Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-790: PENJELASAN BERKENAAN TRADISI MEMASAK BUBUR ASYURA DALAM KALANGAN MASYARAKAT ISLAM NUSANTARA

PENJELASAN_BERKENAAN_TRADISI_MEMASAK_BUBUR_ASYURA_DALAM_KALANGAN_MASYARAKAT_ISLAM_NUSANTARA.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, bolehkah terangkan kepada saya berkenaan amalan memasak bubur Asyura pada hari Asyura? Sebab saya dengar ada ustaz yang sebut amalan tersebut tidak ada sumber yang sahih. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di Malaysia. Ada yang mendakwa bahawa amalan ini disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman, namun kisah ini tidak terdapat nas yang sahih yang dinyatakan dalam al-Quran atau hadis Baginda Nabi SAW dan ia merupakan kisah yang diceritakan oleh ulama sirah.

Namun, bukanlah menjadi satu kesalahan sekiranya mengambil iktibar dan pedoman dengan dengan kisah ini, kerana ia merupakan riwayat sirah. Secara asasnya, ulama memberi kelonggaran dalam penerimaan dan penilaian riwayat ini, selagi mana tidak menyentuh soal akidah dan hukum hakam sehingga perlu dinilai dengan satu piawaian yang ketat.

Malah adat yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia tidaklah bertentangan dengan syarak, bahkan ia merupakan perkara yang terpuji kerana tujuan majlis pada hari tersebut disertakan dengan memasak bubur secara beramai-ramai dapat mengeratkan tautan silaturrahim di samping dapat membudayakan amalan sedekah dalam kalangan masyarakat.

Huraian Jawapan

Hari Asyura atau hari kesepuluh bulan Muharam merupakan tarikh penting dan bersejarah kepada umat Islam. Malah pada hari tersebut juga disunatkan bagi umat Islam berpuasa bagi menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT. Pada hari Asyura juga terdapat pelbagai peristiwa besar yang berlaku di masa lampau seperti peristiwa penciptaan langit dan bumi, bulan dan bintang, begitu juga diciptakan pada hari Asyura al-Arasy dan al-Kursi serta syurga.[1]

Kebiasaan adat masyarakat Melayu akan mengadakan aktiviti memasak bubur Asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat. Amalan memberi makan pada hari Asyura ini menjadi satu tradisi yang sangat dituntut dan dianjurkan di dalam Islam.

Amalan tradisi memasak bubur Asyura pada hari kesepuluh Muharam dalam kalangan masyarakat melayu boleh disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman. Oleh kerana mereka dalam keadaan yang sangat lapar, Baginda Nuh AS memerintah pengikutnya supaya menghimpunkan segala makanan yang tersisa untuk dimasak dan dijadikan makanan. Setelah selesai menghimpun dan memasaknya, lalu mereka makan sehinggalah kekenyangan. Kisah ini dinukilkan Syeikh Nawawi al-Bantani dalam kitabnya:

وَحكي أَن نوحًا عَلَيْهِ الصَّلَاة وَالسَّلَام لما اسْتَقَرَّتْ بِهِ السَّفِينَة يَوْم عَاشُورَاء قَالَ لمن مَعَه اجْمَعُوا مَا بَقِي مَعكُمْ من الزَّاد فجَاء هَذَا بكف من الباقلاء وَهُوَ الفول وَهَذَا بكف من العدس وَهَذَا بأرز وَهَذَا بشعير وَهَذَا بحنطة فَقَالَ اطبخوه جَمِيعًا فقد هنئتم بالسلامة

Maksudnya: Diceritakan bahawa Nabi Nuh AS ketika kapalnya berlabuh setelah menghadapi badai pada hari Asyura, lalu Baginda memerintahkan kepada pengikutnya, “Himpunkanlah sesiapa di antara kalian yang memiliki lebihan makan”, kemudian mereka datang membawanya, “Ini segenggam daripada kacang al-Baqila’, iaitu kacang ful dan ini segenggam daripada kacang al-Adas dan ini beras dan ini tepung dan dan Hintha”. Lalu Baginda bersabda, “Masaklah kesemuanya, sesungguhnya kalian sudah mendapat kebahagiaan dan kesejahteraan”.[2]

Berdasarkan kisah ini, maka manusia mengambil bijirin sebagai salah satu sumber makanan untuk dimasak. Bahkan ia merupakan masakan pertama yang dimasak di atas muka bumi setelah kejadian taufan yang melanda muka bumi sehingga ia diambil dan dijadikan sebagai tradisi yang dilakukan pada hari asyura sehingga ke hari ini. Namun begitu, kisah ini tidak dapat dipastikan daripada sumber sirah yang muktabar dan sumber asalnya. Perkara ini hanya adat sesetengah masyarakat Islam seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani, kata beliau:

فَمن ذَلِك اتخذ الْمُسلمُونَ طَعَام الْحُبُوب وَكَانَ ذَلِك أول طَعَام طبخ على وَجه الأَرْض بعد الطوفان وَاتخذ ذَلِك عَادَة فِي يَوْم عَاشُورَاء

Maksudnya: Berdasarkan peristiwa ini, maka kaum muslimin mengambil bijirin sebagai makanan. Peristiwa ini juga menggambarkan bahawa masakan yang pertama dimasak di atas muka bumi ini selepas dilanda taufan. Oleh itu ia diambil sebagai adat pada setiap hari Asyura. [3]

Selain itu, Syeikh Jamal menukilkan kisah nazam yang disusun oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Hasyiahnya. [4] Lafaznya seperti berikut:

فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ سَبْعٌ تُهْتَرَسْ ... أَرْزٌ وَبُرٌّ ثُمَّ مَاشٍ وَعَدَسْ

وَحِمَّصٌ وَلُوبْيَا وَالْفُولُ ... هَذَا هُوَ الصَّحِيحُ وَالْمَنْقُولُ

Syair_bubur_asyura.jpg

Sikap menolak dan mengancam sesuatu amalan yang dilakukan dalam majoriti masyarakat hanya kerana tidak bersumberkan daripada hadis sahih perlu dihindari. Ini kerana bimbang sikap seperti ini dapat menimbulkan kekeliruan dan memecah belahkan masyarakat yang harmoni.

Justeru, perlu diingat bahawa sesuatu amalan walaupun terkadang tidak mempunyai sandaran daripada hadis Nabi SAW atau tidak mempunyai nas yang jelas selagi mana amalan tersebut tidak bercanggah dengan syarak, maka di sinilah terpakainya kaedah fiqh:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).[5]

Ini menunjukkan bahawa hukum menyambut hari asyura dengan memasak bubur adalah  harus kerana berdasarkan asas yang baik. Benar hadis merupakan sumber dalil dalam panduan terhadap pengamalan masyarakat Islam tetapi hadis bukanlah satu-satunya dalil bahkan dalil lebih daripada itu. Lebih-lebih lagi amalan memasak bubur pada hari Asyura bukanlah sesuatu yang menyalahi hukum syarak. Bahkan amalan tersebut merupakan perkara yang terpuji di samping bergotong-royong memasak bubur Asyura, tradisi ini juga dapat mengeratkan lagi tautan silaturrahim dan dapat membudayakan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat setempat khususnya.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn ʻAbd al-Barr dalam al-Istizkar bahawa dia mendengar gurunya Abu Umar Ahmad bin Abdullah[6] berkata:

كَانَ أَبُو إِبْرَاهِيمَ إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ شَيْخُنَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ كُلَّمَا خَفَضَ وَرَفَعَ عَلَى حَدِيثِ بن عُمَرَ فِي الْمُوَطَّأِ وَكَانَ أَفْضَلَ مَنْ رَأَيْتُ وَأَفْقَهَهُمْ وَأَصَحَّهُمْ عِلْمًا فَقُلْتُ لِأَبِي عُمَرَ لِمَ لَا تَرْفَعُ فَنَقْتَدِي بِكَ قَالَ لَا أُخَالِفُ رواية بن الْقَاسِمِ لِأَنَّ الْجَمَاعَةَ عِنْدَنَا الْيَوْمَ عَلَيْهَا وَمُخَالَفَةُ الْجَمَاعَةِ فِيمَا أُبِيحَ لَنَا لَيْسَتْ مِنْ شِيَمِ الْأَئِمَّةِ

Maksudnya: Bahawa guru kami Abu Ibrahim Ishaq bin Ibrahim, dia mengangkat kedua tangannya setiap kali turun dan bangun (takbir intiqal dalam solat) berdasarkan hadis Ibn Umar RA dalam al-Muwatta’. Dia merupakan orang yang paling utama, paling faqih dan sahih amalannya yang pernah aku temui. Lalu aku bertanya kepada Abu Umar: Kenapa engkau tidak mengangkat supaya aku dapat mengikuti cara engkau. Lalu Abu Umar berkata aku tidak mahu menyelisihi riwayat Ibn al-Qasim kerana majoriti dalam kalangan kita pada hari ini berpegang dengannya (riwayat Ibn al-Qasim). Menyelisihi majoriti dalam perkara yang diharuskan kepada kita bukanlah kebiasaan/sikap orang-orang alim.[7]

Berdasarkan kisah yang disebutkan Ibn ʻAbd al-Barr di atas, dapat difahami bahawa para imam terdahulu apabila mereka mendapati sesuatu amalan yang telah lama diamalkan dalam masyarakat dan amalan tersebut tidak bercanggah dengan syarak maka mereka akan membiarkan masyarakat terus mengamalkannya. Walaupun terkadang mereka mempunyai amalan lain yang mempunyai sandaran dalil yang lebih kuat, tetapi mereka tidak mudah menolak serta mengancam sesuatu amalan yang telah lama dilakukan dalam kalangan masyarakat. Inilah contoh teladan yang perlu diikuti masyarakat Islam pada hari ini. Nescaya nilai perbezaan sesama masyarakat Islam dapat diharmonikan sebaiknya.

Namun, dalam masa yang sama amalan-amalan sunat yang dianjurkan oleh Baginda SAW tidak ditinggalkan, antaranya puasa pada hari Asyura yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, ketika Baginda SAW ditanya berkenaan puasa pada hari Asyura, lalu Baginda menjawab:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ

Maksudnya: Dihapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.[8]

Riwayat Muslim

Hal yang sama diriwayatkan oleh Qatadah RA. Beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.[9]

Riwayat Ibn Majah

Selain itu, para ulama juga telah menggalakkan pelbagai amalan lain pada hari asyura seperti melakukan solat sunat tasbih, berpuasa, bersedekah, mengunjungi orang alim dan lain-lain.  Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani di dalam karyanya:

وَنقل عَن بعض الأفاضل أَن الْأَعْمَال فِي يَوْم عَاشُورَاء اثْنَا عشر عملا الصَّلَاة وَالْأولَى أَن تكون صَلَاة التَّسْبِيح وَالصَّوْم وَالصَّدَقَة والتوسعة على الْعِيَال والاغتسال وزيارة الْعَالم الصَّالح وعيادة الْمَرِيض وَمسح رَأس الْيَتِيم والاكتحال وتقليم الْأَظْفَار وَقِرَاءَة سُورَة الْإِخْلَاص ألف مرّة وصلَة الرَّحِم

Maksudnya: Dinukilkan bahawa sebahagian daripada amalan-amalan yang terbaik yang dilakukan pada hari Asyura terdapat dua belas amalan iaitu, solat dan yang paling utama adalah solat tasbih, puasa, sedekah, memperbanyakkan pemberian (seperti nafkah) kepada keluarga, mengunjungi orang alim dan soleh, menziarahi orang sakit, mengusap kepala anak yatim, bercelak, memotong kuku, membaca surah al-Ikhlas sebanyak seribu kali dan mengeratkan silaturrahim.[10]

Wallahu’alam.  

 

Rujukan:

[1]     Rujuk, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj, Sulaiman bin Umar bin Mansur al-‘Ujaili al-Azhari, Dar al-Fikr, t.t, 2/347 (إنَّ اللَّهَ تَعَالَى خَلَقَ السَّمَوَاتِ، وَالْأَرْضَ، وَالشَّمْسَ، وَالْقَمَرَ، وَالنُّجُومَ وَالْعَرْشَ وَالْكُرْسِيَّ، وَالْجَنَّةَ فِي يَوْمِ عَاشُورَاءَ).

[2]     Rujuk, Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin, Muhammad bin Umar Nawawi al-Bantani, Dar Fikr, t.t, 196.

[3]     Ibid

[4]     Rujuk, Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj, Sulaiman bin Umar bin Mansur al-‘Ujaili al-Azhari, Dar al-Fikr, t.t, 2/348

[5]     Jalal al-Din al-Suyuti, al-Asybah wa al-Naza’ir, Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1990, 60.

[6]     Menurut Muhammad Awwamah, nama guru Ibn ‘Abd al-Barr yang lebih sahih adalah Abu Umar Abd al-Malik bin Hasyim. Rujuk Muhammad Awwamah, Adab al-Ikhtilaf fi Masa’il al-ʻIlm wa al-Din, al-Riyad: Dar al-Minhaj, 2013, hlm.45.

[7]     Ibn ‘Abd al-Barr, al-Istizkar, ed. Salim Muhammad ‘Ata dan Muhammad Ali Mu’awwad, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2000, 1/409.

[8]     Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, t.t, hadis no. 1162, 2/819.

[9]     Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, ed. Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi, Dar Ihya’ al-Kutub al-ʻArabiyyah, hadis no 1738, 1/553.

[10]   Rujuk, Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadiin, Muhammad bin Umar Nawawi al-Bantani, Dar Fikr, t.t, 196.