Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-900: HUKUM MEMBERSIHKAN JALAN RAYA YANG DIPENUHI DENGAN TIN DAN BOTOL ARAK

HUKUM_MEMBERSIHKAN_JALAN_RAYA_YANG_DIPENUHI_DENGAN_TIN_DAN_BOTOL_ARAK.jpg

Soalan

Assalamualaikum wbt, SS Datuk Mufti. Apakah hukum membersihkan jalan raya yang dipenuhi dengan tin dan botol arak? Adakah perbuatan ini dibenarkan memandangkan umat Islam dilarang daripada mendekati arak?

Ringkasan Jawapan

Hukum membersihkan kawasan atau jalan raya yang dipenuhi dengan tin dan botol arak adalah harus bahkan bertepatan dengan perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW yang menganjurkan penjagaan terhadap kebersihan diri dan alam sekitar. Di samping itu, perbuatan membersihkan kawasan daripada sebarang objek yang tajam dan boleh mengakibatkan kemalangan atau kecederaan seperti botol arak yang bersepah di jalan raya termasuk dalam kategori amal soleh yang dianjurkan oleh Baginda SAW.

Walau bagaimanapun, individu yang ingin membersihkan kawasan tersebut digalakkan menggunakan peralatan yang sesuai demi memastikan dirinya terpelihara daripada cecair arak. Hal ini demikian kerana hukum arak dalam Islam adalah najis.

Huraian Jawapan

Syariat Islam sentiasa menitik beratkan aspek kebersihan dalam kehidupan. Sebahagian daripada ketetapan syarak menuntut umat Islam untuk bersuci dan membersihkan diri lebih-lebih lagi ketika hendak beribadah kepada Allah SWT. Bahkan, Allah SWT turut menyukai golongan yang sentiasa membersihkan diri sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Berdasarkan firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Selain itu, terdapat sebuah hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa kebersihan ialah salah satu daripada cabang keimanan. Diriwayatkan daripada Abu Malik al-Asy’ari RA bahawa Baginda SAW bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإيمانِ

Maksudnya: “Kebersihan ialah separuh daripada keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Dalam pada itu, terdapat juga sebuah hadis Rasulullah SAW yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk memperbanyak amalan soleh dalam kehidupan. Antaranya membersih atau membuang objek-objek yang berbahaya di atas jalan raya. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ سُلامَى مِنَ النَّاسِ عليه صَدَقَةٌ، كُلَّ يَومٍ تَطْلُعُ فيه الشَّمْسُ، يَعْدِلُ بيْنَ الِاثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، ويُعِينُ الرَّجُلَ علَى دابَّتِهِ فَيَحْمِلُ علي، أوْ يَرْفَعُ عليها مَتاعَهُ صَدَقَةٌ، والكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وكُلُّ خُطْوَةٍ يَخْطُوها إلى الصَّلاةِ صَدَقَةٌ، ويُمِيطُ الأذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ.

Maksudnya: "Terdapat sedekah yang perlu ditunaikan oleh kesemua anggota pada tubuh manusia pada setiap hari matahari terbit. Menghakimi antara kedua belah pihak dengan adil ialah sedekah. Membantu orang lain untuk menaiki kenderaan dengan memikulnya ialah sedekah. Menuturkan perkataan yang baik ialah sedekah. Setiap langkah menuju ke masjid untuk menunaikan solat juga ialah sedekah dan membuang objek yang membahayakan di jalanan termasuk dalam sedekah."

Riwayat al-Bukhari (2989)

Dalam menghuraikan hadis ini, Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan maksud membuang perkara yang berbahaya di jalanan merangkumi segala objek yang boleh menyakiti pejalan kaki seperti batu, duri atau najis[1]. Dengan perkataan yang lain, perbuatan membersihkan jalan raya daripada botol arak yang bersepah juga termasuk dalam kategori amalan soleh. Namun, antara persoalan lain yang timbul juga adakah dibenarkan kepada umat Islam untuk menyentuh botol arak bagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan.

Sehubungan dengan itu, perbuatan membersihkan jalan raya yang dipenuhi dengan botol atau tin arak bagi tujuan pembersihan adalah dibenarkan kerana bukan bertujuan meminum air daripada bekas minuman tersebut. Bahkan ia juga bertujuan melindungi keselamatan orang lain yang menggunakan jalan raya berkenaan daripada objek yang boleh membahayakan nyawa dan mengakibatkan kecederaan. Hal ini bertepatan dengan salah satu kaedah fiqh[2]:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Setiap kemudaratan mesti dihilangkan.”

Kesimpulan

1. Hukum membersihkan kawasan atau jalan raya yang dipenuhi dengan botol arak adalah harus bahkan bertepatan dengan perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW yang menganjurkan penjagaan terhadap kebersihan diri dan alam sekitar. Di samping itu, perbuatan membersihkan kawasan daripada sebarang objek yang tajam dan boleh mengakibatkan kemalangan atau kecederaan seperti botol arak yang bersepah di jalan raya termasuk dalam kategori amalan soleh yang dianjurkan oleh Baginda SAW.

2. Individu yang ingin membersihkan kawasan tersebut mestilah menggunakan peralatan yang sesuai demi memastikan dirinya terpelihara daripada cecair arak. Hal ini demikian kerana hukum arak dalam Islam adalah najis.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Ahmad bin Muhammad Ibn Hajar al-Haitami, al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba'in (Jeddah:Dar al-Minhaj,2008), 451.

وتميط) بضم أوله (١)؛ أي: تنحي (الأذى) أي: ما يؤذي المارَّة من نحو حَجَرٍ أو شوكٍ أو نجسٍ (عن الطريق) يؤنث ويذكر (صدقة) على المسلمين

[2] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazho’ir (t.tp:Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,1983), 83.