Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-846: HUKUM ORANG ISLAM MEMBACA DOA BERSAMA DENGAN PENGANUT AGAMA LAIN DI UPACARA MEMPERINGATI PERISTIWA TERTENTU

HUKUM_ORANG_ISLAM_MEMBACA_DOA_BERSAMA_DENGAN_PENGANUT_AGAMA_LAIN_DI_UPACARA_MEMPERINGATI_PERISTIWA_TERTENTU.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang klip video yang viral di media sosial kebelakangan ini, di mana seorang ustaz membacakan doa di perkuburan orang kafir sempena memperingati peristiwa tertentu. Persoalan saya, adakah dibolehkan orang Islam berdoa bersama dengan penganut agama lain dalam majlis seperti itu?

Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum orang Islam terlibat dalam acara bacaan doa bersama dengan penganut agama lain bagi majlis dan upacara tertentu adalah haram kerana dikira sebagai mengiktiraf syiar agama-agama lain selain Islam. Selain itu, larangan ini adalah atas dasar sadd al-dzara’ie iaitu menutup pintu-pintu yang membawa kepada kerosakan dan bertujuan mengekang pengaruh fahaman-fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti fahaman pluralisme.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam perkara berkaitan perbuatan berdoa, kita dituntut untuk meminta dan berharap hanya kepada Allah SWT. Hal ini diulang pada setiap kali solat yang didirikan dengan menyebut:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ‎﴿٥﴾‏

Maksudnya: Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

(Al-Fatihah: 5)

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, ayat ini menunjukkan bahawa umat Islam perlu mengkhususkan penyembahan, pengabdian dan ketaatan mereka hanya kepada Allah SWT dan tidak kepada tuhan-tuhan yang lain. Di samping itu, umat Islam juga perlu berharap dan memohon doa hanya kepada Allah SWT semata-mata.[1] Selain itu, kita juga diperintahkan untuk berdoa dalam banyak ayat-ayat al-Quran yang lain, antaranya dalam firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman, ‘Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’

(Surah Ghafir: 60)

Hal ini jelas sekali berbeza dengan sifat doa yang dilakukan oleh orang kafir. Doa-doa yang dilakukan orang kafir pula disifatkan sebagai dalam kesesatan yang bermaksud sia-sia belaka. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا دُعَاءُ الْكَافِرِينَ إِلَّا فِي ضَلَالٍ

Maksudnya: Tiadalah doa dan ibadat orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.

(Surah al-Ra’d: 14)

Justeru itu, bacaan doa yang dilakukan oleh orang Islam tidak boleh disamakan dengan bacaan doa penganut agama-agama lain. Hal ini kerana umat Islam wajib untuk meyakini bahawa hanya Islam adalah agama kebenaran dan Allah SWT adalah satu-satunya tuhan yang berhak disembah, sedangkan agama-agama lain tidak berada di atas jalan kebenaran. Oleh itu, doa-doa yang mereka panjatkan kepada tuhan mereka adalah sia-sia belaka.

Manakala berkaitan dengan isu bacaan doa dalam majlis bersama orang bukan Islam, kami telah memperincikan hukum berkaitannya dalam artikel Bayan Linnas Siri Ke - 156: Doa Bersama Dengan Bukan Islam Dalam Satu Majlis. Dalam artikel tersebut, kami menerangkan bahawa dilarang bagi orang Islam membaca doa dalam majlis yang sepentas dengan golongan bukan Islam atas dasar sadd al-dzara’ie iaitu menutup pintu-pintu kerosakan seperti mengekang fahaman pluralisme yang bertentangan dengan ajaran Islam serta mengekang penyebaran agama lain kepada masyarakat Islam berdasarkan Artikel 11, Perlembangaan Persekutuan.

Hal ini sepertimana yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan kali ke-113 yang bersidang pada 22 Januari 2019 berkenaan dengan Hukum Berdoa Bersama-sama dengan Orang Bukan Islam dalam Satu Majlis, bahawa:

  1. Hukum orang Islam meminta dan mengarahkan orang bukan Islam bersama-sama berdoa mengikut anutan agama masing-masing dalam satu majlis yang dihadiri penganut pelbagai agama adalah haram.
  2. Orang Islam adalah dilarang daripada menganjurkan atau menghadiri apa-apa majlis yang melibatkan upacara keagamaan agama lain.
  3. Pengharaman dan larangan ini sebagai usaha sadd al-dzara’i untuk mengekang penyebaran agama lain dan fahaman pluralisme agama kepada orang Islam.
  4. Bagi maksud Fatwa ini, usaha sadd al-dzara’i merupakan tindakan yang dilakukan bertujuan untuk menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada kerosakan akidah.
  5. Walau apa pun, perenggan 1,2 dan 3, orang Islam tidak dianggap berdosa, jika berada dalam majlis yang tidak melibatkan upacara keagamaan agama lain dan terdapat orang bukan Islam yang berdoa mengikut anutan agama masing-masing dengan kehendak mereka sendiri.

Di samping itu, perkara ini juga telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada tahun 2006, di mana keputusan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Doa tergolong di dalam perkara ibadah kepada Allah S.W.T. dan ia hendaklah dilakukan sebagai suatu acara yang tidak bertentangan dengan roh ibadah dan rasa tawaduk kepada Allah S.W.T. kerana bagi orang Islam memohon dan mendoakan sesuatu hanya kepada Allah S.W.T. sahaja.
  2. Oleh itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam tidak harus meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing. Walau bagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran mereka dengan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, perbuatan tersebut tidak dilarang.

Oleh yang demikian, berdasarkan keputusan ini, umat Islam adalah tidak dibenarkan terlibat dalam program dan acara membaca doa beramai-ramai dengan membabitkan penganut daripada agama lain. Hal ini kerana umat Islam hendaklah meminta dan berdoa hanya kepada Allah SWT, manakala doa-doa yang dilakukan oleh penganut agama lain adalah tuhan sembahan mereka, maka Islam sesekali tidak mengiktiraf perbuatan tersebut.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, hukum orang Islam membaca doa membaca doa bersama penganut agama lain di dalam majlis memperingati peristiwa tertentu adalah dilarang. Hal ini berdasarkan sadd al-dzara’ie iaitu bertujuan menutup pintu pintu kerosakan, antaranya adalah mengekang fahaman pluralisme dan mengelakkan agama Islam dipandang setara dengan agama-agama lain.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Damsyik; Dar al-Fikr; 1991), jld. 1, hlm. 56.

{إِيّاكَ نَعْبُدُ} نخصك بالعبادة ولا نعبد غيرك، ومعناه نطيع، والعبادة: الطاعة والتذلل {وَإِيّاكَ نَسْتَعِينُ} أي نطلب العون والتأييد والتوفيق، ونخصك بطلب المعونة، فأنت مصدر العون والفضل والإحسان، ولا يملك القدرة على عوننا أحد.