Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-889: KEDUDUKAN SAF SOLAT KANAK-KANAK PEREMPUAN DALAM SOLAT BERJEMAAH

KEDUDUKAN_SAF_SOLAT_KANAK-KANAK_PEREMPUAN_DALAM_SOLAT_BERJEMAAH.jpg

SOALAN

Boleh ustaz jelaskan lebih lanjut tentang saf yang betul khusus untuk kanak-kanak wanita ketika solat berjemaah di surau atau di masjid?

RINGKASAN JAWAPAN

Kedudukan saf solat kanak-kanak perempuan adalah bersama dengan wanita dewasa di belakang saf kanak-kanak lelaki mengikut pandangan mazhab al-Syafie. Terdapat juga pandangan yang menyebutkan bahawa didahulukan saf perempuan yang telah baligh berbanding perempuan yang belum baligh. Namun sekiranya terdapat keperluan seperti menjaga keselamatan kanak-kanak perempuan, maka boleh mengambil pandangan bahawa kedudukan mereka bersama di dalam saf wanita dewasa. Waallahu a’lam.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara umumnya, kedudukan solat berjemaah yang dihadiri oleh lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki, wanita dan kanak-kanak wanita, maka susunan saf bagi setiap daripada mereka adalah mengikut tertib berikut:

  1. Lelaki dewasa.
  2. Kanak-kanak lelaki
  3. Wanita, sama ada dewasa ataupun kanak-kanak.

Selain itu terdapat juga pandangan yang mengatakan kedudukan kanak-kanak lelaki adalah di celah-celah antara lelaki dewasa supaya mereka dapat mempelajari cara mendirikan solat. Hal ini berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Talibin bahawa:

وَإِنْ حَضَرَ رِجَالٌ وَصِبْيَانٌ، وَقَفَ الرِّجَالُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي صَفٍّ، أَوْ صُفُوفٍ. وَالصِّبْيَانُ خَلْفَهُمْ، وَفِي وَجْهٍ: يَقِفُ بَيْنَ كُلِّ رَجُلَيْنِ صَبِيٌّ لِيَتَعَلَّمُوا أَفْعَالَ الصَّلَاةِ. ‌وَلَوْ ‌حَضَرَ مَعَهُمْ نِسَاءٌ، أُخِّرَ صَفُّ النِّسَاءِ عَنِ الصِّبْيَانِ.

Maksudnya: Jika hadir jemaah dalam kalangan lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki, maka lelaki dewasa berada dalam satu saf atau banyak saf, manakala kanak-kanak lelaki di saf belakang mereka. Menurut pandangan ulama ashab al-wujuh, kanak-kanak lelaki berdiri di antara dua lelaki dewasa supaya mereka dapat mempelajari cara mendirikan solat. Jika hadir jemaah wanita untuk berjemaah bersama mereka, maka diletakkan saf wanita di belakang saf kanak-kanak lelaki.[1]

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kedudukan saf wanita secara umumnya adalah di belakang saf kaum lelaki walaupun dalam kalangan mahramnya. Hal ini berdasarkan pandangan Ibn Hajar dalam kitabnya Tuhfat al-Muhtaj bahawa:

(وَكَذَا لَوْ حَضَرَ امْرَأَةٌ أَوْ نِسْوَةٌ) فَقَطْ فَتَقِفُ هِيَ أَوْ هُنَّ خَلْفَهُ، وَإِنْ كُنَّ مَحَارِمَهُ لِلِاتِّبَاعِ أَيْضًا

Maksudnya: Sekiranya hadir seorang wanita atau ramai, maka dia dan wanita-wanita tersebut hendaklah berdiri di belakang imam walaupun mereka itu daripada kalangan mahramnya (imam) kerana mengikut perbuatan Rasulullah SAW juga.[2]

Manakala berkaitan kedudukan saf kanak-kanak perempuan, kedudukan mereka adalah bersama dengan wanita yang sudah baligh. Kedudukan kanak-kanak perempuan adalah berada dalam saf yang sama dan tidak dibezakan sama ada berada di hadapan atau di belakang wanita yang sudah baligh. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Syarwani bahawa:

(ثُمَّ النِّسَاءُ) ظَاهِرُهُ أَنَّ الْبَالِغَاتِ وَغَيْرَهُنَّ سَوَاءٌ

Maksudnya: Kemudian saf bagi wanita (selepas saf kanak-kanak lelaki). Secara zahirnya bermaksud kedudukan saf wanita yang telah baligh dan belum baligh adalah sama sahaja.[3]

Walau bagaimanapun terdapat pandangan yang mengatakan bahawa sunat untuk didahulukan perempuan yang baligh berbanding kanak-kanak perempuan yang belum baligh. Imam al-Bujairimi menukilkan pandangan tersebut di dalam kitabnya dengan berkata:

وَيُقَدَّمُ مِنْ الْإِنَاثِ ‌الْبَالِغَاتُ عَلَى غَيْرِهِنَّ ح ل

Maksudnya: Didahulukan saf wanita yang baligh daripada saf perempuan yang tidak baligh (menurut Syeikh Nuruddin al-Halabi).[4]

Hal ini juga disebutkan dalam kitab Busyra al-Karim bahawa:

وظاهر إطلاقهم: أن ‌البالغات وغيره سواء، وقياس الرجال: تقديم ‌البالغات؛ وذلك لخبر مسلم: "ليليني منكم أولو الأحلام والنهي" أي: البالغون العاقلون، ثم الذين يلونهم ثلاثاً

Maksudnya: Zahir penyataan secara mutlak yang disebut para ulama bermaksud wanita yang baligh dan kanak-kanak perempuan yang tidak baligh adalah sama kedudukan safnya. Apabila diqiaskan dengan lelaki, maka didahulukan saf wanita yang baligh. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Hendaklah berdiri di belakangku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian golongan yang selepas mereka (disebut sebanyak tiga kali).[5]

Namun begitu, jika jemaah menyalahi susunan yang telah disebutkan ini, maka ia tidak menjejaskan sahnya solat seseorang itu, tetapi hukumnya adalah makruh. Imam Zakaria al-Ansari menjelaskan perkara ini dengan berkata:

(وَهَذَا) كُلُّهُ (مُسْتَحَبٌّ لَا شَرْطٌ) فَلَوْ خَالَفُوا ‌صَحَّتْ ‌صَلَاتُهُمْ ‌مَعَ ‌الْكَرَاهَةِ

Maksudnya: Semua susunan ini adalah sunat dan bukannya syarat (sah solat). Jika jemaah berbeza daripada susunan yang disebutkan, maka solat mereka sah tetapi hukumnya adalah makruh.[6]

Kesimpulan

Kedudukan kanak-kanak perempuan adalah sama ada bersama dengan wanita dewasa atau di belakang wanita dewasa jika diqiaskan kepada jemaah lelaki mengikut pandangan mazhab al-Syafie.

Jika terdapat keperluan seperti keselamatan kanak-kanak perempuan jika diletakkan di saf belakang, maka boleh mengambil pandangan untuk meletakkan mereka bersama dengan saf wanita dewasa.

Waallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991), jld. 1, hlmn. 359.

[2] Al-Haitami, Ibn Hajar, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Kaherah: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983), jld. 2, hlmn. 306.

[3] Al-Syarwani, Abd al-Hamid, Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfat al-Muhtaj, (Kaherah: Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983), jld. 2, hlmn. 306.

[4] Al-Bujairimi, Sulaiman Ibn Muhammad, Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Minhaj, (Kaherah: Matba’ah al-Halabi, t.t), jld. 1, hlmn. 360.

[5] Al-Hadrami, Sa’id Ibn Muhammad Ba’ali Ba’isyin, Busyra al-Karim bi Syarh Masail al-Ta’lim, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004), jld. 1, hlmn. 341.

[6] Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, (Beirut: Dar al-Kitab al-Islami, t.t), jld. 1, hlmn. 223.