Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-741: HUKUM KANAK-KANAK MELAKUKAN TRANSAKSI JUAL BELI

Irsyad Fatwa 741

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, adakah transaksi jual beli kanak-kanak dikira sah ? Terima kasih. 

Ringkasan Jawapan

Hukum kanak-kanak melakukan transaksi jual beli adalah tidak sah kecuali pada perkara dan benda yang kecil dan ringan seperti membeli gula-gula, menjual kepingan coklat dan sebagainya. Perkara yang kecil dan ringan itu pula ditentukan oleh adat setempat yang melihatnya sama ada ia sebagai suatu benda yang ringan atau tidak. Meskipun begitu, bagi sesuatu benda yang besar dan bernilai tinggi, maka ia perlu kepada keizinan dan kelulusan para penjaganya. Sekiranya tiada kelulusan atau perakuan daripada penjaganya, maka jual beli tersebut adalah tidak sah.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, akad jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu orang yang berakad (penjual dan pembeli), lafaz akad (lafaz ijab dan kabul) dan juga apa yang diakadkan (iaitu barangan dan harga)[1]. Bagi setiap rukun ini pula, ada beberapa syarat yang memberi kesan terhadap kesahihan akad dan juga hukum. Berkenaan rukun pertama jual beli iaitu orang yang berakad yakni penjual dan pembeli, antara syarat utama bagi keduanya ialah al-Rusyd (Kewarasan). Maksudnya ialah seseorang penjual dan pembeli itu mestilah seorang yang baligh, berakal dan juga mampu mentadbir agama[2] dan hartanya dengan baik[3].

Bagi transaksi jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak, kita perlu melihat keahlian seseorang itu untuk melakukan atau menjalankan sesuatu tindakan pengurusan atau sebarang transaksi menurut cara yang dibenarkan oleh syarak. Dalam hal ini, ia dinamakan Ahliyyah al-Ada’ (yakni kelayakan melaksanakan tugas). Asas bagi pensabitan kelayakan ini ialah adanya akal, dan kebolehan berfikir atau kebolehan membuat perbezaan (tamyiz).

Syeikh Wahbah al-Zuhaili ada mengklasifikasikan tindakan kanak-kanak kepada tiga keadaan iaitu[4]:

1. Tindakan yang memberikan keuntungan semata-mata seperti perbuatannya menerima hadiah dan pemberian, menerima wasiat dan menerima jaminan hutang. Tindakan ini sah dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz tanpa perlu mendapat keizinan ibu bapa ataupun wali, sebab tindakan itu mendatangkan faedah buatnya.

2. Tindakan yang mendatangkan kemudaratan yakni sebarang tindakan yang menyebabkan pengeluaran harta miliknya. Contohnya, perbuatan memberi hibah, memberi sedekah, memberi pinjam, menjamin hutang seseorang ataupun menjamin diri seseorang. Tindakan seperti ini adalah tidak sah dilakukan oleh kanak- kanak yang mumaiyiz yang belum baligh. Ia tetap tidak terlaksana sekalipun penjaga atau ibu bapanya membenarkan atas sebab wali tidak memiliki kuasa ke atasnya malah ia memberi mudarat terhadap harta kanak-kanak itu.

3. Tindakannya dalam urusan seperti jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya yang terkandung di dalamnya konsep untung dan rugi. Perbuatan ini adalah sah dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz tetapi bergantung ke atas keizinan atau kelulusan wali.

Peringkat kanak-kanak bermula sedari dia lahir sehinggalah dia mencapai waktu mumayyiz iaitu ketika umurnya tujuh tahun,[5] seterusnya peringkat mumayyiz sehinggalah dia baligh dan berakal. Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie, transaksi jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah tidak sah. Hal ini kerana, seperti yang telah dinyatakan di atas, bahawa syarat orang yang mengadakan akad jual beli sama ada penjual mahupun pembeli mestilah terdiri daripada seorang yang matang fikirannya iaitu seorang yang baligh dan dapat mengurus agama dan hartanya dengan baik. Firman Allah SWT:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ قِيَامًا وَارْزُقُوهُمْ فِيهَا وَاكْسُوهُمْ وَقُولُوا لَهُمْ قَوْلًا مَّعْرُوفًا ‎﴿٥﴾

Al-Nisa’, 4:5

Maksudnya:Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa tidak diharuskan memberikan harta kepada golongan safih(orang yang tidak mampu menguruskan harta) dan juga mereka yang masih belum baligh(kanak-kanak)[6]. Sebaliknya diserahkan harta kepada mereka setelah mereka mencapai umur baligh, perkara ini ada disebut pada ayat seterusnya, firman Allah SWT:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ ۖ

Al-Nisa’, 4:6

Maksudnya:Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya.”

Ayat ini jelas menerangkan bahawa Allah SWT memerintahkan para penjaga harta anak yatim agar menguji mereka yang di bawah jagaannya dengan urusan jual beli ketika mana mereka sudah mencecah umur baligh, maka sekiranya telah terzahir kemampuan mereka mengurus harta dengan baik, maka bolehlah diserahkan harta tersebut kepada mereka[7]. Urusan jual beli adalah urusan yang membabitkan harta, oleh itu kewarasan menjadi syarat dalam urusan ini. Oleh yang demikian, kanak-kanak tidak berkelayakan untuk menguruskan harta mereka kerana mereka bukanlah mukalaf. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: "Telah diangkat pena daripada tiga golongan: (Iaitu) dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan dari orang yang gila sehingga dia sedar.”

Riwayat Abu Daud (4403)

Maksud bagi lafaz “رُفِعَ الْقَلَمُ”(pena telah diangkat) ialah apa yang dilakukan tidak diambil kira, sedangkan akad membabitkan beberapa hukum, maka orang yang tidak diambil kira segala tindakan mereka dianggap tidak berkelayakan melakukannya[8].

Jelaslah kepada kita bahawa pandangan muktamad dalam mazhab Syafie tidak membenarkan kanak-kanak sama ada belum ataupun sudah mumaiyiz untuk melakukan transaksi jual beli selagi dia belum lagi baligh dan juga mampu mengurus hartanya dengan baik.

Meskipun begitu, bagi transaksi jual beli barangan yang kecil dan murah, ada pandangan yang dipegang dalam mazhab Syafie iaitu membenarkan dan mengharuskannya. Ini bermakna, kanak-kanak mumaiyiz layak dan sah berjual beli benda yang kecil-kecil. Hal ini dikuatkan dengan penyataan oleh Imam Taqi al-Din al-Hisni yang menyebut:

قلت وَمِمَّا عَمت بِهِ الْبلوى بعثان الصغار لشراء الْحَوَائِج وأطردت فِيهِ الْعَادة فِي سَائِر الْبِلَاد وَقد تَدْعُو الضَّرُورَة إِلَى ذَلِك فَيَنْبَغِي إِلْحَاق ذَلِك بالمعاطاة إِذا كَانَ الحكم دائراً مَعَ الْعرف مَعَ أَن الْمُعْتَبر فِي ذَلِك التَّرَاضِي ليخرج بالصيغة عَن أكل مَال الْغَيْر بِالْبَاطِلِ فَإِنَّهَا دَالَّة على الرِّضَا فَإِذا وجد الْمَعْنى الَّذِي اشْترطت الصِّيغَة لأَجله فَيَنْبَغِي أَن يكون هُوَ الْمُعْتَمد بِشَرْط أَن يكون الْمَأْخُوذ يعدل الثّمن وَقد كَانَت المغيبات يبْعَثْنَ الْجَوَارِي والغلمان فِي زمن عمر بن الْخطاب رَضِي الله عَنهُ لشراء الْحَوَائِج فَلَا يُنكره وَكَذَا فِي زمن غَيره من السّلف وَالْخلف وَالله أعلم

Maksudnya: “Aku katakan bahawa perbuatan mengutus anak-anak kecil untuk membeli barangan keperluan telah menjadi suatu perkara yang umum al-balwa dan menjadi adat di kebanyakan negeri. Kadang kala keadaan memaksa perbuatan sedemikian, maka transaksi tersebut perlulah dibuat secara akad mu’atah (yakni jual beli tanpa sighah) bergantung kepada uruf setempat yang membenarkan, pada masa yang sama perkara yang muktabar atau yang paling diambil kira dalam situasi ini ialah adanya kerelaan supaya dengan adanya lafaz sighah itu boleh mengeluarkan seseorang daripada memakan harta orang lain secara batil. Hal ini kerana, lafaz sighah menunjukkan adanya keredaan dan kerelaan. Dan apabila sudah ada tujuan untuk sighah itu dilafazkan, maka sepatutnya itulah yang dipegang namun dengan syarat barang yang diambil hendaklah sesuai dengan harga. Sesungguhnya mughibat, yakni wanita wanita yang ditinggalkan suami mereka kerana berperang, mereka menyuruh anak anak perempuan kecil dan anak anak lelaki pada zaman pemerintahan Saiyidina Umar ibn al-Khattab R.A untuk membeli barangan keperluan, maka beliau tidak melarangnya. Demikian juga hal itu berlaku pada zaman-zaman yang lainnya daripada ulama salaf dan khalaf.[9]

Selain itu, pandangan-pandangan mazhab lain seperti mana dalam mazhab Hanbali yang turut mensyaratkan perkara yang sama dalam transaksi jual beli yang diadakan oleh kanak-kanak iaitu perlunya kepada sifat al-Rusyd(Kewarasan), namun bezanya ia dikecualikan ke atas perkara-perkara yang kecil seperti sebuku roti, seikat sayur, potongan gula-gula dan seumpamanya. Hal ini kerana, kekangan dikenakan ke atas mereka pada asalnya adalah atas sebab takut berlakunya pembaziran atau kehilangan harta, dan perkara ini tidak berlaku pada benda-benda yang kecil dan ringan[10].

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pandangan-pandangan yang telah dikemukakan di atas, dapat disimpulkan bahawa jual beli kanak-kanak untuk benda-benda yang kecil ini adalah sah, namun untuk benda-benda yang besar dan bernilai tinggi, maka ia perlu kepada keizinan dan kelulusan para penjaganya. . Wallahu A‘lam.

[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 2/323.

وَأَرْكَانُهُ فِي الْمَجْمُوعِ ثَلَاثَةٌ، وَهِيَ فِي الْحَقِيقَةِ سِتَّةٌ: عَاقِدٌ وَهُوَ بَائِعٌ وَمُشْتَرٍ وَمَعْقُودٌ عَلَيْهِ وَهُوَ ثَمَنٌ وَمُثَمَّنٌ، وَصِيغَةٌ وَهِيَ إيجَابٌ وَقَبُولٌ

[2] Cara menguji kemampuan mentadbir atau kewarasan seseorang itu dalam urusan agamanya adalah dengan menyaksikan keadaannya dalam melaksanakan ibadah, dengan cara menjalankan kewajipan dan meninggalkan larangan. Lihat: Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad al-Baijuri, Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, Tashih: ‘Alwi Abu Bakr Muhammad al-Saqqaf, (Jakarta: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, cetakan pertama, 1428H), 1/704.

ويختبر رشد الصبي في الدين بمشاهدة حاله في العبادة بقيامه بالواجبات واجتنابه المحظورات

[3] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 2/332.

ثُمَّ شَرَعَ فِي الرُّكْنِ الثَّانِي، وَهُوَ الْعَاقِدُ، وَقَدَّمَهُ عَلَى الْمَعْقُودِ عَلَيْهِ كَتَقَدُّمِ الْفَاعِلِ عَلَى الْمَفْعُولِ طَبْعًا، فَقَالَ: (وَشَرْطُ الْعَاقِدِ) بَائِعًا أَوْ مُشْتَرِيًا (الرُّشْدُ) وَهُوَ أَنْ يَتَّصِفَ بِالْبُلُوغِ وَالصَّلَاحِ لِدِينِهِ وَمَالِهِ.

Lihat juga: Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 3/15.

الرشد: وهو أن يكون كل منهما رشدًا، أي: بالغُا، وعاقلًا، ويحسن التصرف في المال.

Lihat juga: Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 4/227.

(وَشَرْطُ الْعَاقِدِ) الْبَائِعُ وَالْمُشْتَرِي الْإِبْصَارُ كَمَا سَيَذْكُرُوهُ وَ (الرُّشْدُ) يَعْنِي عَدَمَ الْحَجْرِ عَلَيْهِ لِيَشْمَلَ مَنْ بَلَغَ مُصْلِحًا لِدَيْنِهِ وَمَالِهِ ثُمَّ اسْتَمَرَّ أَوْ فَسَقَ بَعْدُ بَلْ أَوْ بَذَرَ وَلَمْ يُحْجَرْ عَلَيْهِ

[4] Al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami, 4/2968.

الدور الثالث ـ دور التمييز: يبدأ بعد سن السابعة ويستمر إلى البلوغ عاقلاً.

ومعنى التمييز: أن يصبح الولد بحالة يميز فيها بين الخير والشر، والنفع والضرر، ويعرف معاني الألفاظ إجمالاً، فيدرك أن البيع مثلاً سالب للمال وأن الشراء جالب للملك.

وفيه تثبت للمميز أهلية أداء ناقصة: دينية، ومدنية، فتصح منه العبادات البدنية كالصلاة والصيام، ويثاب عليها، وإن لم تكن مفروضة عليه. كما تصح منه مباشرة التصرفات المالية، مثل قبول الهبة أو الصدقة مطلقاً، والبيع والشراء موقوفاً على إجازة وليه. ولا يصح منه التصرف الضار بمصلحته كالتبرع بشيء من أمواله، على ما سبق بيانه.

[5] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (Damsyik-Syria: Dar al-Fikr, cetakan ke-4, t.t), 4/2967-2968.

أدوار الأهلية:

يفهم مما سبق أن أهلية الإنسان من مبدأ حياته في بطن أمه إلى اكتمال رجولته تمر في مراحل خمس أو أدوار خمسة هي:

دور الجنين، ودور الطفولة (عدم التمييز)، ودور التمييز، ودور البلوغ، ودور الرشد. الدور الثاني ـ دور الطفولة: ويبدأ من وقت الولادة ويستمر إلى وقت التمييز وهو بلوغ السابعة من العمر. وفيه تثبت للطفل غير المميز أهلية وجوب كاملة، فيستحق الحقوق ويلتزم بالواجبات التي تكون نتيجة ممارسة وليه بعض التصرفات نيابة عنه، فإذا اشتري له أو وهب له ملك، وجب عليه العوض في المعاوضات المالية، وتكون له ذمة كاملة.

وليست له أهلية أداء، فتكون أقواله كلها هدراً، وعقوده باطلة، حتى ولو كانت نافعة نفعاً محضاً له كقبول الهبة أو الوصية، وينوب عنه فيها وليه الشرعي أو وصيه. جاء في المادة (966 مجلة): «لا يصح تصرفات الصغير غير المميز وإن أذن له وليه».

كذلك تكون أفعاله هدراً سواء أكانت دينية كالصلاة والصيام فلا تصح منه، أو مدنية كقبض المبيع أو الوديعة أو القرض، فلا تصح.

وأما جناياته كالقتل والضرب والقطع فلا تستوجب العقوبة البدنية، كالقصاص والحبس، ولا يحرم من الميراث بقتل مورثه لسقوط المؤاخذة عنه، وإنما يلزم في ماله بدفع التعويض أو ضمان ما أتلفه من الأنفس والأموال حفاظاً عليها.

الدور الثالث ـ دور التمييز: يبدأ بعد سن السابعة ويستمر إلى البلوغ عاقلاً.

[6] Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farah al-Ansori al-Khazraji Syams al-Din al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni dan Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H), 5/27.

فِيهِ عَشْرُ مَسَائِلَ: الْأُولَى- لَمَّا أَمَرَ اللَّهُ تَعَالَى بِدَفْعِ أَمْوَالِ الْيَتَامَى إِلَيْهِمْ فِي قَوْلِهِ: (وَآتُوا الْيَتامى أَمْوالَهُمْ) وَإِيصَالُ الصَّدَقَاتِ إِلَى الزَّوْجَاتِ، بَيَّنَ أَنَّ السَّفِيهَ وَغَيْرَ الْبَالِغِ لا يجوز دفع ماله إليه.

[7] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 6/11.

ودليل هذا:

قوله تعالى: {وَابْتَلُواْ الْيَتَامَى حَتَّىَ إِذَا بَلَغُواْ النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْداً فَادْفَعُواْ إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ} (النساء6) فقد أمر الله تعالى الأولياء باختبار مَن كانوا تحت ولايتهم من اليتامى بالمعاملة حين يبلغون، فإن ظهر منهم حسن تصرف بالمال دفعت إليهم وسلطوا عليها، فدلّ ذلك على أن الرشد شرط للتسليط على المال وصحة التصرّف فيه، والبيع والشراء تصرف بالمال، فاشترط فيه الرشد.

[8] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji, 6/12.

وكذلك كل من الصبي والمجنون ليس أهلاً للتصرف، لأنه غير مكلف،...

ورفع القلم يعني عدم المؤاخذة، والعقود تترتب عليها أحكام، ومن كان غير مؤاخذ عن تصرفاته فليس أهلاً لإنشائها.

[9] Taqi al-Din al-Hisni, Kifayat al-Akhyar fi Halli Ghayat al-Ikhtisor, Tahkik: Ali ‘Abd al-Hamid, Muhammad Wahbi Sulaiman, (Damsyik: Dar al-Khair, cetakan pertama, 1994M), 1/233.

[10] Mustafa bin Sa‘d bin ‘Abduh al-Dimasyqi al-Hanbali, Matalib Uli al-Nuha fi Syarh Ghayat al-Muntaha¸ (t.tp: Al-Maktab al-Islami, cetakan ke-2, 1415H), 3/10.

الشَّرْطُ (الثَّانِي: الرُّشْدُ) يَعْنِي أَنْ يَكُونَ الْعَاقِدُ جَائِزَ التَّصَرُّفِ؛ أَيْ: حُرًّا مُكَلَّفًا رَشِيدًا؛ فَلَا يَصِحُّ مِنْ مَجْنُونٍ، وَلَا مِنْ صَغِيرٍ، وَنَائِمٍ، وَسَكْرَانَ، وَمُبَرْسَمٍ، وَسَفِيهٍ؛ لِأَنَّهُ قَوْلٌ يُعْتَبَرُ لَهُ الرِّضَا، فَاعْتُبِرَ فِيهِ الرُّشْدُ، كَالْإِقْرَارِ، (إلَّا فِي) شَيْءٍ (يَسِيرٍ) ؛ كَرَغِيفٍ، وَحُزْمَةِ بَقْلٍ، وَقِطْعَةِ حَلْوَى وَنَحْوِهَا؛ فَيَصِحُّ مِنْ قِنٍّ " صَغِيرٍ، وَلَوْ غَيْرَ مُمَيِّزٍ وَسَفِيهٍ؛ لِأَنَّ الْحَجْرَ عَلَيْهِمْ لِخَوْفِ ضَيَاعِ الْمَالِ، وَهُوَ مَفْقُودٌ فِي الْيَسِيرِ، وَإِلَّا (إذَا أَذِنَ لِمُمَيِّزٍ وَسَفِيهٍ وَلِيُّهُمَا) ؛ فَيَصِحُّ - وَلَوْ فِي الْكَثِيرِ - لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَابْتَلُوا الْيَتَامَى} [النساء: 6] (وَيَحْرُمُ) إذْنُ وَلِيٍّ لَهُمَا بِالتَّصَرُّفِ فِي مَالِهِمَا (بِلَا مَصْلَحَةٍ) ؛ لِأَنَّهُ إضَاعَةٌ.