Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-833: PUASA ENAM SYAWAL TAPI TIDAK PUASA PENUH KETIKA RAMADAN, ADAKAH DAPAT PAHALA PUASA SETAHUN?

PUASA_ENAM_SYAWAL_TAPI_TIDAK_PUASA_PENUH_KETIKA_RAMADAN_ADAKAH_DAPAT_PAHALA_PUASA_SETAHUN.jpg

 

Soalan:

Kita semua maklum kelebihan puasa enam hari pada bulan Syawal selepas puasa Ramadan yang diumpamakan pahalanya menyamai pahala selama setahun. Persoalan saya, jika saya puasa enam Syawal tapi tidak berpuasa penuh ketika Ramadan kerana sakit atau datang haid, adakah saya memperoleh kelebihan yang disebut dalam hadis itu?

Ringkasan Jawapan:

Seseorang yang tidak berpuasa penuh ketika Ramadan kerana keuzuran, atau langsung tidak berpuasa kerana sakit, lalu dia membayar fidyah dan dia menunaikan puasa enam hari pada Syawal, dikira mendapat pahala puasa setahun yang disebut dalam hadis. Namun kelebihan ini tidak diperolehi jika dia tidak berpuasa atau sengaja berbuka pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Persoalannya, jika seseorang itu tidak berpuasa penuh ketika Ramadan, contohnya kerana sakit atau datang haid, kemudian dia berpuasa enam hari pada bulan Syawal, adakah dia dikira mendapat pahala seperti yang disebut dalam hadis?

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan ketika menghuraikan hadis di atas:

‌وَقَضِيَّةُ ‌الْمَتْنِ ‌نَدْبُهَا حَتَّى لِمَنْ أَفْطَرَ رَمَضَانَ وَهُوَ كَذَلِكَ إلَّا فِيمَنْ تَعَدَّى بِفِطْرِهِ

Maksudnya: Poin utama matan hadis ialah hukum sunat berpuasa (enam hari pada bulan Syawal), termasuk bagi yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan, kecuali bagi sesiapa yang tidak berpuasa dengan sengaja (tanpa sebarang keuzuran).[1]

Syeikh Sulayman al-Jamal pula menjelaskan:

وَمِنْ هُنَا يُعْلَمُ ‌أَنَّ ‌مَنْ ‌عَجَزَ ‌عَنْ ‌صَوْمِ ‌رَمَضَانَ ‌وَأَطْعَمَ عَنْهُ ثُمَّ شُفِيَ يَوْمَ الْعِيدِ مَثَلًا ثُمَّ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ حَصَلَ لَهُ الثَّوَابُ الْمَذْكُورُ فِي الْحَدِيثِ وَلَا مَانِعَ مِنْ ذَلِكَ وَنَظِيرُهُ مَا قَالَ الْعِزُّ بْنُ عَبْدِ السَّلَامِ فِيمَنْ فَطَّرَ سِتًّا وَثَلَاثِينَ شَخْصًا كَانَ كَمَنْ صَامَ الدَّهْرَ

Maksudnya: Maka di sini kita ketahui bahawa sesiapa yang tidak mampu berpuasa Ramadan kerana sakit dan membayar fidyah sebagai ganti, kemudian dia sembuh pada hari raya, lalu dia puasa sunat Syawal selama enam hari, dia mendapat pahala seperti yang disebut dalam hadis, dan tiada masalah dalam hal tersebut. Permasalahan yang berkaitan juga adalah apa yangs disebut oleh al-’Izz bin ‘Abd al-Salam bahawa seseorang yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa, seolah-olah dia berpuasa selama setahun.[2]

Kesimpulannya, seseorang yang tidak berpuasa penuh ketika Ramadan kerana keuzuran, atau langsung tidak berpuasa kerana sakit, lalu dia membayar fidyah dan dia menunaikan puasa enam hari pada Syawal, dikira mendapat pahala puasa setahun yang disebut dalam hadis.

Hal ini juga selaras dengan hadis Rasulullah SAW:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Jika seseorang itu sakit atau bermusafir (dan tidak solat secara berdiri atau solat secara qasar, dia akan mendapat pahala sama seperti amalannya ketika dia bermukim dan dalam keadaan sihat.

Sahih al-Bukhari

Menurut Syeikh al-Husain al-Muzhir, hadis ini bermaksud:

إذا فات منه عمل صالح بسبب المرض أو المسافرة أو شغل طاعة أو مباح، أعطاه ثواب ذلك العمل؛ لأنه معذور في فَوت ذلك العمل، وهذا في غير الفرائض

Maksudnya: Jika seseorang itu terlepas daripada melakukan suatu amal soleh disebabkan sakit, permusafiran atau kesibukan kerana melakukan suatu perkara ibadah atau perkara yang harus, Allah SWT tetap akan mengurniakan pahala amal soleh tersebut kepadanya. Hal ini kerana dia diberi keuzuran akibat terlepas daripada mengerjakan amal tersebut, namun hal ini hanya khusus kepada amalan sunat sahaja. [3]

Namun kelebihan ini tidak diperolehi jika dia sengaja tidak berpuasa atau sengaja berbuka pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran.

Wallahu a‘lam.

[1] Rujuk Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj oleh Ibn Hajar al-Haitami (1984) al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/457

[2] Rujuk Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Syarh Manhaj al-Tullab oleh Sulaiman al-Jamal (t.t) Dar al-Fikr, 2/351. Lihat juga Hasyiyah al-Tarmasi oleh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi (2011) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Pertama, 5/792.

[3] al-Mafatih fi Syarh al-Masabih oleh al-Husain al-Muzhiri (2012) Dar al-Nawadir, Cetakan Pertama, tahqiq: Nuruddin Talib, 2/398