Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-794: HUKUM MEMINTA SEMULA HADIAH HANTARAN APABILA PUTUS TUNANG

HUKUM_MEMINTA_SEMULA_HADIAH_HANTARAN_APABILA_PUTUS_TUNANG.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk mufti. Saya telah bertunang dengan seorang wanita. Selepas sebulan majlis pertunangan, pihak perempuan ingin memutuskan pertunangan atas sebab yang saya sendiri tidak tahu. Bolehkah saya mengambil Kembali hadiah hantaran pertunangan yang telah saya berikan?

 

Ringkasan Jawapan:

Hadiah yang diberikan sebagai hantaran untuk pertunangan boleh untuk diambil kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin. Namun disyaratkan pemberian tersebut mestilah dengan tujuan untuk pernikahan. Manakala jika pemberian tersebut bukan dengan niat untuk pernikahan tetapi semata-mata sebagai hadiah maka tidak dibenarkan untuk mengambilnya kembali kerana ia termasuk dalam larangan hadis Nabi SAW:

العائدُ في هِبَتِهِ كالعائدِ في قَيْئِهِ

Maksudnya: “Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

 

Huraian Jawapan:

Pertunangan merupakan perkara yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana sabda Nabi SAW:

انظرْ إليها فإنَّه أحْرى أنْ يؤدمَ بينكُما

Maksudnya: “Lihatlah perempuan itu dahulu kerana ia akan lebih mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua.”

(Riwayat al-Tirmizi)

 Telah menjadi adat di kalangan masyarakat Melayu untuk  i bertukar cincin, membawa dulang ke rumah si perempuan dan lain-lain dalam majlis pertunangan yang dipanggil ‘hantaran’ dan ini adalah merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah dengan Islam. Ia hanya sebagai simbolik dan tanda keseriusan untuk menjadikan perempuan tersebut sebagai isteri.  Selagi mana adat tersebut tidak berlanggar dengan syarak maka ianya adalah perkara yang harus. Kami telah bincangkan mengenai pengertian tunang dalam artikel Al-Kafi #798 : Apa Itu Tunang?[1]

Mengenai hukum mengambil semula hantaran yang telah diberikan, secara asasnya hukum meminta semula hadiah atau pemberian yang telah diberikan kepada seseorang adalah haram melainkan pemberian dari seorang bapa kepada anaknya.

Sabda Nabi SAW:

العائدُ في هِبَتِهِ كالعائدِ في قَيْئِهِ

Maksudnya: “Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

 

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:

لا يَحِلُّ لرجُلٍ أن يُعطِيَ عَطيَّةً، أو يهَبَ هِبَةً، فيرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي وَلَدَهُ، ومثَلُ الَّذي يُعطِي العَطيَّةَ ثمَّ يرجِعُ فيها كمثَلِ الكَلْبِ يأكُلُ، فإذا شبِع قاء ثمَّ عاد في قَيْئِهِ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya. Bandingan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan, maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun ulama mazhab Syafi’i berpendapat bahawa hadiah yang diberikan semasa pertunangan boleh untuk diminta kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin kerana tujuan dari pemberian tersebut ialah untuk perkahwinan. Oleh itu, apabila perkahwinan tidak berlaku maka pemberian tersebut berhak untuk diambil kembali. Dalam hal ini Imam al-Baijuri berkata:

ولو أنفق على المخطوبة ولم يتزوجها رجع بما أنفقه حتى الملح

Maksudnya:Jika seorang lelaki memberikan pemberian kepada seorang perempuan yang dipinangnya namun dia tidak jadi berkahwin maka dia boleh untuk mengambilnya kembali sekalipun berupa garam[2].

Namun disyaratkan pemberian tersebut mestilah dengan tujuan untuk pernikahan. Manakala jika pemberian tersebut bukan dengan niat untuk pernikahan tetapi semata-mata sebagai hadiah maka tidak dibenarkan untuk mengambilnya kembali kerana ia termasuk dalam larangan hadis Nabi SAW di atas[3].  Dalam pada itu sebahagian ulama mazhab Syafi’i memperincikan bahawa jika pembatalan perkahwinan tersebut berpunca dari keluarga perempuan dibenarkan pihak lelaki untuk menuntut kembali pemberiannya namun jika pembatalan disebabkan oleh pihak lelaki maka pihak lelaki tidak berhak untuk menuntut semula hadiah yang telah diberikan[4].

Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa:

“Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.”

Kesimpulannya, hadiah yang diberikan sebagai hantaran untuk pertunangan boleh untuk diambil kembali sekiranya mereka tidak jadi untuk berkahwin. Pemberian tersebut boleh dipulangkan sama ada dengan memberikan kembali pemberian tersebut atau jika tidak ada maka boleh digantikan dengan nilainya. Selain itu, tuntutan semula hadiah tersebut boleh dibuat di mahkamah.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Rujuk Al-Kafi #798 : Apa Itu Tunang? https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2558-al-kafi-798-apa-itu-tunang-5

[2] Imam al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri, Beirut: Dar al-Minhaj (2016), jld. 2, hlm. 155.

[3] Ibid.

ومحل رجوعه حيث أطلق أو قصد الهدية لأجل النكاح فإن قصد الهدية لا لأجل النكاح فلا رجوع

[4] al-Sayyid ‘Abd al-Raḥman, Bughyah al-Mustarsyidin, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah (t.t), hlm. 265.

ولو أهدى لمخطوبته فاتفق أنهم لم يزوجوه فإن كان الرد منهم رجع بما أنفق لأنه لم يحصل غرضه الذي هو سبب الهدية أو منه فلا رجوع لانتفاء العلة