Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-769: HUKUM MENYEMBUNYIKAN AHLI WARIS SI MATI

HUKUM MENYEMBUNYIKAN AHLI WARIS SI MATI

 

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan, apakah hukum seseorang waris itu menyembunyikan maklumat waris lain bagi si mati dengan tujuan agar dia dapat memperolehi bahagian pusakanya dengan banyak? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum menyembunyikan ahli waris si mati adalah haram hukumnya di samping ia juga merupakan suatu kesalahan dari sudut undang-undang dan si pelaku boleh dikenakan tindakan dan penalti. Ini kerana ia mengandungi unsur mengambil harta orang lain secara batil dan tidak menepati syarak serta menipu dan merampas hak orang lain.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.

Sabda Nabi SAW:

أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Bahagikanlah harta warisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris, maka apa yang berbaki, lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6732)

Hadis Baginda ini menjadi salah satu petunjuk terhadap pengurusan dan pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan seseorang. Apabila seseorang individu itu meninggal dunia lalu dia meninggalkan harta tertentu, maka harta peninggalannya itu hendaklah dibahagikan kepada seluruh ahli warisnya yang berhak berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui nas al-Quran dan juga apa yang disampaikan Nabi SAW melalui sunnah Baginda. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut lafaz الفرائض (al-Faraid) di sini memberi erti nisab (kadar) yang layak diterima bagi setiap waris seperti separuh, sepertiga, seperenam dan lain-lain. Manakala, yang dimaksudkan dengan lafaz أَهْلِهَا (Ahliha) pula ialah orang yang berhak menerima harta peninggalan tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 12/11)[1]. Hadis ini juga menunjukkan bahawa setiap waris si mati mempunyai hak ke atas harta peninggalan si mati selagi mana dia tidak melanggar batas-batas syariat seperti membunuh, bertukar agama dan sebagainya yang menafikan haknya sebagai ahli waris.

Di Malaysia, apabila seseorang itu meninggal dunia, maka harta peninggalannya sama ada berbentuk alih seperti wang tunai di dalam bank dan juga tidak alih seperti rumah dan tanah, secara automatik akan dibekukan. Bagi menuntut harta peninggalan si mati ini, para waris hendaklah terlebih dahulu tanpa terlebih dahulu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau Mahkamah Tinggi Sivil bergantung kepada nilaian harta si mati.[2]

Bagi si mati yang beragama Islam, sebelum proses permohonan bagi mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dibuat, permohonan bagi mendapatkan Perintah Faraid hendaklah dilakukan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah bagi menentukan waris-waris yang berhak menerima harta si mati serta bahagian-bahagian mereka.

Perintah Faraid adalah satu akuan rasmi yang mengandungi maklumat tentang waris-waris dan bahagian-bahagian yang berhak mereka perolehi ke atas harta pusaka selepas dibuat pengiraan faraid yang telah disahkan dan dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Perintah Faraid mampu untuk meminimumkan perkara-perkara negatif yang berkaitan dengan pengurusan harta pusaka daripada berlaku antaranya penipuan atau penyembunyian waris yang berhak, penganiayaan hak waris, manipulasi sesama ahli waris kerana di dalamnya tercatat butiran waris dan bahagian yang akan diterimanya yang mempunyai kesan dari sudut undang-undang. Justeru, pihak-pihak yang terlibat dengan permohonan Perintah Faraid hendaklah mengikuti prosedur yang telah ditetapkan dengan teliti dan jujur serta memenuhi keperluan setiap prosedur tersebut untuk mengelak daripada berlakunya penganiayaan terhadap waris-waris yang berhak akibat kecuaian, kejahilan dan ketidaktelusan semasa menguruskannya.[3]

Perbuatan menyembunyikan ahli waris yang lain dengan tujuan mengaut harta pusaka si mati secara berseorangan atau berlebihan daripada kadar yang sepatutnya      berlaku kerana beberapa sebab dan tujuan antaranya:

  1. Seseorang waris menyembunyikan maklumat akan kewujudan adik-beradiknya yang lain agar dia dapat mengaut bahagian pusaka yang banyak.
  2. Agar dirinya tidak terdinding (terhijab) oleh waris yang lain.
  3. Bertujuan menafikan hak perwarisan orang lain dan pelbagai lagi tujuan yang tidak baik.

Sesungguhnya dia telah menghalang ahli waris daripada menerima haknya yang telah ditentukan syarak di samping dia telah mengambil harta orang lain dengan cara yang batil lagi salah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Al-Nisa’ 4: 29

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

Syeikh Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata maksud memakan harta dengan cara batil adalah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak mengikut syarak seperti mengambil riba, bermain judi, merampas harta, dan menipu dalam timbangan jual beli (dan pelbagai lagi).[4]

Bukan itu sahaja, Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.

Riwayat al-Daruqutni (2885)

Bukan itu sahaja, perbuatan ini juga termasuk dalam salah satu perbuatan menipu dan sememangnya perbuatan tersebut amat dilarang dalam Islam. Sabda Nabi SAW:

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menipu maka dia bukanlah daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Menurut Enakmen 15 Tahun 1992 (Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1992) Bahagian IX-Penalti, Seksyen 146. Menyembunyikan Ahli Waris[5]:

  1. Sesiapa yang dengan sengaja menyembunyikan ahli-ahli waris yang berhak menerima apa-apa harta pusaka adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
  2. Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana pihak berkuasa agama atau sesiapa yang diberi kuasa oleh Mahkamah untuk mencari, menyiasat dan menyenaraikan ahli-ahli yang berhak menjadi waris.
  3. Sesiapa dengan sengaja ingkar perintah Mahkamah di bawah subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Oleh yang demikian, hukum menyembunyikan ahli waris si mati adalah haram di samping ia juga merupakan suatu kesalahan dari sudut undang-undang dan si pelaku boleh dikenakan tindakan dan penalti. Uruslah dan bahagikanlah harta pusaka dengan cara yang adil dan menepati syarak di samping berlaku jujur dan bersikap amanah, moga Allah SWT memberikan kefahaman dalam ilmu dan juga agama. 

Wallahu a‘lam

 

Rujukan:

[1] قَوْلُهُ أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا الْمُرَادُ بِالْفَرَائِضِ هُنَا الْأَنْصِبَاءُ الْمُقَدَّرَةُ فِي كِتَابِ اللَّهِ تَعَالَى وَهِيَ النِّصْفُ وَنِصْفُهُ وَنِصْفُ نِصْفِهِ وَالثُّلُثَانِ وَنِصْفُهُمَا وَنِصْفُ نِصْفِهِمَا وَالْمُرَادُ بِأَهْلِهَا مَنْ يَسْتَحِقُّهَا بِنَصِّ الْقُرْآنِ

[2] Lihat: https://www.jkptg.gov.my/index.php/my/permohonan-pusaka, laman web diakses pada 18/11/2021.

[3] Rujuk: https://efaraid.mais.gov.my/kenapa-waris-perlu-mendapatkan-perintah-faraid/, laman web diakses pada 14/9/2021.

[4] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syariah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu‘asir, cetakan ke-2, 1418H), 5/31.

وأكل مال غيره بالباطل أي بأنواع المكاسب غير المشروعة كالرّبا والقمار والغصب والبخس، فالباطل: ما يخالف الشرع.

[5] Lihat: http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/112bcbbbd2dcdfa6482570e60026705c?OpenDocument, laman web diakses pada 21/9/2021.