Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-884: HUKUM ORANG ISLAM MEMAKAI PAKAIAN HITAM KETIKA MENGHADIRI KEMATIAN

HUKUM_ORANG_ISLAM_MEMAKAI_PAKAIAN_HITAM_KETIKA_MENGHADIRI_KEMATIAN.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk, saya sering melihat orang kenamaan menghadiri kematian dengan memakai pakaian hitam. Adakah ini dibenarkan oleh agama atau tidak?

Ringkasan Jawapan:

Memakai warna hitam ketika menghadiri pengebumian adalah diharuskan kerana ia tidak mengandungi unsur menyerupai agama lain. Walaupun sebahagian ulama mazhab Syafi’i berpendapat bahawa pemilihan warna pakaian tertentu seperti hitam, boleh dikaitkan dengan ratapan dalam konteks kematian namun uruf di Malaysia tidak melihatnya sedemikian.

 

Huraian Jawapan:

Menurut sejarah pakaian hitam ketika pengebumian dimula oleh Ratu Victoria pada tahun 1861 iaitu saat kemangkatan suaminya Prince Albert. Beliau mengenakan pakaian ini sebagai tanda kesedihan dan beliau memakainya sehinggalah di akhir usianya iaitu pada 1901. Semenjak dari itu mengenakan pakaian hitam ketika pemakaman menjadi terkenal di kalangan masyarakat eropah[1].

Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Awail ila Musamarah al-Awail menyatakan bahawa ketika Marwan al-Umawi membunuh Ibrahim ibn Muhammad al-Imam, masyarakat Abbasiyah mula memakai pakaian hitam sebagai tanda kesedihan dan kemudian pakaian tersebut menjadi pakaian kebiasaan mereka. Pada zaman Bani Umaiyyah mereka akan memakai pakaian putih ketika kemangkatan raja mereka bagi membezakan mereka dengan Bani Abbasiyyah yang memakai pakaian berwarna hitam[2].

Memakai pakaian yang berwarna hitam ketika pengebumian tidak menjadi pakaian keagamaan yang khusus untuk mana-mana agama. Memakai warna-warna tertentu berbeza-beza mengikut kepada uruf setempat. Justeru itu, ia tidak termasuk dalam larangan menyerupai agama lain sebagaimana sabda nabi SAW:

من تشبَّهَ بقومٍ فَهوَ منْهم

Maksudnya:Siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari kaum tersebut.”

(Riwayat Abu Daud)

Hal ini kerana bilamana suatu pakaian atau perbuatan itu tidak lagi menjadi sesuatu yang khusus bagi bukan Islam atau orang yang fasiq maka ia boleh berubah hukum menjadi harus. Syeikh al-Bujairami ketika menjelaskan mengenai kain tailasan beliau berkata:

أن الطيالسة الآن ليست من شعارهم بل ارتفع في زماننا وصار داخلا في عموم المباح وقد ذكره ابن عبد السلام في البدع المباحة.

Maksudnya: “Pemakaian al-tiyalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ibn Abd al-Salam dalam kategori bid’ah yang dibenarkan[3].”

Selain itu, Baginda SAW pernah memakai jubah daripada Rom seperti yang diriwayatkan oleh Mughirah bin Syu’bah RA bahawa bapanya katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَبِسَ جُبَّةً رُومِيَّةً ضَيِّقَةَ الْكُمَّيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang kedua tangan bajunya sempit.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Walau bagaimanapun orang Islam diharamkan untuk meratapi kematian dengan menampar pipi ataupun menjerit-jerit sebagai tanda tidak meredai dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

ليسَ مِنَّا مَن لَطَمَ الخُدُودَ، وشَقَّ الجُيُوبَ، ودَعَا بدَعْوَى الجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: “Bukan dari kalangan umatku orang yang menampar pipi, mengoyakkan baju, dan mengajak kepada seruan jahiliyah.”

(Riwayat al-Bukhari)

Semua perbuatan yang seolah-olah menzahirkan perasaan hati tidak meredai dengan apa yang telah ditentukan Allah SWT hukumnya adalah haram. Menurut sebahagian ulama mazhab Syafi’i, mengkhususkan warna tertentu seperti warna hitam atau apa-apa warna lain ketika berlaku kematian juga termasuk dalam bentuk ratapan yang dilarang oleh Islam. Imam Khatib al-Syirbini dalam hal ini berkata:

وَيحرم أَيْضا الْجزع بِضَرْب صَدره وَنَحْوه كضرب خد وَمن ذَلِك أَيْضا تَغْيِير الزي وَلبس غير مَا جرت بِهِ الْعَادة وَالضَّابِط كل فعل يتَضَمَّن إِظْهَار جزع يُنَافِي الانقياد والاستسلام لقَضَاء الله تَعَالَى

Maksudnya: “Diharamkan juga menzahirkan hati yang tidak reda dengan memukul dada atau pipi dan begitu juga mengubah perhiasan atau pakaian dengan sesuatu yang luar dari kebiasaan. Rumusannya (ratapan ialah) semua perbuatan yang mengandungi unsur menzahirkan perasaan tidak reda yang menafikan kepasrahan hati dengan ketentuan Allah SWT[4].”

Namun jika pakaian hitam itu dipakai oleh wanita yang kematian suami maka ia dibenarkan bahkan warna hitam adalah yang lebih baik bagi wanita yang sedang dalam iddah atau ihdad (berkabung) kerana dalam tempoh tersebut mereka dilarang untuk memakai pakaian yang mempunyai ciri-ciri perhiasan. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

 وَإِنْ كَانَ الصِّبْغُ مِمَّا لَا يُقْصَدُ بِهِ الزِّينَةُ، بَلْ يُعْمَلُ لِلْمُصِيبَةِ وَاحْتِمَالِ الْوَسَخِ كَالْأَسْوَدِ وَالْكُحْلِيِّ، فَلَهَا لُبْسُهُ وَهُوَ أَبْلَغُ فِي الْإحِدَادِ،

Maksudnya: “Jika warna tersebut bukan digunakan untuk berhias melainkan digunakan kerana ditimpa musibah atau mengelakkan baju dari kotor seperti warna hitam atau biru gelap maka wanita (yang berada dalam tempoh berkabung) boleh memakainya bahkan warna itu adalah warna yang terbaik ketika sedang berkabung[5].

Walau bagaimanapun ketika menjawab mengenai persoalan memakai pakaian hitam ketika majlis pengebumian Syeikh Atiyyah al-Saqar dalam fatwanya berkata:

والخلاصة أنه لا يوجد نص دينى فى القرآن والسنة يشير إلى ارتداء الملابس السوداء حدادا على المتوفى، وإنما الموجود هو النهى عن الملابس التى تتنافى مع الحزن، ويُترك تحديد ذلك للعرف، مع التنبيه على أن الحداد خاص بالنساء وجوبا لفقد الزوج، وجوازا لفقد أى قريب آخر،

Maksudnya:Kesimpulannya, tidak ada mana-mana nas agama sama ada daripada al-Quran mahupun Sunnah yang menyuruh untuk memakai pakaian hitam ketika berkabung, sebaliknya, mereka yang hadir adalah dilarang memakai pakaian yang tidak sesuai dengan suasana kesedihan dan ini kembali kepada adat. Perlu diingatkan juga bahawa kewajipan berkabung adalah khusus untuk wanita yang kehilangan suami manakala berkabung untuk kehilangan saudara terdekat hukumnya adalah harus[6].

Sekalipun mengkhususkan warna pakaian tertentu seperti warna hitam atau apa-apa warna yang lain ketika berlaku kematian termasuk dalam bentuk ratapan menurut sebahagian ulama mazhab Syafi’i namun uruf di Malaysia tidak menganggap sedemikian. Oleh itu hukum memakai pakaian warna hitam ketika majlis pengebumian adalah harus.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] New World Encyclopedia, Mourning, diakses pada 6 September 2023, daripada https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Mourning

[2] Al-Suyuti, al-Wasail ila Musamarah al-Awail, Baghdad: Maktabah al-Najah (1950), hlm. 70.

[3] Al-Bujairami, Tuhfah al-Habib al Syarh al-Khatib, Beirut: Dar al-Fikr (1995), jld.4, hlm. 367.

[4] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1994), jld. 1, hlm. 208.

[5] Al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, Beirut: al-Maktab al-Islami (1991), jld. 8, hlm. 406.

[6] Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Mesir: al-Majlis al-A’la li al-Syuun al-Islamiyyah, jld. 10, hlm. 17