Soalan:
Assalamualaikum. Sekarang ni saya nampak macam dah trend lelaki menanam jambang lebih lebih lagi mereka yang berkemampuan dan berpengaruh. Persoalannya, apakah hukum menanam jambang? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.
Ringkasan Jawapan
Mencipta jambang yang secara fitrah asalnya memang tidak tumbuh, kemudian menanam jambang hanya semata - mata untuk kesempurnaan penampilan imej bagi kaum lelaki adalah dilarang. Ia hanya diharuskan bagi tujuan merawat penyakit atau menghilangkan aib akibat ditimpa penyakit, kemalangan, terbakar atau yang seumpamanya daripada perkara-perkara yang mengakibatkan jambangnya hilang, rosak atau cacat.
Huraian Jawapan :
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Proses tanam jambang melibatkan pemindahan helaian bulu yang diambil daripada satu bahagian badan dan dipindahkan ke garis rahang di mana sahaja agar dapat tumbuh.[1]
Menanam jambang bagi mereka yang tiada jambang berbeza dengan mereka yang sedia tumbuh jambang secara fitrah. Bahkan mereka yang semula jadi tumbuh janggut mahupun jambang digalakkan untuk membiarkan janggut terus tumbuh secara semula jadi berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
Maksudnya: “Berbezalah kalian dengan orang musyrikin, simpanlah janggut dan potonglah misai”
Sahih Al-Bukhari (5892)
Begitu juga riwayat yang lain daripada Ibn Umar RAanhuma, Rasulullah SAW bersabda:
انْهَكُوا الشَّوَارِبَ، وَأَعْفُوا اللِّحَى
Maksudnya: Cukurlah misai, dan peliharalah jangut kalian
Sahih Al-Bukhari (5893)
Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan (أعفوا) ialah ‘membanyakkan”. [2]
Ibn Daqiq al-‘Eid mentafsirkan bahawa الإْعْفَاءِ memperbanyakkan pada hakikatnya memberi maksud membiarkan akan menyebabkan janggut tumbuh dengan banyak/ lebat. [3] Ibn Daqiq menyatakan bahawa perintah dalam hadis tidak membawa maksud harus melakukan rawatan dengan sesuatu yang boleh melebatkannya.[4] Berdasarkan hujah ini, tiada perintah melebatkan janggut/jambang dengan apa-apa rawatan mahupun menanam.
Memelihara janggut dengan cara membiarkan ia tumbuh merupakan sebahagian daripada amalan fitrah berdasarkan riwayat daripada Aisyah RA.anha, Rasulullah SAW bersabda :
عَشْرٌ مِنَ الفِطْرَةِ: قَصُّ الشَّارِبِ، وإعْفاءُ اللِّحْيَةِ، ، و اسْتِنْشاقُ الماءِ ، وقَصُّ الأظْفارِ ، و غَسْلُ البَراجِمِ ، و نَتْفُ الإبِطِ ، و حَلْقُ العانَةِ ، و انْتِقاصُ الماءِ
Maksudnya: “10 amalan fitrah iaitu mencukur misai dan memelihara janggut menyedut air ke dalam hidung (berwuduk), memotong kuku, membasuh pangkal sendi jari; mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari kemaluan dan menghilangkan kotoran dengan air. “
Riwayat Muslim (261)
Al-Nawawi menyatakan maksud “إِعْفَاءِ اللِّحَى " dalam hadis ialah membiarkan tumbuh dengan sempurna tanpa mencukurnya. [5]
Berbalik kepada soalan yang diajukan berkaitan seseorang yang ingin menanam janggut atau jambangnya yang tidak tumbuh dengan tujuan agar raut wajahnya tampak lebih kelelakian, Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan dalam kitabnya al-Jarahah al-Tajmiliyyah memberi pandangan dalam beberapa keadaan berikut : [6]
- Keadaan janggut atau jambang lambat tumbuh secara semulajadi, maka tidak harus melebatkannya dengan cara menanam janggut/jambang :
- Maksud memelihara janggut atau jambang yang tumbuh seperti yang diperintahkan ialah membiarkan janggut tanpa mencukur atau memotongnya yang mana di dalamnya tiada perintah untuk melebatkan janggut dengan cara menanam. Oleh itu berdasarkan hujah ini, tidak disyariatkan untuk menambah-nambah mahupun melebatkan janggut atau jambang dengan apa - apa rawatan seperti menanam jambang. Bahkan proses menanam jambang lebih baik ditegah disebabkan kesan serta risiko rawatan.
- Proses menanam janggut/jambang tidak ada keperluan sehingga mengubah ciptaan Allah SWT yang hanya semata - mata untuk kesempurnaan penampilan imej wajah tertentu bagi kaum lelaki. Justeru itu, tidak patut membenarkan sebarang perubahan ciptaan tersebut dengan terdedah pada risiko dan implikasi bahaya rawatan dalam proses menanam jambang.
- Keadaan janggut yang tidak lebat mahupun gugur disebabkan sakit atau kemalangan, maka hal tersebut dibenarkan menanam janggut kerana termasuk dalam kategori merawat masalah serta menghilangkan kerosakan atau aib terutamanya apabila memberi implikasi kepada penampilan lelaki yang tampak cacat dengan syarat bagi tujuan pembedahan rawatan bukannya pembedahan kosmetik.
Berdasarkan hujah yang dikemukakan, memelihara janggut/ jambang adalah dengan cara membiarkan ia tumbuh secara fitrah semula jadi tanpa melibatkan apa-apa proses rawatan seperti menanam janggut mahupun jambang.
Mencipta jambang baru seolah -seolah tidak menunjukkan keaslian penampilan wajah secara fitrah. Sesungguhnya fitrah asal penciptaan berdasarkan kehendak-Nya dan setiap penciptaan itu pasti mempunyai hikmah yang tersendiri berdasarkan firman Allah SWT:
لَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ فِیۤ أَحۡسَنِ تَقۡوِیم
Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya."
Surah At-Tin: (4)
PENUTUP
Berdasarkan perbahasan yang dibentangkan, mencipta jambang melalui kaedah menanam yang bertujuan semata-mata penampilan imej kaum lelaki adalah dilarang. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya hanya boleh diterima pada situasi keperluan mendesak dan bukan semata-mata untuk kecantikan (tahsiniyyah). Sekiranya tujuan menanam jambang kerana kecacatan atau kesan terbakar, ditimpa penyakit dan seumpamanya yang menyebabkan kerosakan pada jambangnya, maka ia diharuskan bagi membaik pulih keadaan jambangnya dengan syarat diambil dari bulu dari bahagian tubuhnya sahaja.
Seterusnya, kami menasihati kepada mana-mana doktor kecantikan dan perubatan yang pakar dalam dalam bidang tersebut agar mengenal pasti pelanggan yang datang untuk menanam jambang. Pakar hanya boleh menerima pelanggan yang menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak, iaitu tujuan penyembuhan penyakit atau menghilangkan aib. Manakala, pelanggan yang sekadar menanam jambang atau janggut demi menambah kecantikan, maka haram seorang pakar bersubahat terhadap perkara yang melanggar larangan Allah SWT.
RUJUKAN
[1] https://www.healthline.com/health/beard-implants#success-vs-failure
[2] Al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah. jil. 35. hlm. 224.
قَال: ذَهَبَ الأْكْثَرُونَ إِلَى أَنْ " أَعْفُوا " بِمَعْنَى كَثِّرُوا، أَوْ فِّرُوا، وَنُقِل عَنِ ابْنِ دَقِيقِ الْعِيدِ: تَفْسِيرُ الإْعْفَاءِ بِالتَّكْثِيرِ
[3]Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin Ali. Tafsir Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Bayrut : Dar al-Makrifah J: 10 P: 351
قطع أَكثر وَقَالَ بن دَقِيقِ الْعِيدِ تَفْسِيرُ الْإِعْفَاءِ بِالتَّكْثِيرِ مِنْ إِقَامَةِ السَّبَبِ مَقَامَ الْمُسَبِّبِ لِأَنَّ حَقِيقَةَ الْإِعْفَاءِ التَّرْكُ وَترك التَّعَرُّض للحية يسْتَلْزم تكثيرها
[4] Ibid
قَالَ بن دَقِيقِ الْعِيدِ لَا أَعْلَمُ أَحَدًا فَهِمَ مِنَ الْأَمْرِ فِي قَوْلِهِ أَعْفُوا اللِّحَى تَجْوِيزَ مُعَالَجَتِهَا بِمَا يُغْزِرُهَا كَمَا يَفْعَلُهُ بَعْضُ النَّاسِ
[5]Al-Nawawi, 1392, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Bayrut : Dar al-Ihya’ Turath al-‘Arabi : Cet 2. J3 : P150
وَإِعْفَاءِ اللِّحَى وَأَمَّا أَوْفُوا فَهُوَ بِمَعْنَى أَعْفُوا أَيِ اتْرُكُوهَا وَافِيَةً كَامِلَةً لَا تَقُصُّوهَا
[6] Soleh bin Muhamad al-Fawzan,(2008m) al-Jarahah al-Tajmiliyyah . Dar at-Tadmuyyah : Riyadh Cet J: 2. p:159
" يظهر لي أن للّحية حالتين :
الحالة الأولى : أن تكون ضعيفة في نموها خِلْقةً ، وفي هذه الحالة لا يجوز تكثيرها بزراعة الشعر لما يلي :
1- أن المراد بالإعفاء المأمور به : ترك اللحية وعدم أخذ شيء منها بالقص أو الحلق ، وليس في ذلك ما يدل على مشروعية تكثيرها بزراعة الشعر ، قياسا على عدم مشروعية تكثيرها بالمعالجة ، بل الزراعة أولى بالمنع لما تشتمل عليه من آثار ومضاعفات .
2- أن في زراعة شعر اللحية مع عدم الحاجة تغييرا لخلق الله تعالى ، ومجرد طلب الحسن والظهور بمظهر معين ، ليس كافيا في تجويز هذا التغيير ، مع ما يشتمل عليه من جرح وتعرض لبعض آثار ومضاعفات هذه الجراحة الطبية
.
الحال الثانية : ألا تكثر اللحية أو تتساقط بسبب مرض أو حادث ، وفي هذه الحال يظهر لي والله أعلم جواز زراعة شعر اللحية ، لأنه من باب العلاج وإزالة العيوب ، خاصة إذا ترتب على ذلك ظهور الرجل بشكل مشوّه مع التأكيد على شروط إجراء الجراحة الطبية وتجنب محاذير التجميل المحرم.