Soalan
Assalamualaikum wbt, SS Mufti. Saya mempunyai kemusykilan mengenai hubungan antara rakyat dengan pemimpin. Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman bahawa setiap rakyat wajib mentaati ulil amri selagi mereka tidak menyuruh melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak. Persoalan saya, adakah Islam membenarkan kepada rakyat atau masyarakat untuk menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan sesuatu ketetapan atau keputusan semasa daripada pemerintah? Mohon pencerahan, terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Masyarakat boleh menyuarakan pandangan terhadap keputusan pemimpin terutamanya dalam hal ehwal yang melibatkan kepentingan umum. Namun begitu, perkongsian pandangan tersebut mestilah dilaksanakan dalam kerangka ketaatan kepada pemimpin iaitu dilaksanakan secara harmoni, bertujuan kebaikan, menggunakan saluran yang tepat, menjauhi unsur-unsur yang boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan antara satu sama lain. Hal ini kerana secara asasnya syariat Islam mewajibkan ke atas setiap rakyat untuk mentaati arahan pemimpin selagi tidak menyalahi tuntutan syarak.
Huraian Jawapan
Setiap negara mempunyai pemimpin dan rakyat yang tersendiri. Dari segi bahasa, rakyat ialah seluruh penduduk dalam sesebuah negara yang menjadi syarat bagi sesebuah pemerintahan[1]. Sejajar dengan itu, rakyat juga memiliki peranan tersendiri yang turut menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara. Secara asasnya, syariat Islam menetapkan bahawa kewajipan rakyat adalah untuk mentaati arahan daripada pemimpin lebih-lebih lagi arahan yang mengandungi maslahah dan kebaikan kepada umum. Pada masa yang sama, adakah kewajipan ini bermaksud rakyat tidak mempunyai hak dan ruang untuk menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan ketetapan daripada pihak pemerintah?
Berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Surah al-Nisa’ (59)
Dalam menghuraikan maksud bagi istilah berkenaan, Imam al-Tabari berpendapat bahawa pandangan yang mengatakan maksud ulil amri sebagai umara’ ataupun pemimpin adalah lebih tepat berdasarkan hadis Rasulullah SAW mengenainya[2]. Imam al-Razi juga memiliki pandangan yang sama kerana secara hakikatnya mereka ialah pemerintah tertinggi dari sudut hierarki pentadbiran, bahkan setiap arahan atau ketetapan daripada mereka juga bersifat lebih mengikat berbanding dengan pandangan daripada golongan ulama[3].
Manakala sarjana tafsir kontemporari seperti al-Maraghi mengambil pendekatan untuk menilai dari sudut ilat kewajipan mentaati pemimpin tersebut iaitu mentaati kepimpinan yang memiliki autoriti dalam mengeluarkan arahan dan hukum hingga menyebabkan rakyat di bawah wajib mengikuti segala ketetapan daripadanya. Antaranya seperti para pemimpin, hakim, ulama’, ketua-ketua angkatan tentera dan semua pemimpin yang terlibat secara langsung dengan keperluan serta maslahah umum bagi masyarakat di tempat berkenaan[4]. Oleh yang demikian, golongan ulil amri yang dimaksudkan dalam penulisan ini merujuk kepada para pemimpin yang mempunyai kuasa ke atas rakyat.
Sementara itu, terdapat juga perbahasan mengenai hukum wajib mentaati pemerintah sama ada kewajipan tersebut bersifat pasti ataupun tidak. Menurut al-Razi, hukum mentaati arahan atau hukum daripada ahli ijmak adalah wajib yang bersifat qat’iy iaitu pasti, manakala hukum mentaati pemerintah pula adalah wajib yang bersifat zhanniy iaitu bergantung kepada keadaan pemerintah tersebut. Hal ini demikian kerana terdapat juga dalam kalangan pemerintah yang bersikap zalim terhadap rakyat ataupun mengeluarkan arahan yang berunsurkan maksiat dan kemungkaran[5].
Kewajipan bersyarat dalam mentaati pemerintah ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW:
السَّمْعُ والطَّاعَةُ علَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيما أحَبَّ وكَرِهَ، ما لَمْ يُؤْمَرْ بمَعْصِيَةٍ، فإذا أُمِرَ بمَعْصِيَةٍ فلا سَمْعَ ولا طاعَةَ
Maksudnya: “Setiap muslim wajib mendengar dan mentaati arahan pemimpinnya sama ada dalam perkara-perkara yang disukai mahupun dibenci selagi mana arahan tersebut tidak menyuruh kepada maksiat. Tidak perlu mendengar dan mentaati arahan pemimpin yang menyuruh kepada melakukan maksiat.”
Riwayat Bukhari (7144)
Hadis di atas menunjukkan bahawa secara asasnya setiap muslim wajib mentaati para pemimpin mereka sama ada perkara tersebut merupakan sesuatu yang disukai ataupun sebaliknya selagi ia termasuk dalam perkara-perkara yang baik. Namun begitu, muslim juga boleh mengabaikan ketaatan kepada pemimpin apabila arahan atau perintah tersebut mendorong ke arah maksiat dan kemungkaran. Dengan perkataan yang lain, syarat utama terhadap ketaatan dan pengabaian muslim kepada pemimpin adalah berteraskan arahan sama ada ia menepati kehendak syarak ataupun tidak. Ia juga memberikan maksud bahawa diharuskan ke atas muslim untuk berbeza pandangan berhubung suatu ketetapan daripada pemimpin, namun muslim tetap wajib mentaati arahan tersebut sekiranya tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Selain itu, faktor kewujudan jurang tertentu antara golongan pemimpin dengan rakyat juga secara tidak langsung turut mempengaruhi corak pemikiran yang berbeza antara kedua-dua belah pihak. Dalam menguruskan perbezaan ini, Ibn Taimiyyah berpandangan bahawa pemerintah mestilah bersifat terbuka untuk mendengar pandangan daripada rakyat sekiranya wujud perbezaan mengenai sesuatu perkara. Pemerintah juga bertanggungjawab untuk menilai kesemua pandangan tersebut dan mengambil pandangan yang lebih hampir kepada al-Quran dan al-Sunnah[6].
Menurut Sheikh Abdul Wahab Khallaf, setiap individu memiliki kebebasan untuk bersuara atau memberikan pandangan selain daripada aspek keagamaan menerusi saluran yang mudah bagi dirinya. Hal ini bertepatan dengan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW apabila terdapat sahabat yang menyuarakan pandangan yang berbeza dengan Baginda lalu Baginda kemudiannya bersetuju terhadap pandangan tersebut[7].
Kedua-dua pandangan di atas menunjukkan bahawa syariat Islam meraikan hak individu untuk bersuara atau mengemukakan pandangan peribadi. Dalam konteks kenegaraan, rakyat juga mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan, memberikan respon, komentar atau cadangan terhadap sesuatu usul atau dasar daripada pihak pemerintah. Lebih-lebih lagi perkara-perkata yang melibatkan ة umum. Namun begitu, ia mestilah dilaksanakan dalam kerangka ketaatan kepada pemimpin dan bukan bertujuan sebaliknya. Hal ini kerana pada asalnya ketetapan dan urus tadbir daripada pemerintah adalah berdasarkan kepada maslahah. Bertepatan dengan kaedah fiqh:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya: “Pengurusan hal ehwal rakyat oleh pemimpin berteraskan kepada maslahat.”
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, masyarakat boleh menyuarakan pandangan terhadap keputusan pemimpin terutamanya dalam hal ehwal yang melibatkan kepentingan umum. Namun begitu, perkongsian pandangan tersebut mestilah dilaksanakan dalam kerangka ketaatan kepada pemimpin iaitu dilaksanakan secara harmoni, bertujuan kebaikan, menggunakan saluran yang tepat, menjauhi unsur-unsur yang boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan antara satu sama lain. Hal ini kerana secara asasnya syariat Islam mewajibkan ke atas setiap rakyat untuk mentaati arahan pemimpin selagi tidak menyalahi tuntutan syarak.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] “Rakyat”, laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, diakses pada 01 November 2024, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=rakyat
[2] Abu Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil fi Ay al-Quran (Mekah:Dar al-Tarbiyah wa al-Turath,t.t), 8:502.
قال أبو جعفر: وأولى الأقوال في ذلك بالصواب، قول من قال: هم الأمراء والولاة = لصحة الأخبار عن رسول الله صلى الله عليه وسلم بالأمر بطاعة الأئمة والولاة فيما كان [لله] طاعةً، وللمسلمين مصلحة
[3] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb (Beirut:Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy,1420H), 10:113.
أَنَّ الْأُمَرَاءَ وَالسَّلَاطِينَ أَوَامِرُهُمْ نَافِذَةٌ عَلَى الْخَلْقِ، فَهُمْ فِي الْحَقِيقَةِ أُولُو الْأَمْرِ/ أَمَّا أَهْلُ الْإِجْمَاعِ فَلَيْسَ لَهُمْ أَمْرٌ نَافِذٌ عَلَى الْخَلْقِ، فَكَانَ حَمْلُ اللَّفْظِ عَلَى الْأُمَرَاءِ وَالسَّلَاطِينِ أَوْلَى.
[4] Ahmad bin Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi (Matba’ah Mustafa al-Halabi:Mesir,1946), 5:72.
وأطيعوا أولى الأمر، وهم الأمراء والحكام والعلماء ورؤساء الجند وسائر الرؤساء والزعماء الذين يرجع إليهم الناس فى الحاجات والمصالح العامة، فهؤلاء إذا اتفقوا على أمر وحكم وجب أن يطاعوا فيه بشرط أن يكونوا أمناء وألا يخالفوا أمر الله ولا سنة رسوله التي عرفت بالتواتر، وأن يكونوا مختارين فى بحثهم فى الأمر واتفاقهم عليه.
[5] Fakhr al-Din al-Razi, Mafatih al-Ghayb (Beirut:Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy,1420H), 10:114.
وَعِنْدَنَا أَنَّ طَاعَةَ أَهْلِ الْإِجْمَاعِ وَاجِبَةٌ قَطْعًا، وَأَمَّا طَاعَةُ الْأُمَرَاءِ وَالسَّلَاطِينِ فَغَيْرُ وَاجِبَةٍ قَطْعًا، بَلِ الْأَكْثَرُ أَنَّهَا تَكُونُ مُحَرَّمَةً لِأَنَّهُمْ لَا يَأْمُرُونَ إِلَّا بِالظُّلْمِ، وَفِي الْأَقَلِّ تَكُونُ وَاجِبَةً بِحَسَبِ الظَّنِّ الضَّعِيفِ، فَكَانَ حَمْلُ الْآيَةِ عَلَى الْإِجْمَاعِ أَوْلَى، لِأَنَّهُ أَدْخَلَ الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ فِي لَفْظٍ وَاحِدٍ وَهُوَ قَوْلُهُ: أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ فَكَانَ حَمْلُ أُولِي الْأَمْرِ الَّذِي هُوَ مَقْرُونٌ بِالرَّسُولِ عَلَى الْمَعْصُومِ أَوْلَى مِنْ حَمْلِهِ عَلَى/ الْفَاجِرِ الْفَاسِقِ.
[6] Ibn Taimiyyah, al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wa al-Ra’iyyah (Arab Saudi:Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan,1418H), 126.
وَإِنْ كَانَ أَمْرًا قَدْ تَنَازَعَ فِيهِ الْمُسْلِمُونَ، فَيَنْبَغِي أَنْ يَسْتَخْرِجَ مِنْ كُلٍّ مِنْهُمْ رَأْيَهُ وَوَجَّهَ رَأْيَهُ، فَأَيُّ الْآرَاءِ كَانَ أَشْبَهُ بِكِتَابِ اللَّهِ وَسُنَّةِ رَسُولِهِ عَمِلَ بِهِ.
[7] Abdul Wahab Khallaf, al-Siyasah al-Syar’iyyah fi al-Syu’un al-Dusturiyyah wa al-Kharijiyyah wa al-Maliyyah (t.tp:Dar al-Qalam,1988), 43.
فإن كان الأمر غير ديني، فلكل فرد أن يبدي رأيه فيه حسبما يراه، ويعرب عنه بالوسيلة الميسورة له، وقد حدث في صدر الإسلام وبعده عدة حوادث تدل على حرية الرأي وإقراره في هذه المواضع: من ذلك أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أشار على المسلمين في بعض الغزوات أن ينزلوا موضعًا معينًا، فسأله أحد الصحابة: أهذا منزل أنزلكه الله؟ أو هو الرأي والحرب والمكيدة؟ قال: "بل هو الرأي والحرب والمكيدة".. قال الصحابي للرسول: ليس هذا بمنزل … وأشار بإنزال المسلمين منزلا آخر، وتحولوا. واختلاف أبي بكر وعمر في حكم الأسرى على مسمع من الرسول خبره مستفيض. وكذلك اختلاف كبار الصحابة في شأن الخلافة وكثير من الشئون.