk menghalang sesuatu kemungkaran dalam syariah dan celaan dilakukan terhadap dosa dengan niat kerana Allah SWT.[7]

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat sandaran terhadap apa yang disebutkan itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam al-Tirmidzi dan penerangan di atas. Oleh yang demikian, hendaklah kita menjauhi diri kita daripada perbuatan mengejek dan mencela dosa orang lain agar tidak termasuk dalam ancaman dalam hadis ini.

WaAllahu a’lam.

 

 RUJUKAN

[1] Al-Tirmidzi, Muhammad Ibn Isa, 1975, Sunan al-Tirmidzi, Maktabah Mustafa al-Halabi, Kaherah, jld. 4, hlmn. 661. Hadis Hasan Gharib.

[2] Ibn ‘illan, Muhammad Ali Ibn Muhammad, Dalil al-Falihin li Turuq Riyadh al-Salihin, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jld. 5, hlmn. 274.

[3] Al-Ghazali, Muhammad Ibn Muhammad, t.t, Ihya Ulumuddin, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jld. 3, hlmn. 131.

[4] Al-Qari, Mulla Ali, 2002, Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 7, hlmn. 308.

[5] Al-Mubarakfuri, Muhammad Abd al-Rahman, t.t, Tuhfat al-Ahwazi Syarh Jami’ al-Tirmidzi, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 7, hlmn. 173.

[6] Al-Jawziyyah, Ibn Qayyim, 1996, Madarij al-Salikin Bayn Manazil Iyyaka Na’budu wa Iyyakan Nasta’in, Dar al-Kitab al-‘Arabiy, jld. 1, hlmn. 194.

[7] بين التعيير والنهي عن المنكر فرق فإن التعيير يكون من الكبر ويكون فيه براءة لنفسه، والنهي عن المنكر يكون لكون الشيء منكراً في الشريعة ويكون لله لا للتكبر.

Al-Kashmiri, Muhammad Anwar Syah, 2004, al-‘Urf al-Syadziy Syarh Sunan al-Tirmidzi, Dar al-Turath al-‘Arabi, Beirut, jld. 4, hlmn. 80.