Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-733: HUKUM ORANG YANG KENCING TIDAK LAWAS MENGAMBIL WUDUK SEBELUM MASUK WAKTU JUMAAT DAN MELEWATKAN SOLATNYA

IF0733

 

SOALAN

Assalamualaikum ustaz. Saya mohon sangat sangat pencerahan, saya nak bertanyakan soalan tentang salisul baul. Ada kawan saya tanya saya, bila tanya ustaz lain dan cari web mufti serta youtube tentang ini, tidak jumpa penyelesaian bagi situasi untuk solat jumaat bagi orang yang bermasalah kencing tak lawas ini. Kalau nak solat jumaat, macam susah nak ambil wuduk selepas masuk waktu zuhur sebab orang dah ramai di masjid. Adakah dibolehkan untuk ambil wuduk sebelum masuk waktu bagi orang yang bermasalah salisul baul ini pada hari solat jumaat?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Golongan yang menghadapi penyakit kencing tidak lawas tidak perlu datang awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat kerana terdapat keringanan bagi mereka yang mempunyai keuzuran. Namun begitu, sekiranya mereka ingin datang awal ke masjid dia perlu berwuduk setelah azan pertama iaitu pada waktu permulaan khutbah. Mereka tidak perlu menyegerakan solat Jumaat setelah berwuduk meskipun ikut hukum asal dia perlu menyegerakannya setelah berwuduk.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kencing tidak lawas (salisul baul) ialah suatu penyakit yang mana seseorang itu tidak mudah untuk menahan air kencing dari terkeluar. Menurut Syeikh Murtadha al-Zabidi:

إِذا كانَ لَا يَستَمْسِكُه، وَقد سَلِسَ بَوْلُه، إِذا لَمْ يَتَهَيَّأْ لَهُ أَنْ يُمْسِكَه

Bermaksud: “Sekiranya dia tidak boleh menahannya (air kencingnya dari terkeluar), maka kencingnya tidak lawas, sekiranya tidak mudah baginya untuk menahannya (air kencing)”.

(Rujuk: Tajul Urus Min Jawahir al-Qamus, 16/151)

Islam menetapkan bahawa ibadah solat perlu dilaksanakan dalam keadaan suci. Namun begitu, bagi mereka yang mengalami situasi kencing tidak lawas (salasil baul) mempunyai panduan yang ditetapkan oleh syariat dalam melaksanakan ibadah solat seperti membersihkan zakar dan faraj serta berwuduk pada setiap masuk solat dan menunaikan solat dengan segera. Maklumat mengenai tatacara tersebut boleh rujuk di pautan berikut:

IRSYAD AL-FATWA KE-148: Wuduk Bagi Mereka Yang Kencing Tidak Lawas (Salisi Al-Baul) Dan Hukum Berimamkan Mereka: https://bit.ly/2L8iEY8

Namun begitu, terdapat persoalan mengenai panduan melaksanakan solat Jumaat bagi mereka yang kencing tidak lawas (salisul baul) adakah perlu menunggu khutbah dan sebagainya. Menurut hukum asal mereka perlu menyegerakan solat setelah berwuduk pada setiap waktu solat. Namun bagi menunaikan solat Jumaat terdapat perbahasan yang lebih terperinci memandangkan mereka perlu menunggu khutbah dan sebagainya untuk menunaikan solat Jumaat. Mereka yang mengalami kencing tidak lawas disunatkan agar tidak datang awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan diharuskan bagi mereka untuk melewatkan diri pergi ke masjid sehingga waktu khutbah kerana terdapat keuzuran pada mereka. menurut kenyataan Imam Shamsuddin al-Ramli:

الإمام لا يُندب له التبكير، بل يُستحب له التأخير إلى وقت الخطبة، اقتداء به صلى الله عليه وسلم وخلفائه، قاله الماوردي، وأقره في "المجموع"، ويُلحق به من به سلس بول ونحوه، فلا يندب له التبكير

Bermaksud: “Imam tidak disunatkan untuk datang awal bahkan digalakkan untuk melewatkan sehingga waktu khutbah sebagai mencontohi perbuatan Nabi SAW dan Khalifah selepasnya, Imam mawardi juga berpendapat sedemikian serta diakui pendapat tersebut dalam kitab ‘al-Majmuk’ dan yang mengikuti hukum ini juga bagi mereka yang salisul baul dan sebagainya, maka tidak disunatkan bagi mereka untuk datang awal ke masjid pada hari Jumaat”.

(Rujuk: Nihayah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj, 2/334)

Namun begitu, sekiranya mereka ini ingin datang awal ke masjid pada hari tersebut, maka tiada halangan untuk berbuat demikian dengan syarat mereka perlu berwuduk selepas azan pertama ketika imam bersedia untuk memulakan khutbah. Para ulama’ telah mengecualikan syarat menyegerakan solat setelah berwuduk pada permasalahan solat Jumaat bagi mereka yang salisul baul. Oleh itu, tidak wajib bagi mereka berwuduk semula meskipun tidak menyegerakan solat setelah berwuduk kerana menunggu khutbah atau jemaah. Syeikh Zainuddin al-Ma’bari al Malibari berkata:

وعلى نحو سلس مبادرة بالصلاة ‌فلو ‌أخر ‌لمصلحتها ‌كانتظار ‌جماعة ‌أو ‌جمعة وإن أخرت عن أول الوقت وكذهاب إلى مسجد لم يضره

Maksudnya: Demikian seperti salisul (baul) perlu menyegerakan solat (setelah berwuduk), sekiranya dia melewatkan (solat) kerana kemaslahatan solat itu seperti menunggu jemaah atau solat Jumaat didirikan, dan meskipun dia melewatkan (solat) dari awal waktu seperti pergi ke masjid maka tidak maka tidak memudaratkan (tidak terbatal wuduknya).

(Rujuk: Fathu al-Muin Syarh Qurra al-Ain, 47)

Oleh yang demikian, perbuatan melewatkan solat setelah berwuduk sekiranya terdapat maslahah yang perlu dilakukan berkaitan dengan solat seperti menunggu jemaah atau mencari arah kiblat maka perkara tersebut tidak akan menjejaskan wuduknya.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, maka dapat disimpulkan bahawa golongan yang menghadapi penyakit kencing tidak lawas tidak perlu datang awal ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat kerana terdapat keringanan bagi mereka yang mempunyai keuzuran. Namun begitu, sekiranya mereka ingin datang awal ke masjid dia perlu berwuduk setelah azan pertama iaitu pada waktu permulaan khutbah. Mereka tidak perlu menyegerakan solat Jumaat setelah berwuduk meskipun ikut hukum asal dia perlu menyegerakannya setelah berwuduk.