Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-890: ISU PEMILIHAN NAMA PENDAFTARAN BAGI BAYI YANG TIDAK DAPAT DITENTUKAN JANTINA

Irsyad_Hukum_890.png

 

SOALAN

Assalamualaikum. Seorang bayi baru dilahirkan seminggu lalu dengan mempunyai dua jantina lelaki dan perempuan. Doktor mengesahkan bayi tersebut mempunyai alat jantina yang berfungsi dengan baik. Untuk mengesahkan alat kelamin mana yang lebih aktif perlu menunggu sehingga datang haid dan keluar air mani. Persoalannya bagaimana nama yang lebih awla (utama) nama untuk pendaftaran sama ada nama lelaki atau perempuan?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Dicadangkan bagi penamaan bayi yang khunsa musykil untuk diberikan nama yang neutral dan uniseks seperti seperti Iman, Ilham, Hanis, Raihan dan sebagainya. Ini supaya jika sudah dipastikan kecenderungan bayi tersebut suatu hari nanti, nama yang dipilih tersebut tidak menjadi keaiban atau kekeliruan bagi dirinya seperti perempuan bernama lelaki dan sebaliknya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan bagi manusia kepada jantina lelaki dan perempuan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Justeru itu, hanya terdapat jantina sahaja dan tiada ketiga seperti yang diperinci di dalam artikel kami Bayan Linnas Siri Ke-235: Gender Ketiga Menurut Perspektif Islam. Oleh itu, seseorang yang dilahirkan dengan dua alat kelamin lelaki dan wanita hendaklah ditentukan kecenderungannya sama ada kepada salah satu daripada dua jantina tersebut. Namun jika tidak dapat ditentukan jantinanya sama ada lelaki atau perempuan, golongan ini disebutkan sebagai khunsa musykil. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Syeikh al-Damiri dalam kitab al-Najm al-Wahhaj bahawa:

و (‌الخنثى ‌المشكل): ‌هو الذي له ما للرجال والنساء جميعًا، وجمعه خناثى كحبالى، ولا يكون مشكلاً إلا إذا كان الفرجان تامي الخلقة على الصفة الموجودة في الذكور والإناث.

Maksudnya: Khunsa musykil ialah seseorang yang mempunyai alat kelamin bagi lelaki dan wanita. Kata jamaknya ialah khunasa mengikut timbangan hubala. Seseorang tidak dikira sebagai khunsa musykil kecuali dia mempunyai dua alat kelamin yang sempurna kejadiannya seperti keadaan yang wujud bagi lelaki dan wanita.

Dalam hal ini, para fuqaha telah menetapkan beberapa cara untuk menentukan jantina bayi tersebut seperti yang disebutkan dalam artikel Irsyad Al- Fatwa Ke- 202: Hukum Hakam Berkaitan Khunsa, antaranya:

  • Air kencing.Sekiranya dia kencing melalui saluran zakar lelaki sahaja, maka dia adalah lelaki. Manakala jika dia kencing melalu faraj, maka dia adalah perempuan. Namun jika dia kencing melalui kedua-duanya, maka diambil kira saluran manakah yang dahulu ia keluar.   

Oleh yang demikian, mestilah berusaha untuk menentukan kecenderungan jantina seseorang itu dengan cara-cara yang bersesuaian daripada apa yang disebutkan di atas terlebih dahulu. Apabila seseorang dapat ditentukan kecenderungannya sama ada kepada lelaki atau wanita, maka dia mengambil kebanyakan hukum-hakam syarak berdasarkan jantina tersebut.

Walau bagaimanapun berkaitan isu pemilihan nama seseorang bayi yang dilahirkan sebagai khunsa musykil dan terdapat keperluan untuk urusan pendaftaran nama bayi, perkara ini tidak banyak disentuh oleh para fuqaha’. Apa yang boleh dicadangkan di sini ialah pemilihan nama yang neutral atau uniseks seperti Iman, Ilham, Hanis, Raihan dan sebagainya. Hal ini supaya jika sudah dipastikan kecenderungan bayi tersebut suatu hari nanti, nama yang dipilih tersebut tidak menjadi keaiban atau kekeliruan bagi dirinya seperti perempuan bernama lelaki dan juga sebaliknya. Di samping itu, nama-nama yang dipilih tersebut hendaklah mempunyai makna-makna yang indah dan baik. Ini sepertimana sabda Rasulullah SAW bahawa:

إنَّكم تُدعَونَ يومَ القيامةِ بأسمائِكُم وأسماءِ آبائِكِم فأحسِنوا أسماءَكم

Maksudnya: “Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama kalian dan nama bapa kalian, maka perelokkanlah nama kalian.”

(Riwayat Abu Daud)

Kesimpulan

Oleh itu, dicadangkan untuk memilih nama yang neutral dan uniseks agar tidak menimbulkan kekeliruan atau rasa malu terhadap individu tersebut apabila namanya tidak sama dengan jantinanya suatu hari nanti. Walau bagaimanapun, sekiranya ingin memilih nama tertentu yang cenderung kepada jantina tertentu kerana tanda-tanda yang ditunjukkan, maka hukumnya adalah harus dan dibolehkan.

Waallahu a’lam.