Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-912: HUKUM ISTERI MENCABAR SUAMI LAFAZKAN TALAK KETIKA BERLAKU PERGADUHAN

Poster_10.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, ustaz. Apakah hukum isteri cabar atau mendesak suami jatuhkan talak ketika mereka bergaduh? Mohon penjelasan ustaz.

Ringkasan Jawapan:

Seorang isteri tidak boleh bermudah-mudah meminta suami menceraikannya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak, lebih-lebih lagi mencabar suami melafazkan talak. Dinasihatkan untuk berbincang dengan baik dan mendapatkan khidmat sulh (perdamaian) atau kaunseling sekiranya berlaku salah faham atau pertelingkahan antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, isteri boleh memohon fasakh atau khuluk di mahkamah syariah sekiranya terdapat alasan dan sebab kukuh yang diterima syarak untuk bercerai seperti isteri dianiaya atau dizalimi oleh suami. Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan:

Setiap pasangan suami isteri pasti akan menghadapi pertelingkahan dalam kehidupan berumah tangga bak kata pepatah “sedangkan lidah lagi tergigit”. Sebaiknya dalam menyelesaikan pertelingkahan, suami dan isteri hendaklah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dengan cara yang terbaik. Berkemungkinan masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan perbincangan damai tanpa perlu kepada topik perceraian atau seumpama dengannya.

Mencabar suami untuk bercerai ketika bergaduh akan menyebabkan suami melafazkan talak dalam keadaan marah. Lebih dirisaukan apabila isteri dengan mudah meminta diceraikan sedangkan suami tidak melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak. Hal ini kerana Rasulullah SAW melarang seorang isteri meminta suami menceraikannya tanpa alasan yang kukuh dan dibenarkan syarak, sebagaimana sabda Baginda SAW:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي غَيْرِ مَا بَأْسٍ، فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ[1]

Maksudnya:Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa alasan yang munasabah maka haram baginya bau syurga.”

(Riwayat Abu Daud)

Selain itu, dikhuatiri isteri yang mencabar suami untuk bercerai boleh dianggap nusyuz[2]. Walaupun suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggelarkan isteri nusyuz, namun dengan situasi seperti ini berkemungkinan suami boleh memfailkan kes nusyuz di mahkamah sehingga menyebabkan banyak kesan negatif yang lain bakal menyusul.

Oleh yang demikian, apabila berlaku keadaan cabar-mencabar seperti ini, sabar dan diam itu lebih baik daripada berbalas kata sehingga terlafaz talak kerana terlampau mengikut perasaan tercabar dan marah.

Kaunseling Keluarga dan Khidmat Sulh

Selain itu, perbincangan secara damai antara kedua-dua belah pihak sangat digalakkan apabila berlaku pertikaian dalam urusan rumah tangga. Pasangan suami isteri boleh mendapatkan bantuan orang tengah atau mediator sekiranya pertelingkahan yang berlaku tidak mampu diselesaikan berdua sahaja. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنۡ خِفۡتُمۡ شِقَاقَ بَيۡنِهِمَا فَٱبۡعَثُواْ حَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهِۦ وَحَكَمٗا مِّنۡ أَهۡلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصۡلَٰحٗا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيۡنَهُمَآۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرٗا

Maksudnya:Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-Nisa’: 35)

Menurut Imam al-Syafi’i kalimah “فَٱبۡعَثُواْ” bermaksud wajib mendatangkan hakam untuk menyelesaikan pertelingkahan pasangan tersebut. Ini kerana ia termasuk dalam salah satu usaha menghilangkan kezaliman dan itu merupakan tugas umum sebagai seorang qadi atau hakim.[3]

Kedua-dua hakam tersebut hendaklah meneliti keadaan yang sebenar terjadi di antara pasangan tersebut dengan berunding secara damai serta melihat sama ada hubungan mereka boleh diharmonikan semula atau perlu kepada perpisahan. Selain itu, digalakkan pelantikan kedua-dua hakam tersebut daripada kalangan ahli keluarga atau saudara terdekat yang maklum tentang situasi pasangan suami isteri tersebut.[4]

Memohon Khuluk atau Fasakh

Walau bagaimanapun, terdapat situasi isteri boleh meminta perceraian sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT berikut:

فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِمَا فِيمَا ٱفۡتَدَتۡ بِهِۦۗ

Maksudnya:Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).”

(Surah al-Baqarah : 229)

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, isteri mempunyai hak untuk memohon khuluk iaitu menebus talak dengan sesuatu gantian di mahkamah syariah. Begitu juga isteri boleh membuat permohonan fasakh[5] jika masalah antara suami isteri dilihat tidak boleh lagi diperbaiki lagi malah akan ada kemudaratan yang lebih besar sekiranya perkahwinan diteruskan.

Kesimpulan

Oleh itu, dalam Islam, isteri tidak boleh bermudah-mudah meminta suami menceraikannya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak, lebih-lebih lagi mencabar suami melafazkan talak. Dinasihatkan untuk berbincang dengan baik dan mendapatkan khidmat sulh (perdamaian) atau kaunseling sekiranya berlaku salah faham atau pertelingkahan antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, isteri boleh memohon fasakh atau khuluk di mahkamah syariah sekiranya terdapat alasan dan sebab kukuh yang diterima syarak untuk bercerai seperti isteri dianiaya atau dizalimi oleh suami.

 Wallahu a’lam.

 

 

Rujukan:

[1] Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’as. Sunan Abi Daud. (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah). 2:268, no. 2226.

[2] Al-Ramli, Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 6:390.

إذَا (ظَهَرَ أَمَارَاتُ نُشُوزِهَا) كَخُشُونَةِ جَوَابٍ وَتَعْبِيسٍ بَعْدَ طَلَاقَةٍ وَإِعْرَاضٍ بَعْدَ إقْبَالٍ (وَعَظَهَا نَدْبًا)...

[3] Al-Zuhaili. Tafsir al-Munir. 5:59.

وهل الأمر في قوله تعالى: فَابْعَثُوا للوجوب أو للندب والاستحباب؟ قال الشافعي: الأمر للوجوب لأنه من باب رفع الظلامات، وهو من الفروض العامة والمتأكدة على القاضي، وهو ظاهر الأمر.

[4] Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 48. Timbang tara oleh Hakam.

[5] Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh