Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-739 : PERBUATAN DALAM SOLAT YANG MAKMUM WAJIB MENGIKUT(MUWAFAQAH) IMAM

 

IF 739

SOALAN

Assalamualaikum SS Mufti. Saya membaca artikel #Al-Kafi 1775 di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum makmum membaca qunut jika imam tidak membacanya. Persoalan saya, apakah perbuatan dalam solat yang wajib makmum muwafaqah dengan imam?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Perbuatan yang wajib untuk makmum mengikut (muwafaqah) imam ialah jika sesuatu makmum bersalahan dengan imam akan menyebabkan dan menampakkan perbezaan yang besar dan jelas antara seperti sujud tilawah, sama ada imam melakukannya dan makmum tidak melakukan atau sebaliknya.

Adapun perbuatan sunat yang tidak menyebabkan perbezaan yang besar seperti duduk istirahah dan doa qunut, maka ia tidak diwajibkan untuk muwafaqah dengan imam.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, kesimpulan hukum daripada artikel yang disebutkan di atas menyatakan bahawa tidak disyaratkan untuk makmum bersamaan dengan imam (muwafaqah) dalam doa qunut.

Hal ini kerana membaca atau meninggalkan bacaan doa qunut tidak termasuk perbuatan sunat jika bersalahan dengan imam akan menyebabkan ia dilihat perbezaan yang besar (سنة فَاحِشَة الْمُخَالفَة).

Hal ini kerana antara syarat sah solat berjemaah ialah makmum wajib mengikut perbuatan imam, antaranya perbuatan sunat yang jika bersalahan dengan imam akan menyebabkan ia dilihat perbezaan yang besar seperti sujud tilawah. Hal ini sepertimana disebutkan Imam Ibn Hajar al-Haitami bahawa:

"الشرط السادس: الموافقة" للإمام "في سنة فاحشة المخالفة" يعني تفحش المخالفة بها "فلو ترك الإمام سجدة التلاوة وسجدها المأموم أو عكسه" بأن سجدها الإمام وتركها المأموم "أو ترك الإمام التشهد الأول وتشهده المأموم بطلت" صلاته إن علم وتعمد.

Maksudnya: Syarat keenam (solat berjemaah) ialah mestilah mengikut imam (muwafaqah) dalam perbuatan sunat yang jika bersalahan dengan imam akan menzahirkankan perbezaan yang nyata. Jika imam tidak melakukan sujud tilawah dan makmum melakukannya atau sebaliknya (imam sujud dan makmum tidak melakukannya) atau jika imam meninggalkan tasyahhud awal dan makmum melakukannya, maka batal solat makmum tersebut jika dia mengetahui dan sengaja.[1] (Rujuk al-Minhaj al-Qawim, 1:158)

Antara contoh perbuatan sunat yang wajib muwafaqah dengan imam ialah sujud tilawah, sujud sahwi dan tasayahhud awal dari sudut imam melakukan atau meninggalkannya. Adapun sujud tilawah, wajib muwafaqah dengan imam sama ada imam melakukan atau meninggalkannya. Sujud sahwi pula wajib muwafaqah jika imam melakukannya namun jika imam meninggalkannya, sunat bagi makmum untuk melakukannya. Manakala tasyahhud awal wajib muwafaqah jika imam tidak melakukannya, namun jika imam melakukannya, makmum boleh meninggalkannya dengan berdiri dengan sengaja.[2]

Selain itu, perbuatan sunat yang tidak melihatkan perbezaan yang besar (غير فاحشة المخالفة), maka tidak mengapa jika tidak muwafaqah dengan imam seperti duduk istirahah (duduk sekejap sebelum berdiri i’tidal) dan doa qunut. Hal Ini sepertimana disebut Imam Ibn Hajar al-Haitami bahawa:

 أما غير فاحشة المخالفة كجلسة الاستراحة فلا يضر الإتيان بها، ومثلها القنوت لمن أدرك الإمام في السجدة الأولى وفارق التشهد الأول بأنه لم يحدث غير ما فعله الإمام وإنما طول ما كان فيه، ومن ثم لو أتى الإمام ببعض التشهد وقام عنه جاز للمأموم إكماله؛ لأنه حينئذ مستصحب كالقنوت.

Maksudnya: Adapun perbuatan sunat yang tidak menzahirkan perbezaan yang nyata seperti duduk istirahah, maka tidak mengapa jika makmum melakukannya. Contohnya juga doa qunut bagi makmum yang sempat mengikut imam pada sujud pertama dan makmum yang tidak mengikut imam dalam tasyahhud awal kerana tidak berlaku perbuatan selain apa yang dilakukan oleh imam kecuali hanya perbuatan memanjangkan sesuatu perbuatan yang dia lakukan sahaja. Oleh itu, jika imam membaca sebahagian daripada tasyahhud awal kemudian berdiri, diharuskan bagi makmum untuk menyempurnakan bacaan tersebut kerana hukumnya adalah sunat sama seperti doa qunut.[3] (Rujuk al-Minhaj al-Qawim, 1:158)

Oleh yang demikian, perbuatan yang wajib untuk makmum mengikut (muwafaqah) imam ialah perbuatan yang jika makmum bersalahan dengan imam akan menyebabkan perbezaan yang besar dan jelas seperti sujud tilawah. Adapun perbuatan sunat yang tidak menyebabkan perbezaan yang besar seperti duduk istirahah dan doa qunut, maka ia tidak diwajibkan untuk muwafaqah.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Haitami, Ibn Hajar, 2000, al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, jld. 1, hlmn. 158.

[2] (و) عاشرها: (أن لا يخالفه في سنة فاحشة المخالفة) أي قبحت فيها كسجدة تلاوة فيجب الموافقة فيها فعلاً وتركاً كسجود سهو فتجب فيه الموافقة فعلاً لا تركاً، بل يسن للمأموم فعله إذا تركه إمامه، وكالتشهد الأول فتجب فيه الموافقة تركاً لا فعلاً بل يجوز للمأموم إذا فعله الإمام أن يتركه ويقوم عامداً، ولكن يسن له العود إن كان قيامه عمداً ما لم يقم الإمام، فإن كان سهواً وجب العود عليه لمتابعته إمامه.

Al-Jawi, Muhammad Nawawi,  Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja, Dar al-Fikr, Beirut, hlmn. 88.

[3] Al-Haitami, Ibn Hajar, 2000, al-Minhaj al-Qawim Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, jld. 1, hlmn. 158.