Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-765: STATUS ORANG YANG MATI AKIBAT GEMPA BUMI, ADAKAH DIKIRA MATI SYAHID?

STATUS ORANG YANG MATI AKIBAT GEMPA BUMI ADAKAH DIKIRA MATI SYAHID

 

Soalan

Berkenaan isu gempa bumi yang melanda Negara Turki dan Syria baru-baru ini, jumlah kematian yang melibatkan orang islam sangat ramai. Jadi, apakah status orang islam yang mati akibat gempa bumi dan adakah mereka dikira mati syahid? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Golongan yang meninggal dunia akibat runtuhan bangunan atau gempa bumi merupakan mereka yang tergolong dalam kategori orang yang mati syahid akhirat dan jenazahnya perlu diuruskan seperti jenazah-jenazah yang lain mengikut syariat islam

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Orang yang mati syahid mempunyai kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلصِّدِّيقُونَ ۖ وَٱلشُّهَدَآءُ عِندَ رَبِّهِمْ لَهُمْ أَجْرُهُمْ وَنُورُهُمْ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَكَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya:Orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, merekalah pada sisi (hukum) Tuhan mereka, (orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjatnya) seperti orang "Siddiqin" dan orang yang mati Syahid; mereka akan beroleh pahala dan cahaya. Dan (sebaliknya) orang yang kufur ingkar serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka.”

Surah al-Hadid (19)

Imam Ibn Kathir menjelaskan dalam tafsirnya berkenaan orang-orang yang mati syahid di jalan Allah SWT akan memperoleh pahala yang besar di sisi-Nya dan cahaya yang terang benderang di hadapan mereka[1]. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang mati di jalan Allah SWT dalam apa jua jenis keadaan, maka dia dikira sebagai syahid. Ulama berpandangan mati syahid merupakan rahmat Allah SWT kepada mereka sebagai satu kelebihan atas kesakitan dan keperitan yang dialami saat kematiannya.[2]

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan berkenaan hal ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dalam Sahih Muslim[3] dan Sahih Bukhari[4], sabda Nabi SAW:

‏الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ، وَالْمَبْطُونُ، وَالْغَرِقُ، وَصَاحِبُ الْهَدْمِ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏‏‏.‏

Maksudnya: Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas,orang yang ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.

(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dalam al-Muwatha’, Imam Malik menyebut sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Atik bahawa Nabi SAW bersabda[5]:

الشُّهَدَاءُ سَبْعَةٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ: الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِيقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ.

Maksudnya: “Orang yang mati syahid selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh ; iaitu korban wabak taun adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, penderita penyakit radang paru-paru adalah syahid, mati kerana sakit perut adalah syahid, mati akibat tertimpa runtuhan adalah syahid, seorang wanita yang mati kerana melahirkan anak adalah syahid dan orang yang mati kerana kebakaran adalah syahid.”

(Riwayat Malik)

Menurut penilaian Imam Nawawi, hadis ini sahih tanpa sebarang khilaf.[6] 

Secara ringkasnya, Imam Syihabuddin al-Ramli berpandangan bahawa orang yang mati dalam keadaan syahid boleh dikategorikan kepada tiga golongan iaitu[7]:

  1. Syahid di dunia dan akhirat iaitu orang yang gugur terbunuh dalam medan peperangan di jalan Allah SWT kerana menentang golongan kafir dan berniat ikhlas untuk meninggikan kalimah Allah SWT. Golongan ini baginya pahala di dunia dan akhirat.
  2. Syahid di akhirat sahaja iaitu orang yang terbunuh dalam keadaan dizalimi tetapi bukan gugur terbunuh di medan peperangan. Mereka ini tergolong dalam hadis yang disebutkan di atas seperti orang yang mati kerana lemas, orang mati dalam runtuhan, orang yang mati kerana penyakit perut dan orang yang mati dalam kebakaran.
  3. Syahid di dunia sahaja iaitu orang yang berperang di jalan Allah SWT tetapi berniat semata-semata untuk mendapatkan harta rampasan perang, terbunuh ketika sedang cuba melarikan diri daripada medan peperangan, berperang hanya kerana riya dan lain-lain lagi.

Terdapat perbezaan berkenaan kaedah pengurusan jenazah bagi ketiga-tiga golongan ini. Golongan syahid dunia dan akhirat tidak perlu dimandikan jenazahnya, tidak perlu dikafankan bahkan hanya memadai memakai pakaiannya ketika mati dan tidak perlu disolatkan. Jenazah mereka boleh terus ditanam dan dikebumikan. Adapun golongan syahid akhirat maka akan mendapat pahala syahid di akhirat dan wajib ke atas jenazahnya untuk diuruskan seperti dimandikan, dikafankan dan disolatkan seperti biasa[8]. Manakala bagi golongan syahid dunia, maka jenazahnya tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan[9]. Golongan ini tidak mendapat pahala syahid yang sempurna di akhirat kerana secara zahirnya mereka itu mati berperang di jalan Allah SWT namun persoalan pahala dan dosa itu terserah kepada Allah SWT[10].

Berdasarkan kepada persoalan di atas, orang islam yang mati akibat berlakunya gempa bumi termasuk dalam kategori kumpulan kedua iaitu golongan yang syahid akhirat sahaja. Ini kerana, mereka juga mengalami situasi yang sama iaitu mati dalam keadaan ditimpa runtuhan bangunan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَصَاحِبُ الْهَدْمِ من يموت تحته

Maksudnya: “Orang yang ditimpa runtuhan adalah mereka yang mati di bawah runtuhan tersebut.”

Kesimpulan

Tuntasnya, mereka yang mati akibat berlakunya gempa bumi dan ditimpa runtuhan bangunan termasuk dalam golongan mereka yang mati syahid akhirat sahaja seperti mana jelas dinyatakan dalam hadis tersebut. Mereka tetap mendapat pahala akhirat seperti mana janji Allah SWT ke atas mereka dan jenazah tersebut juga perlu dikendalikan seperti jenazah-jenazah yang lain mengikut syariat islam.

Wallahu a’lam.

Rujukan:

[1] Ismail bin Umar Ibn Kathir. Tafsir Ibn Kathir. (t.tt : Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1999). Jld 8. Hlmn 23.

وَقَوْلُهُ:  لَهُمْ أَجْرُهُمْ وَنُورُهُمْ أَيْ: لَهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ أَجْرٌ جَزِيلٌ وَنُورٌ عَظِيمٌ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ

[2] Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syarif al-Nawawi. Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, 1392 H). Jld 13. Hlmn 63.

وَأَمَّا قَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ فَمَعْنَاهُ بِأَيِّ صِفَةٍ مَاتَ وَقَدْ سَبَقَ بَيَانُهُ قَالَ الْعُلَمَاءُ وَإِنَّمَا كَانَتْ هَذِهِ الْمَوْتَاتُ شَهَادَةً بِتَفَضُّلِ اللَّهِ تَعَالَى بِسَبَبِ شِدَّتِهَا وَكَثْرَةِ أَلَمِهَا

[3] Muslim bin al-Hajjaj al-Naisaburi. Sahih Muslim. Ed: Muhammad Fuad Abd al-Baqi. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1900). no. hadis 1914. Jld 3. Hlmn 521,

[4] Muhammad bin Ismail Abu Abdullah al-Bukhari. Sahih al-Bukhari. Ed: Muhammad Zuhair bin Nasir. (t.tt: Dar al-Tuq al-Najah, 1422H). no. hadis  653. Jld. 1. Hlmn 132.

[5] Malik bin Anas. Muwata’ Imam Malik. (Beirut: Muassasah Risalah, 1991). No. hadis 935. Jld 1. Hlmn 366

[6] Ibid. al-Nawawi. Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim. Jld 13. Hlmn 62.

وفى رِوَايَةِ مَالِكٍ فِي الْمُوَطَّأِ مِنْ حَدِيثِ جَابِرِ بْنِ عَتِيكٍ الشُّهَدَاءُ سَبْعَةٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَذَكَرَ الْمَطْعُونَ وَالْمَبْطُونَ وَالْغَرِقَ وَصَاحِبَ الْهَدْمِ وَصَاحِبَ ذَاتِ الْجَنْبِ وَالْحَرِقَ وَالْمَرْأَةَ تَمُوتُ بِجُمْعٍ .  وَهَذَا الْحَدِيثُ الَّذِي رَوَاهُ مَالِكٌ صَحِيحٌ بِلَا خِلَافٍ وَإِنْ كَانَ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ لَمْ يُخَرِّجَاهُ

[7] Syihabuddin al-Ramli, Syamsuddin Muhammad bin Abi al-Abbas. Fath al-Rahman bi Syarh Zubad Ibn Ruslan. (Beirut: Dar al-Minhaj, 2009) Hlmn 143.

فالشهداء ثلاثة أقسام: شهيد في حكم الدنيا: بمعنى أنه لا يغسل ولا يصلى عليه، وفي حكم الآخرة: بمعنى أن له ثواباً خاصاً، وهو من قتل في قتال الحربيين بسببه، وقد قاتل لتكون كلمة الله تعالى هي العليا. وشهيد في الآخرة دون الدنيا: وهو من قتل ظلماً بغير ذلك، والغريق والهدم- بكسر الدال، وهو من مات تحت الهدم- والمبطون والحريق ونحوهم. وشهيد في الدنيا دون الآخرة: وهو من قتل في قتال الحربيين بسببه وقد غل من الغنيمة أو قتل مدبراً أو قاتل رياء أو نحوه.

[8] Ibid. al-Nawawi. Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim. Jld 13. Hlmn 63.

 قَالَ الْعُلَمَاءُ الْمُرَادُ بِشَهَادَةِ هَؤُلَاءِ كُلِّهِمْ غَيْرِ الْمَقْتُولِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَنَّهُمْ يَكُونُ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ ثَوَابُ الشُّهَدَاءِ وَأَمَّا فِي الدُّنْيَا فَيُغَسَّلُونَ وَيُصَلَّى عَلَيْهِمْ

[9] Syihabuddin al-Ramli, Syamsuddin Muhammad bin Abi al-Abbas. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 2. Hlmn 497.

وَأَمَّا شَهِيدُ الدُّنْيَا فَقَطْ فَلَا يُغَسَّلُ وَلَا يُصَلَّى عَلَيْهِ وَهُوَ مَنْ قُتِلَ فِي قِتَالِ الْكُفَّارِ بِسَبَبِهِ وَقَدْ غَلَّ مِنْ الْغَنِيمَةِ أَوْ قُتِلَ مُدْبِرًا أَوْ قَاتَلَ رِيَاءً أَوْ نَحْوَهُ.

[10] Al-Damiri, Muhmmad bin Musa bin Isa bin Ali Abu al-Baqa’. Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj. Ed: Lajnah Ilmiyyah. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004). Jld 3. Hlmn 71.

شهيد في الدنيا دون الآخرة وهو من قاتل رياء وسمعة وقتل، والمقتول مدبرًا أو وقد غل من الغنيمة، فلا يغسل ولا يصلى عليه، وليس له من ثواب الشهيد الكامل في الآخرة