Soalan
Saya ada soalan berkenaan dengan hukum minum teh kombucha yang diperbuat daripada proses fermentasi. Adakah hukum sama seperti tapai atau sebaliknya?
Ringkasan Jawapan
Teh kombucha merupakan satu produk hasil fermentasi sehingga dalam prosesnya akan menghasilkan produk sampingan seperti alkohol. Minuman yang mengandungi alkohol bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak diharuskan untuk minum berdasarkan ketetapan berikut:
- Sebahagian produk Teh kombucha boleh menghasilkan kandungan alkohol lebih daripada 0.5% adalah haram diminum
- Sekiranya produk Teh kombucha menghasilkan kandungan alkohol di tidak melebihi 0.5%. adalah harus (boleh) diminum.
Namun begitu, kini terdapat banyak jenama Teh kombucha yang telah diberikan sertifikat halal JAKIM. Para pengguna disarankan untuk mencari Teh kombucha yang telah disahkan halal bagi mengelakkan sebarang keraguan.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Teh Kombucha
Secara asasnya, teh merupakan minuman yang popular dalam kalangan masyarakat di dunia. Teh juga datang dalam pelbagai variasi dan jenis. Perbezaan pelbagai jenis teh ini daripada proses-proses yang berlainan menentukan kualiti dan rasa yang berbeza. Kini terdapat banyak produk minuman teh di pasaran telah menarik perhatian pengguna kerana mengandungi pelbagai khasiat termasuk produk Teh Kombucha.
Teh Kombucha ini berasal daripada negara Manchuria, China pada dinasti Tsin (220 SM) yang digunakan sebagai minuman detoks dan tenaga. Kemudian teh ini dibawa ke Jepun sebagai ubat yang menyembuhkan masalah pencernaan. Dengan berkembangnya jalur perdagangan Teh Kombucha ini telah tersebar ke serata dunia. Pada abad ke-21 ini kombucha dijual hampir di seluruh dunia di pelbagai kedai retail dengan pelbagai rasa.[1]
Teh kombucha ini dihasilkan daripada proses fermentasi selama 7-21 hari dari larutan teh dan gula menggunakan kultur bakteria yang pelbagai (Acetobacter xylinum, A. xylinoides, Bacterium gluconicum) dan kulat (Saccharomyces cerevisiae, S. ludwigii, Zygosaccharomyces bailii, Z. rouxii, Schizosaccharomyces pombe, Torulaspora delbrueckii, Brettanomyces bruxellensis, B. lambicus, B. custersii, Candida sp., or Pichia membranaefaciens) yang dikenal SCOBY (symbiotic culture of bacteria and yeast)[2]
Antara khasiat yang ditawarkan oleh Teh Kombucha ini ialah antioksidan, antibakteri, memperbaiki mikroflora usus, dapat meningkatkan ketahanan tubuh dan menurunkan tekanan darah.
Meskipun terdapat banyak khasiat bagi Teh Kombucha ini, hasil fermentasi Teh kombucha ini juga menghasilkan etanol atau alkohol. Oleh itu, aspek kehalalannya perlu diteliti supaya pengguna dapat menggunakannya dengan yakin[3].
Hukum Meminum Teh Kombucha
Secara asasnya, apa-apa tumbuhan yang tidak beracun yang digunakan dalam makanan dan minuman termasuk daun teh adalah halal. Hal ini sebagaimana hukum asal makanan dan minuman adalah halal selagi bebas daripada sebarang unsur najis, mudarat dan tiada petunjuk lain yang menunjukkan hukum haram bersandarkan kaedah fiqh:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”[4]
Teh kombucha ialah minuman hasil fermentasi atau penapaian larutan teh dengan gula yang dibantu oleh kulat atau bakteria yang menghasilkan etanol atau alkohol. Namun begitu, penting untuk difahami bahawa tidak semua yang terhasil daripada fermentasi menghasilkan produk sampingan berupa alkohol. Bahkan, bukan semua makanan dan minuman yang mengandungi alkohol itu adalah arak kerana penghasilan alkohol itu bukan tujuan utama pembuatan makanan itu, sebaliknya hanya kesan sampingan. Meskipun arak dan alkohol ini pada dasarnya melalui proses sama iaitu fermentasi atau penapaian, namun terdapat ciri-ciri penting yang membezakan antara arak dan alkohol seperti berikut :
- Arak menyebabkan kemabukan
- Alkohol seperti etanol boleh menyebabkan keracunan yang boleh membawa kematian jika melebihi kadar yang selamat digunakan[5].
Oleh itu, semata-mata alkohol bukanlah najis selagi ia tidak diambil (extract) daripada proses pembuatan arak atau mana-mana minuman yang memabukkan. Begitu juga, minuman yang mengandungi sedikit alkohol yang tidak diperoleh daripada proses pembuatan arak ini jika ia tiada unsur memabukkan maka ia harus dimakan atau diminum. Hal ini kerana hukum penggunaan alkohol bagi makanan atau minuman dilihat berdasarkan kepada tujuan penghasilannya dan sifat minuman tersebut yang mampu memabukkan atau tidak. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
الحكم يدور مع علته وسببه وجودًا وعدمًا
Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.[6]
Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat makanan atau minuman mengandungi kuantiti alkohol meskipun sedikit dan memabukkan, maka ia haram walaupun bukan dari proses pembuatan arak. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ
Maksudnya: “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.”[7]
(Riwayat Abu Daud)
Oleh yang demikian, bagi memastikan sesuatu minuman atau makanan yang dihasilkan selain (daripada pembuatan arak) itu halal, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
“Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
Bagi memastikan sesuatu produk minuman Teh Kombucha itu halal hendaklah mematuhi kadar piawaian alkohol yang ditetapkan dalam fatwa ini tidak melebihi 0.5%.Hal ini berdasarkan faktor hukum atau ‘illah yang jelas iaitu tujuan penghasilan sesuatu makanan atau minuman bukan daripada hasil pemprosesan arak dan tidak memabukkan.
Kini terdapat banyak jenama Teh kombucha yang telah diberikan sertifikat halal JAKIM. Para pengguna disarankan kepada untuk mencari teh kombucha yang telah disahkan halal bagi mengelakkan sebarang keraguan.
Kesimpulan
Teh kombucha merupakan satu produk hasil fermentasi sehingga dalam prosesnya akan menghasilkan produk sampingan seperti alkohol. Minuman yang mengandungi alkohol bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak diharuskan untuk minum berdasarkan ketetapan berikut:
- Sebahagian produk Teh kombucha boleh menghasilkan kandungan alkohol lebih daripada 0.5%, maka ia haram diminum
- Sekiranya produk Teh kombucha menghasilkan kandungan alkohol kurang daripada 0.5%. dan tidak membahayakan, maka ia halal diminum.
Namun begitu, kini terdapat banyak jenama Teh kombucha yang telah diberikan sertifikat halal JAKIM. Para pengguna disarankan untuk mencari Teh kombucha yang telah disahkan halal bagi mengelakkan sebarang keraguan.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Jayabalan, R., Malbasa, R. v., Lonéar, E. S., Vitas, J. S., & Sathishkumar, M. (2014). A Review on Kombucha Tea-Microbiology, Composition, Fermentation, Beneficial Effects, Toxicity, and Tea Fungus. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety, 13(4), 538-550. https://doi.org/10.1111/1541-4337.12073.
[2] Kaewkod, Thida, Sakunnee Bovonsombut, and Yingmanee Tragoolpua. "Efficacy of kombucha obtained from green, oolong, and black teas on inhibition of pathogenic bacteria, antioxidation, and toxicity on colorectal cancer cell line." Microorganisms 7, no. 12 (2019): 700.
[3] Priyono, Priyono, and Dody Riswanto. "Studi Kritis Minuman Teh Kombucha: Manfaat Bagi Kesehatan, Kadar Alkohol Dan Sertifikasi Halal." International Journal Mathla’ul Anwar of Halal Issues 1, no. 1 (2021): 9-18.
[4] Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuti, al-Asybah wa al-Naza’ir, (Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1983) hlm. 60
[5] Ab Ghani, Anisah, and Muhammad Safiri Ismail. "Penentuan piawaian alkohol dalam makanan yang dibenarkan dari perspektif Islam." Jurnal Fiqh 7 (2010): 290.
[6] Abu Abdullah Bin Muhammad Bin Abi Bakr Bin Ayyub Bin Qayyim al-Jawziyyah. A’lam al-Muwaqi’In ‘an Rab al-‘Alamin. (Dār ‘Ata’at al-‘Ilm: Riyadh, 2019),Jil. 4, hlm. 558.
[7]Abu Dawud Sulayman bin al-Asha’th al-Azdi al-Sijistani, Sunan Abu Dawud, (Beirut, Lubnan: Dar al-Risalah al-‘Ilmiyyah, 2009), Jil 5, hlm. 166.