Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-936: HUKUM PENUBUHAN WAKAF REIT (REAL ESTATE INVESTMENT TRUST) BAGI MEMELIHARA TANAH MELAYU

HUKUM_PENUBUHAN_WAKAF_REIT_REAL_ESTATE_INVESTMENT_TRUST_BAGI_MEMELIHARA_TANAH_MELAYU.jpg

Soalan:

Apakah hukum syarak bagi cadangan mewujudkan Wakaf REIT (Real Estate Investment Trust) sebagai instrumen untuk membangunkan dan memelihara tanah wakaf serta tanah rizab Melayu?

Ringkasan Jawapan:

Cadangan ini boleh menjadi satu inisiatif baik dalam memelihara aset umat Islam, khususnya tanah wakaf dan rizab Melayu. Oleh itu, struktur pelaburan hartanah yang menggabungkan aset wakaf ke dalam amanah pelaburan kemudian diurus secara profesional dan pulangannya diagihkan kepada penerima manfaat atau pewaris wakaf asal adalah harus dan dibenarkan syarak. Namun ia perlu dilihat dalam beberapa sudut:

  1. Hendaklah kekal berstatus wakaf, tidak boleh dijual beli. Real Estate Investment Trust (REIT) hanya menjadi wadah pengurusan, bukan pemilik sebenar.
  2. Hasil dividen yang diperolehi adalah halal kerana ia adalah hasil manfaat sewaan daripada harta wakaf.
  3. Mesti dipantau oleh Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal wakaf, serta diselia oleh penasihat syariah.
  4. Tanah wakaf yang ingin dimanfaatkan bagi tujuan ini hendaklah bukan daripada jenis wakaf yang pewakafnya menetapkan penggunaannya secara langsung, seperti untuk pembinaan masjid, sekolah atau surau.

Di samping itu, pandangan dan penambahbaikan daripada para pakar serta ahli akademik amat dialu-alukan bagi memperkukuh ketepatan dan mutu keseluruhan cadangan ini.

Huraian Jawapan:

Wakaf menurut Kamus Dewan ialah sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai sebagai derma atau bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam[1]. Istilah wakaf dari sudut bahasa bermaksud berhenti (السكن), menegah (المنع) dan menahan (الحبس)[2]. Manakala dari sudut istilah para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan dikalangan fuqaha namun menurut Muhammad Abu Zahrah definisi wakaf yang paling baik ialah:

إنه قطع التصرف في رقبة العين التي يدوم الانتفاع بها وصرف المنفعة

Maksudnya: “Memutuskan hak pemilikan akan sesuatu barangan yang boleh kekal untuk digunakan dan dimanfaatkan.[3]

Cadangan mengangkat wakaf sebagai instrumen alternatif dalam menangani isu tanah Melayu wajar diberi perhatian kerana bukan sahaja dapat mempertahankan hak milik orang Melayu, malah turut mengoptimumkan pengurusan tanah wakaf. Integrasi ini sekali gus melindungi kepentingan sosio-ekonomi masyarakat dan memperkasa peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan umat Islam.

Antara Maqasid Syariah yang penting namun sering diabaikan oleh umat Islam ialah Maqasid ‘Umran (pemakmuran bumi). Hakikatnya, manusia tidak hanya dihantar ke muka bumi untuk beribadah dalam bentuk ritual semata-mata, tetapi juga dipertanggungjawabkan dengan amanah besar iaitu memakmurkan bumi dengan pembangunan yang seimbang. Firman Allah SWT:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلْأَرْضِ وَٱسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

Maksudnya: “Dia telah menjadikan kamu daripada bumi (tanah) dan meminta kamu memakmurkannya”.

Surah Hud (61)

Dalam konteks semasa, usaha menghidupkan kembali tanah-tanah wakaf yang terbiar dengan memberikan mandat pengurusan kepada pihak berautoriti seperti The Urban Development Authority (UDA), kemudian mengembalikan hasil pulangannya kepada tujuan asal wakaf, merupakan manifestasi praktikal Maqasid al-‘Umran.

Sebarang tindakan penambahbaikan terhadap harta wakaf agar ia kekal produktif dan tidak terbazir adalah dibenarkan. Ini termasuklah menguruskan wakaf dengan kaedah moden seperti pelaburan, sewaan jangka panjang atau pembangunan bersama pihak ketiga, dengan syarat ia tidak menyalahi tujuan asal wakaf. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar RA:

أَلَا مَنْ وَلِيَ يَتِيمًا لَهُ مَالٌ فَلْيَتَّجِرْ فِيهِ، وَلَا يَتْرُكْهُ حَتَّى تَأْكُلَهُ الصَّدَقَةُ

Maksudnya: “Ketahuilah! Sesiapa yang menjadi wali kepada seorang anak yatim yang memiliki harta, maka hendaklah dia mengusahakan harta tersebut dan janganlah dibiarkannya sehingga habis dimakan oleh zakat”.

(Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menjadi sandaran tentang keharusan mengembangkan harta melalui aktiviti pelaburan yang halal, demi menjana keuntungan serta manfaat yang berterusan kepada pemilik dan penerima manfaat. Hal ini selaras dengan Maqasid Syariah dalam menjaga harta (hifz al-mal), iaitu memastikan harta umat Islam dipelihara, dimanfaatkan secara optimum dan tidak terbiar sehingga susut atau hilang nilainya[4].

Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali dalam persidangan ke-15 yang diadakan di Muscat, Oman pada 14–19 Muharram 1425H bersamaan 6–11 Mac 2004 telah membincangkan mengenai pelaburan harta wakaf, hasil dan pulangannya dan memutuskan beberapa perkara yang penting untuk diteliti:

  • Pelaburan harta wakaf ialah usaha untuk mengembangkan harta wakaf, sama ada harta asal (aset) atau hasilnya (pendapatan), dengan cara pelaburan yang dibenarkan oleh syarak.
  • Harta wakaf hendaklah dijaga supaya kekal dan terus memberi manfaat.
  • Semua aset wakaf, sama ada hartanah atau harta alih, wajib dilaburkan kecuali jika pewakaf menetapkan agar ia digunakan secara langsung (contohnya masjid, sekolah, surau)[5].

Oleh itu, secara asasnya struktur pelaburan hartanah yang menggabungkan aset wakaf ke dalam amanah pelaburan kemudian diurus secara profesional dan pulangannya diagihkan kepada penerima manfaat atau pewaris wakaf asal adalah harus dan dibenarkan syarak. Namun ia perlu dilihat dalam beberapa sudut:

  1. Hendaklah kekal berstatus wakaf, tidak boleh dijual beli. REIT hanya menjadi wadah pengurusan, bukan pemilik sebenar.
  2. Hasil dividen yang diperolehi adalah halal kerana ia adalah hasil manfaat sewaan daripada harta wakaf.
  3. Mesti dipantau oleh Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal wakaf, serta diselia oleh penasihat syariah.
  4. Tanah wakaf yang ingin dimanfaatkan bagi tujuan ini hendaklah bukan daripada jenis wakaf yang pewakafnya menetapkan penggunaannya secara langsung, seperti untuk pembinaan masjid, sekolah atau surau.

Maka, cadangan ini boleh menjadi satu inisiatif baik dalam memelihara aset umat Islam, khususnya tanah wakaf dan rizab Melayu, selagi mana prinsip syariah dipelihara dengan sebaiknya. Di samping itu, pandangan dan penambahbaikan daripada para pakar serta ahli akademik amat dialu-alukan bagi memperkukuh ketepatan dan mutu keseluruhan cadangan ini.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Kamus Dewan Edisi keempat, Rujuk: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=wakaf

[2] Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, Beirut: Dar Sadir (1414H), jld. 9:359.

[3]Al-Imam Muhammad Abu Zahrah, Muhadarah fi al-Waqf, Qahirah: Dar al-Fikr al-Arabi (1972),45  

[4] Syahnaz Sulaiman & Aznan Hasan. (2016). Strategi pembangunan dan pelaburan wakaf secara lestari menurut perspektif Syariah. Jurnal Syariah, 24(2), 237–270.

[5] Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali. (2004, Mac 11). Qarar bi Sha’n al-Istithmar fi al-Waqf wa fi Ghallatihi wa Ray‘ihi. Diakses pada October 6, 2025, daripada https://iifa-aifi.org/ar/2157.html