Soalan:
Assalamualaikum ustaz, apakah hukum mewakafkan harta si mati tanpa pengetahuan waris?
Ringkasan Jawapan:
- Mewakafkan harta si mati tanpa pengetahuan waris adalah haram kerana termasuk mengambil harta orang lain secara batil.
- Hal ini kerana setelah kematian si mati, harta pusaka menjadi hak milik waris mengikut bahagian yang mereka berhak terima.
- Walau bagaimanapun, mewakafkan atau menginfakkan harta pusaka tersebut adalah diharuskan jika ia dilakukan oleh waris sendiri setelah menerima bahagian masing-masing kemudian menghadiahkan pahala sedekah tersebut kepada si mati atau jika terdapat waris yang bersetuju melepaskan bahagiannya daripada harta pusaka untuk diinfakkan.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertama, Islam sangat menitik beratkan penjagaan harta dan hak setiap muslim. Hal ini jelas dalam larangan Allah SWT kepada orang yang beriman agar tidak mengambil harta orang lain secara batil dalam firman-Nya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan (menggunakan) harta sesama kamu dengan cara yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecuali melalui perniagaan yang dilakukan atas dasar reda-meredai (suka sama suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri! Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”
Surah al-Nisa’ (29)
Rasulullah SAW juga telah memberi penegasan tentang terpeliharanya harta sesama muslim ketika menyampaikan khutbah wada‘, sabda baginda:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا
Maksudnya: Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu, serta maruah di antara kamu haram (terpelihara) seperti kemuliaan hari kamu ini
(Riwayat al-Bukhari)
Ibn Battal menerangkan bahawa hadis di atas bermaksud darah setiap muslim serta harta dan maruahnya adalah haram ke atas muslim yang lain. Hadis ini juga memberi makna bahawa pengharaman Allah terhadap harta dan maruah seorang muslim sama dengan pengharaman terhadap darah seorang muslim.[1]
Penjelasan dan penegasan di atas adalah sebagai peringatan kepada setiap muslim untuk berhati-hati dalam menguruskan dan mentadbir harta yang melibatkan hak orang lain terutamanya harta pusaka yang sering diuruskan secara salah sehingga menyebabkan pertelingkahan antara ahli keluarga dan putus silaturahim.
Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, hak milik harta pusaka akan terus berpindah kepada waris sebaik sahaja berlaku kematian si mati mengikut pendapat yang lebih tepat di sisi mazhab Syafi’i.[2] Oleh itu, pihak yang mentadbir dan mengurus harta tersebut wajib melaksanakannya berlandaskan ketetapan syariat iaitu seperti berikut:[3]
- Menyelesaikan pengurusan jenazah.
- Melangsaikan hutang dengan Allah SWT.
- Melangsaikan hutang dengan manusia.
- Melaksanakan wasiat daripada satu per tiga harta yang berbaki.
- Membahagikan harta yang berbaki kepada waris.[4]
Berdasarkan penjelasan di atas, mewakafkan harta si mati tanpa pengetahuan waris adalah haram kerana termasuk mengambil harta orang lain secara batil. Hal ini kerana setelah kematian si mati, harta pusaka menjadi hak milik waris mengikut bahagian yang mereka berhak terima. Perkara ini juga bercanggah dengan firman Allah SWT yang mewajibkan pembahagian harta secara faraid:
لِّلرِّجَالِ نَصِيبٞ مِّمَّا تَرَكَ ٱلۡوَٰلِدَانِ وَٱلۡأَقۡرَبُونَ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٞ مِّمَّا تَرَكَ ٱلۡوَٰلِدَانِ وَٱلۡأَقۡرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنۡهُ أَوۡ كَثُرَۚ نَصِيبٗا مَّفۡرُوضٗا
Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”
Surah al-Nisa’ (7)
Selain itu, nabi SAW juga bersabda:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”
(Riwayat al-Bukhari)
Walau bagaimanapun, mewakafkan atau menginfakkan harta pusaka tersebut adalah diharuskan jika ia dilakukan oleh waris sendiri setelah menerima bahagian masing-masing kemudian menghadiahkan pahala sedekah tersebut kepada si mati atau jika terdapat waris yang bersetuju melepaskan bahagiannya daripada harta pusaka untuk diinfakkan. Sabda Nabi SAW:
لا يحل مال امرئ مسلم إلا بطيب نفسه
Maksudnya: Tidak halal untuk mengambil harta seorang muslim kecuali dengan kerelaan daripadanya.
(Riwayat al-Daraqutni)
Kesimpulan
- Mewakafkan harta si mati tanpa pengetahuan waris adalah haram kerana termasuk mengambil harta orang lain secara batil.
- Hal ini kerana setelah kematian si mati, harta pusaka menjadi hak milik waris mengikut bahagian yang mereka berhak terima.
- Walau bagaimanapun, mewakafkan atau menginfakkan harta pusaka tersebut adalah diharuskan jika ia dilakukan oleh waris sendiri setelah menerima bahagian masing-masing kemudian menghadiahkan pahala sedekah tersebut kepada si mati atau jika terdapat waris yang bersetuju melepaskan bahagiannya daripada harta pusaka untuk diinfakkan.
WaAllahu a’lam.
Rujukan:
[1] Ali bin Khalaf Ibn Battal, Sharh Sahih al-Bukhari li ibn Battal, (Riyadh: Maktabah al-Rusyd, 2003), jld 4 hlmn 311-312
معنى قوله عليه السلام: (إن دماءكم وأموالكم عليكم حرام) يريد أن دماء بعضكم وأمواله وأعراضه حرام على البعض الآخر، فأخرج الخبر عن تحريم ذلك على وجه الخطاب لهم؛ إذ كانوا أهل ملة واحدة، وكان جميعهم فيما لبعضهم على بعض من الحق فى معنى الواحد فيما لنفسه وعليه، وذلك نظير قوله تعالى: (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَاّ أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ) [النساء: 29] والمعنى: لا يأكل بعضكم مال بعض بالباطل، ولا يقتل بعضكم بعضًا، وذلك أن المؤمنين بعضهم إخوة بعض، فما أصاب أخاه من مكروه فكأنه المصاب به، ومثله قوله تعالى موبخًا لبنى إسرائيل الذين كانوا بين ظهرانى المسلمين فى قتل بعضهم بعضًا من ديارهم: (وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ لَا تَسْفِكُونَ دِمَاءكُمْ وَلَا تُخْرِجُونَ أَنفُسَكُم مِّن دِيَارِكُمْ) [البقرة: 84] فأخرج الخبر عن قتل بعضهم لبعض على وجه الخبر عن أنفسهم، وفيه البيان عن أن الله حرم من مال المسلم وعرضه نظير الذى حرم من دمه، وسوَّى بين جميعه فلا يستحل ماله،
[2] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’i, (Beirut: Dar al-Qalam, 2011), jld. 4 hlmn. 247.
علما أن ملكية التركة تنتقل إلى الورثة بمجرد الموت على الأصح، لأن تعلق الدين بالتركة لا يمنع الإرث وإنما يمنع التصرف، فتكون التركة كالمرهونة بالدين وإن قل.
[4] Ibn al-Mulaqqin Umar bin Ali bi Ahman, al-Tazkirah fi al-Fiqh al-Shafi‘i, (Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2006), hlmn. 86.
يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه إن لم يتعلق بعينها حق، ثم بدين الله، ثم بدين الآدمي، ثم بالوصايا من ثلث الباقي، ثم يقسم الباقي بين الورثة.