Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-750 : HUKUM KAHWIN MUTAAH

HUKUM KAHWIN MUTAAH

 

SOALAN

Saya merupakan guru pelatih di salah sebuah IPTA Lembah Klang. Saya mendapati bahawa 6 daripada 270 iaitu bersamaan 2.2% guru-guru pelatih di sini mengakui mempunyai rakan yang mengamalkan kahwin mutaah. Berita ini sangat mengejutkan dan menjadi perdebatan dalam kalangan guru-guru pelatih di sini. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti berkenaan hukum kahwin mutaah.

RINGKASAN JAWAPAN

Kahwin mutaah merupakan amalan yang dianjurkan dalam ajaran Syiah. Walau bagaimanapun, Ahli Sunnah wal Jamaah melarang berkahwin mutaah berdasarkan dalil hadis ahad, jumhur sahabat dan ijmak ulama. Hal yang demikian kerana tujuan amalan ini menunjukkan percanggahan dari sudut mencapai maksud perkahwinan dalam Islam.

 

HURAIAN JAWAPAN

Konsep Kahwin Mutaah

Amalan kahwin mutaah berlaku apabila seorang perempuan menikahkan dirinya dengan seorang lelaki dengan mahar yang tertentu dalam tempoh yang ditentukan (sebagai contoh seminggu atau sebulan). Akad perkahwinan ini merangkumi segala syarat sah dalam perkahwinan. Lafaznya ialah seorang perempuan itu berkata kepada seorang lelaki setelah dipersetujui kadar mahar dan tempoh perkahwinan: “Aku nikahkan diriku denganmu dengan mahar sebanyak (disebut dalam akad) sehingga tempoh (seperti yang dipersetujui dan mesti secara tepat).” Lalu lelaki itu hanya perlu menjawab dengan segera: “Saya terima”.[1]

Antara perkara yang dianggap perkara asas dalam ajaran Syiah Imamiyah ialah menghalalkan kahwin mutaah.[2] Antara kelebihan berkahwin mutaah yang didakwa di dalam kitab-kitab rujukan muktabar Syiah adalah:

“Tidak ada lelaki yang yang berkahwin mutaah kemudian dia mandi, melainkan Allah SWT mencipta bagi setiap titisan yang menitis daripadanya tujuh puluh orang malaikat. Malaikat-malaikat tersebut akan beristighfar untuknya sehingga hari kiamat dan akan melaknat orang yang menjauhkan dirinya dari mutaah hingga hari kiamat.”[3] 

Sayyid Husain al-Musawi pula menukilkan daripada al-Kasyani meriwayatkan hadis Nabi SAW yang palsu tentang besarnya ganjaran kahwin mutaah:

Sesiapa yang berkahwin mutaah sekali, maka darjatnya seperti darjat Sayidina Husin RA. Sesiapa yang berkahwin mutaah dua kali, maka darjatnya seumpama darjat Sayidina Hasan RA. Sesiapa yang berkahwin mutaah tiga kali, darjatnya seumpama darjat Sayidina Ali RA dan sesiapa yang bermutaah empat kali maka darjatnya seumpama darjatku.[4]

Larangan Kahwin Mutaah menurut Islam

Islam melarang kahwin mutaah berdasarkan dalil Hadits Ahad iaitu:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ المُتْعَةِ، وَقالَ: أَلَا إنَّهَا حَرَامٌ مِن يَومِكُمْ هذا إلى يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن كانَ أَعْطَى شيئًا فلا يَأْخُذْهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang untuk kahwin mutaah. Baginda bersabda: "Ketahuilah bahawa sejak hari ini kahwin mutaah itu hukumnya haram sampai kiamat nanti. Jadi, sesiapa yang pernah memberikan sesuatu, maka janganlah dia ambil kembali.

(Riwayat Muslim)

Begitu juga Ibnu Abbas menyatakan bahawa hukum pengharaman kahwin mutaah secara mutlak berdasarkan pendapat jumhur sahabat.[5] Kemudian, Qadhi Iyad juga berpendapat bahawa berlaku ijmak dalam kalangan ulama yang mengharamkan kahwin mutaah kecuali aliran Syiah Rafidah.[6] Turut diambil perhatian bahawa al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Jaafar bin Muhammad al-Sodiq, seorang yang dianggap maksum dan imam keenam menurut dakwaan ajaran Syiah ketika ditanya mengenai kahwin mutaah, beliau menjawab: “Ia adalah zina”.[7]

 

Pencegahan Perkembangan Syiah di Malaysia

Berdasarkan larangan di atas, kahwin mutaah merupakan amalan yang menyeleweng dalam Islam. Kahwin mutaah hanyalah untuk memuaskan hawa nafsu syahwat dalam jangka masa yang sementara. Ianya tidak ubah seperti perbuatan zina. Menurut logik akal, tidak ada faedahnya mengharamkan perbuatan zina sedangkan amalan mutaah diharuskan.[8] Tujuan kahwin mutaah ini menunjukkan percanggahan untuk mendapatkan zuriat atau mencapai maksud daripada perkahwinan yang di anjurkan Islam.

Oleh itu, bagi memastikan ajaran selain daripada Ahli Sunah Waljamaah yang diamalkan di Malaysia tidak menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara, kerajaan telah melaksanakan pencegahan awal untuk membendung penyebaran ajaran dan amalan Syiah daripada terus menular dan mempengaruhi umat Islam di Malaysia. Malah. Negeri-negeri yang bertanggungjawab secara langsung dalam hal ehwal agama telah mengadakan usaha-usaha menjaga kesucian Ahli Sunah Waljamaah agar tidak tergugat. Fatwa berkenaan dengan larangan mengamalkan ajaran dan amalan fahaman Syiah boleh dirujuk dalam pautan berikut:

https://efatwa.muftiwp.gov.my/fatwa/5f2085c1cdc167738c2e08e56518d09a?

 

WallahuA'lam.

 

Rujukan: 

[1] Sayyid Sharaf al-Din, al-Fusul al-Muhimmah fi Ta’lif al-Ummah, (Tehran: Muassah al-Bi’thah, t.t.), 63.

أن تزوج المرأة نفسها للرجل بمهر معلوم إلى أجل مسمى بعقد نكاح جامع لشرائط الصحة الشرعية ، صيغته بأن تقول المرأة للرجل بعد الاتفاق والتراضي على المهر والأجل (زوجتك نفسي بمهر قدره - كذا - إلى - الأجل المعلوم حيث تسمي مدة معينة على الضبط) فيكون جواب الرجل على الفور:   قبلت

[2] Al-Majlisi, Muhammad Baqir al-Majlisi, al-‘Aqa’id, ed. Husayn Darkahi (Lubnan: Mu’assah al-Huda, 1378H), 58.

وممَّا عد من ضروريات دين الإمامية؛ استحلال المتعة وحج التمتع، والبراءة من أبي بكر وعمر وعثمان ومعاوية ويزيد بن معاوية وكل من حارب أمير المؤمنين صلوات الله عليه أو غيره من الأئمة، ومن جميع قتلة الحسين صلوات الله عليه وقول «حي على خير العمل» في الأذان.

[3] Al-Hurr al-‘Amili, Muhammad bin Hasan. Tafsil Wasa’il al-Shi‘ah ila Tahsil Masa’il al-Shari‘ah, (Qom: Mu’assasah Ahl al-Bayt li Ihya al-Turath, 1409H), 16.

عن أبي عبد الله (عليه السلام) قال : ما من رجل تمتع ثم اغتسل إلا خلق الله من كل قطرة تقطر منه سبعين ملكا يستغفرون له إلى يوم القيامة و يلعنون متجنبها إلى أن تقوم الساعة

[4] Sayyid Husain al-Musawi, Lillahi Tsumma Lit Tariikh: Kashf al-Asrar Kashf al-Asrar wa tabriah al-Aimmah al-Athar, (Kaherah: Dar al-Amal, T.t.), 34.

من تمتع مرة كانت درجته كدرجة الحسين - عليه السلام -، ومن تمتع مرتين فدرجته كدرجة الحسن - عليه السلام -، ومن تمتع ثلاث مرات كانت درجته كدرجة علي بن أبي طالب - عليه السلام - ومن تمتع أربع فدرجته كدرجتي

[5] As-San’ani, Muhammad bin Ismail, Subul as-salam syarh bulugh al-maram min jam‟i adillah  al-ahkam, (T.tp: T.t.), 2: 184.

وَرُوِيَ رُجُوعُهُمْ وَقَوْلُهُمْ بِالنَّسْخِ، وَمِنْ أُولَئِكَ ابْنُ عَبَّاسٍ رُوِيَ عَنْهُ بَقَاءُ الرُّخْصَةِ ثُمَّ رَجَعَ عَنْهُ إلَى الْقَوْلِ بِالتَّحْرِيمِ

[6] Al-Qadi ‘Iyad bin Musa bin ‘Iyad al-Yahsubi, Ikmal al-Mu‘lim li Fawa’id Muslim, (Mansurah: Dar al-Wafa’, 1998), 4: 537.

ووقع الإجماع على تحريمها بعد من جميع العلماء إلا الروافض

[7] Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, t.th), 9: 150.

ونقل البيهقي عن جعفر بن محمد أنه سئل عن المتعة فقال هي الزنا بعينه

[8] Wahbah al-Zubayli, al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuh, (Damsyiq: Dār al-Fikr, t.th), 9, 6558.

وليس في المتعة إلا قضاء الشهوة بنحو مؤقت، فهو كالزنا تماماً، فلا معنى لتحريمه مع إباحة المتعة