Soalan:
Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan beberapa kes penyeludupan haiwan secara besar-besaran ke dalam negara. Apa yang lebih membimbangkan apabila haiwan-haiwan tersebut dijadikan “keldai dadah” demi menyembunyikan perbuatan agenda mereka. Mohon ulasan SS Mufti berkaitan perkara ini
Ringkasan Jawapan:
Rakyat perlu sentiasa peka dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penyeludupan, sama ada haiwan mahupun dadah kerana kegiatan haram ini membawa pelbagai bahaya kepada negara. Penyeludupan haiwan tanpa kawalan bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan dan ekonomi negara apabila kehilangan hasil cukai, bahkan memberi kesan buruk kepada industri ternakan tempatan, menyebarkan penyakit berbahaya dan mengganggu keseimbangan ekosistem. Manakala penyeludupan dadah pula boleh merosakkan masa depan generasi muda serta menggugat ketenteraman masyarakat. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat harus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa, melaporkan aktiviti mencurigakan dan tidak bersubahat dalam apa jua bentuk.
Dalam masa yang sama, kita wajar menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota penguatkuasa undang-undang seperti polis, kastam, perkhidmatan veterinar, dan agensi-agensi berkaitan yang tidak pernah lelah mempertahankan sempadan negara daripada ancaman ini. Keamanan dan keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari pembalasan.
Penyeludupan merujuk kepada aktiviti membawa barangan, haiwan, manusia atau bahan secara haram merentasi sempadan negara atau wilayah tanpa mematuhi undang-undang atau peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan melibatkan pelbagai jenis barang.
Implikasi Penyeludupan
- Ekonomi
Secara umumnya, cukai merupakan suatu bentuk kewajipan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah kepada rakyat bagi menjamin kelangsungan dan pembangunan sesebuah negara. Cukai merupakan salah satu tanggungjawab rakyat untuk membantu kerajaaan membangunkan negara, menjamin kesejahteraan bersama dan memastikan keadilan sosial dapat ditegakkan.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.
(Surah al-Nisa: 59)
Al-Qurtubi menjelaskan ayat ini diturunkan dalam bentuk arahan dan seruan kepada rakyat untuk mentaati perintah para pemimpin setelah taat kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Ibn Khuwaz Mandad pula menyebutkan bahawa ketaatan kepada pemerintah adalah wajib dalam perkara-perkara yang mengandungi ketaatan kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, tidak wajib taat dalam perkara yang mengandungi maksiat kepada Allah SWT.[1]
Islam juga tidak melarang pemerintah mengenakan cukai kerana pada hakikatnya di dalam harta orang Muslim itu ada kewajipan lain selain zakat. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ فِي الْمَالِ لَحَقًّا سِوَى الزَّكَاةِ
Maksudnya: "Sesungguhnya pada harta itu terdapat hak selain daripada zakat”.
Imam Fakhruddin al-Razi menukilkan padangan daripada al-Sya’bi ketika beliau ditanya berkenaan kewajipan orang yang memiliki harta dan telah menunaikan zakatnya. Adakah masih terdapat kewajipan lain ke atas harta tersebut? Maka beliau menjawab bahawa masih ada kewajipan lain, antaranya adalah memberi bantuan kepada orang yang meminta. Menurut logik akal, tiada perselisihan pendapat bahawa apabila suatu keperluan itu sampai kepada peringkat darurat (kelangsungan hidup) maka orang ramai wajib memberikan harta mengikut kecukupan untuk menghilangkan kemudaratan tersebut apabila diminta (oleh pemerintah).[2]
Oleh yang demikian, menjadi satu kewajipan bagi umat Islam untuk mematuhi arahan kerajaan yang mengenakan cukai terhadap rakyat apabila ia diletakkan dalam satu sistem yang teratur, dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Penyeludupan haiwan secara haram merupakan perbuatan yang dilarang kerana ia memberikan impak negatif kepada ekonomi negara. Kerajaan akan mengalami kerugian yang besar apabila kehilangan hasil cukai sekaligus menjejaskan sumber pendepatan negara. Ini bukan sahaja satu ancaman ekonomi kepada pendapatan penternak tempatan, malah membahayakan industri ternakan negara secara keseluruhannya. Tindakan penyeludupan haiwan ini juga boleh merencat serta mengancam industri makanan negara.
- Kesihatan Awam
Haiwan ternakan seperti lembu dan kambing yang diseludup bukan sahaja tidak melalui sebarang proses kuarantin atau pemeriksaan kesihatan sebagaimana yang diwajibkan berdasarkan Akta Binatang 1953 (Akta 647), bahkan berisiko membawa penyakit berjangkit yang boleh merebak sehingga menjadi wabak yang mengancam kesihatan awam. Penyeludupan haiwan ternakan yang tidak berdaftar boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius bukan sahaja kepada haiwan-haiwan yang lain, tetapi juga kepada manusia dan alam sekitar. Sebagai contoh, aktiviti penyeludupan lembu haram dari sempadan Malaysia dan Thailand pernah menyebarkan wabak FMD di beberapa kawasan seperti Kelantan, Pahang, Johor dan Melaka pada Mei 2019.[3] Apabila berlaku penyeludupan, haiwan-haiwan ini kebiasaannya tidak mempunyai rekod kesihatan, suntikan vaksin mahupun asal usulnya juga turut tidak diketahui. Justeru ia akan menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan punca dan menyekat penyebaran wabak yang berpunca daripada haiwan-haiwan yang diseludup.
Lebih malang dan membimbangkan, terdapat laporan bahawa haiwan ternakan seperti lembu turut dijadikan ‘keldai dadah’ oleh sindiket penyeludupan untuk menyeludup bahan terlarang merentasi sempadan negara. Taktik kejam ini melibatkan dadah yang disorokkan dalam perut, usus, diikat pada badan haiwan atau ditimbus dengan tahi haiwan[4] bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. Selain menyeksa haiwan, tindakan ini menunjukkan betapa licik dan rakusnya sindiket dadah dalam menjalankan agenda tidak bermoral ini. Kemasukan dadah melalui taktik seumpama ini bukan sahaja merosakkan nyawa manusia, malah menggugat sistem keselamatan, kesihatan awam dan kestabilan sosial negara.
Penutup
Rakyat perlu sentiasa peka dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penyeludupan, sama ada haiwan mahupun dadah kerana kegiatan haram ini membawa pelbagai bahaya kepada negara. Penyeludupan haiwan tanpa kawalan bukan sahaja menjejaskan sumber pendapatan dan ekonomi negara apabila kehilangan hasil cukai, bahkan memberi kesan buruk kepada industri ternakan tempatan, menyebarkan penyakit berbahaya dan mengganggu keseimbangan ekosistem. Manakala penyeludupan dadah pula boleh merosakkan masa depan generasi muda serta menggugat ketenteraman masyarakat. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat harus menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa, melaporkan aktiviti mencurigakan dan tidak bersubahat dalam apa jua bentuk.
Dalam masa yang sama, kita wajar menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota penguatkuasa undang-undang seperti polis, kastam, perkhidmatan veterinar, dan agensi-agensi berkaitan yang tidak pernah lelah mempertahankan sempadan negara daripada ancaman ini. Keamanan dan keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.
Wallahu a'lam.
Rujukan:
[1] Al-Qutubi, Muhammad bin Ahmad. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran. (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, 1964). Jld 5. Hlm 259.
تَقَدَّمَ فِي هَذِهِ الْآيَةِ إِلَى الرَّعِيَّةِ فَأَمَرَ بطاعته عز وجل أولا، وهي امتثال أو أمره وَاجْتِنَابُ نَوَاهِيهِ، ثُمَّ بِطَاعَةِ رَسُولِهِ ثَانِيًا فِيمَا أَمَرَ بِهِ وَنَهَى عَنْهُ، ثُمَّ بِطَاعَةِ الْأُمَرَاءِ ثَالِثًا
وقال ابن خويز منداد: وأما طاعة السلطان فتجب فيما كان لله فِيهِ طَاعَةٌ، وَلَا تَجِبُ فِيمَا كَانَ لِلَّهِ فِيهِ مَعْصِيَةٌ،
[2] Fakhruddin al-Razi, Muhammad bin Umar. Mafatih al-Ghaib. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-’Arabi, 1420H). Jld 5. Hlm 216
وَحُكِيَ عَنِ الشَّعْبِيِّ أَنَّهُ سُئِلَ عَمَّنْ لَهُ مَالٌ فَأَدَّى زَكَاتَهُ فَهَلْ عَلَيْهِ شَيْءٌ سِوَاهُ؟ فَقَالَ: نَعَمْ يَصِلُ الْقَرَابَةَ، وَيُعْطِي السَّائِلَ، ثُمَّ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ، وَأَمَّا الْعَقْلُ فَإِنَّهُ لَا خِلَافَ أَنَّهُ إِذَا انْتَهَتِ الْحَاجَةُ إِلَى الضَّرُورَةِ، وَجَبَ عَلَى النَّاسِ أَنْ يُعْطُوهُ مِقْدَارَ دَفْعِ الضَّرُورَةِ/ وَإِنْ لَمْ تَكُنِ الزَّكَاةُ وَاجِبَةً عَلَيْهِمْ، وَلَوِ امْتَنَعُوا مِنَ الْإِعْطَاءِ جَازَ الْأَخْذُ مِنْهُمْ قَهْرًا، فَهَذَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّ هَذَا الْإِيتَاءَ وَاجِبٌ،
[3] Rujuk: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1728363
[4] Rujuk: https://www.kosmo.com.my/2025/07/03/suami-isteri-dicekup-sorok-lebih-19-kg-pil-kuda-dalam-timbunan-najis-lembu/#google_vignette