Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-724 : HUKUM KAHWIN BERWALIKAN ADIK ANGKAT SECARA TIDAK SENGAJA

 

HUKUM KAHWIN BERWALIKAN ADIK ANGKAT SECARA TIDAK SENGAJA

 

SOALAN

Assalamualaikum wbkth.   Apakah hukum seseorang yang berkahwin berwalikan adik angkat? setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga berwalikan adik lelaki yang disangka adik kandungnya, rupanya adik itu adalah adik angkat. Kedua-dua ibu bapa kami sudah meninggal dunia pada ketika kejadian dan bagaimana status anak kami? Mohon penjelasan.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Perkahwinan yang berlangsung dengan menggunakan adik angkat sebagai wali adalah tidak sah di sisi syarak. Ini kerana adik angkat tidak termasuk dalam kategori wali nasab, bahkan hubungan di antara pengantin perempuan dan adik angkat tidak termasuk dalam pertalian nasab. Dalam isu ini, pernikahan yang berlangsung itu disebut sebagai nikah fasid iaitu tidak menepati syarat-syarat sah perkahwinan. Tindakan sewajarnya ialah pasangan tersebut perlu membuat permohonan faraq nikah iaitu dipisahkan oleh pihak mahkamah, dan bernikah semula dengan cara membuat permohonan wali hakim kerana ketiadaan wali nasab, perkara ini perlu merujuk dengan mahkamah. Manakala, anak pasangan tersebut tetap dikira sebagai anak sah taraf kerana anak itu dilahirkan melalui persetubuhan syubhah, bukan melalui zina.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Syarak menjelaskan bahawa seseorang yang ingin berkahwin namun tidak ada wali keturunannya, maka wali raja yang akan mengakadnikahkan bagi pihaknya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

فإن فقد المعتق وعصبته زوج السلطان

Maksudnya: “Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan.”

(Rujuk: Minhaj al-Tolibin, hlm 207)

 

Di sisi undang-undang juga menjelaskan bahawa sekiranya ketiadaan wali nasab dalam suatu pernikahan, maka perkahwinan itu diakadnikahkan oleh wali raja sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 7 (2):

“Jika suatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja.”

 

Justeru, pernikahan yang berlangsung dengan menggunakan adik angkat sebagai wali dikira tidak memenuhi syarat-syarat perkahwinan di sisi syarak dan undang-undang. Suatu pernikahan yang tidak cukup syarat-syaratnya adalah dikira sebagai perkahwinan tidak sah. Melalui seksyen 11 Akta Undang-Undang Keluarga lslam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyebut:

“Suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah.” 

 

Sehubungan dengan itu, pernikahan yang sudah pun berlangsung ini dikategorikan sebagai nikah fasid iaitu kerana akad nikah tersebut tidak sah tanpa sengaja, maka persetubuhan yang berlaku di antara pasangan ini disifatkan sebagai “persetubuhan syubhah”. Anggapan mereka sah akad nikah tersebut akan tetapi tidak sah. Perkara ini telah ditafsirkan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984:

“Persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak duhukum Had dalam Islam.”

 

Anak dari hasil mereka tetap dikira sebagai anak sah taraf sekiranya anak tersebut lahir dalam tempoh enam bulan qamariah sehingga empat tahun qamariah. Dinyatakan di dalam seksyen 113 Akta Undang-Undang Keluarga lslam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984:

“Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”

 

Menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami bahawa anak yang dikira sebagai anak sah taraf adalah sekurang-kurangnya tempoh anak itu berada dalam kandungan ibunya ialah selama 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut dari tarikh persetubuhan mereka.

(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/151)[1]

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pernikahan yang berlangsung dengan menggunakan adik angkat sebagai wali nikah adalah tidak sah di sisi syarak , walaupun perkara itu berlaku secara tidak sengaja. Kemudian anak yang lahir dari hasil pernikahan tersebut masih dikira sebagai anak sah taraf kerana anak itu dilahirkan melalui persetubuhan syubhah, bukan melalui zina. Justeru, kami menyarankan agar pihak pasangan tersebut merujuk dengan mahkamah untuk tindakan yang selanjutnya bagi memastikan keabsahan suatu perkahwinan itu terjamin dan selamat di sisi syarak dan undang-undang. والله أعلم

 

[1] (وَلَوْ ادَّعَتْ وِلَادَةَ وَلَدٍ تَامٍّ) فِي الصُّورَةِ الْإِنْسَانِيَّةِ (فَإِمْكَانُهُ) أَيْ أَقَلُّهُ (سِتَّةُ أَشْهُرٍ) عَدَدِيَّةٍ لَا هِلَالِيَّةٍ كَمَا بَحَثَهُ الْبُلْقِينِيُّ أَخْذًا مِمَّا يَأْتِي فِي الْمِائَةِ وَالْعِشْرِينَ (وَلَحْظَتَانِ) وَاحِدَةٌ لِلْوَطْءِ وَوَاحِدَةٌ لِلْوَضْعِ، وَكَذَا فِي كُلِّ مَا يَأْتِي (مِنْ وَقْتِ) إمْكَانِ اجْتِمَاعِ الزَّوْجَيْنِ بَعْدَ (النِّكَاحِ) لِثُبُوتِ النَّسَبِ بِالْإِمْكَانِ وَكَانَ أَقَلُّهُ ذَلِكَ