Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-948: PENGGUNAAN SUPLEMEN PEMUTIH

New_Microsoft_PowerPoint_Presentation.jpg

SOALAN                    

Assalammualaikum. Baru-baru ini dilaporkan bahawa suplemen pemutih terdedah kepada risiko keselamatan yang boleh menyebabkan radang hati termasuk kegagalan organ terutamanya apabila  mengan­dungi bahan beracun atau ubat berjadual dan tidak berdaftar dengan KKM. Apakah sudut pandangan Syariah berkaitan hukum suplemen pemutih terutamanya apabila ia ancam kesihatan? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Islam meraikan fitrah manusia yang cenderung untuk kelihatan cantik, kemas dan menarik disamping menzahirkan wajah yang berseri. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa wanita Asia khususnya mempunyai keinginan untuk memiliki kulit lebih cerah bukan atas faktor estetika, malahan untuk meningkatkan penerimaan sosial dalam masyarakat serta keyakinan diri. Malahan penampilan mencerminkan adab dan kehormatan seorang Muslim apabila ia selari dengan syariat. Disamping itu, Islam mengajarkan umatnya untuk berketerampilan elok dan rapi dalam urusan seharian agar dapat meningkatkan penerimaan sosial kerana manusia secara semulajadinya sukakan keindahan.

Justeru, hukum pengambilan suplemen pemutih bagi tujuan mengembalikan tona asal kulit, merawat kekusaman wajah akibat pendedahan langsung cahaya matahari serta mengatasi masalah hiperpigmentasi kulit adalah harus tertakluk kepada ketetapan syarat-syarat berikut:

1.       Tujuan merawat bagi menghilangkan aib cela pada wajah yang kusam

2.       Tidak terdedah pada risiko bahaya dari segi kesihatan di samping pemantauan pakar.

3.       Memastikan memilih sumber kandungan bahan yang suci dan diyakini halal

  1. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya hanya diterima pada situasi darurah dan bukan semata-mata bertujuan menzahirkan kecantikan (tahsiniyyah). Hal ini kerana perubahan daripada bentuk asal yang tujuan kecantikan adalah haram

Sebaliknya, sekiranya sesuatu produk tersebut terbukti mengancam kesihatan atau mengandungi bahan yang jelas pengharamannya serta bersifat memudaratkan, maka hukum penggunaannya adalah haram. Oleh yang demikian, pengguna hendaklah cakna dan berhati-hati membeli produk dengan memastikan ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan didaftarkan dibawah Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Suplemen Pemutih

Sejak abad ke - 19, wanita Asia menunjukkan keinginan untuk memiliki kulit wajah yang cerah disamping bertujuan untuk meningkatkan penerimaan sosial dalam masyarakat serta peluang ekonomi. Hiperpigmentasi pada wajah yang menampakkan tompok-tompok gelap akibat penuaan, pendedahan langsung cahaya matahari yang berpanjangan, kehamilan atau faktor genetik bukan sahaja merupakan masalah estetik, malah boleh menyebabkan penurunan keyakinan diri serta perubahan kualiti hidup.[1]  Punca hiperpigmentasi daripada pendedahan UV, pencemaran alam sekitar, perubahan hormon, genetik, penuaan dan tekanan gaya hidup yang boleh membawa kepada masalah kulit kusam dan pigmentasi. [2]  Produk pemutih mempunyai pelbagai bentuk sama ada sapuan luaran (krim, losyen, serum) atau suplemen yang dimakan untuk mencerahkan kulit dari dalam. [3] Produk pemutih berbentuk suplemen pemakanan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai nombor pendaftaran MAL pada labelnya yang boleh disemak melalui laman web  NPRA (Agensi Regulatori Farmasi Negara) sebagai badan yang mengawal selia pendaftaran produk farmaseutikal seperti ubat-ubatan moden, suplemen serta produk berasaskan herba tradisional.

Kecantikan Menurut Perpekstif Islam

Kehidupan yang sempurna (kamaliyyah / Tahsiniyyah) melibatkan aspek kebersihan, pakaian, kecantikan, berhias, menjaga etika, melakukan amalan-amalan sunat, menjaga adab dalam bergaul, budi pekerti yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang dianggap tidak baik oleh akal yang sempurna.[4] Manusia secara fitrahnya sukakan keindahan, perhiasan dan kecantikan (al-Jamal). Perkara tersebut diiktiraf oleh syarak melalui petunjuk dalil berikut:

Firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?”

Surah al-A’raf (3)

Al-Maraghi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah SWT menjadikan perhiasan dengan mencipta bahan-bahannya dan mengajarkan cara-cara yang sesuai dengan fitrah berdasarkan kecintaan manusia terhadap penggunaanya. [5] Oleh yang demikian, syarak tidak mengharamkan perhiasan bagi kesempurnaan kualiti kehidupan.


Daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَال

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.”

Riwayat Muslim

Makna matan hadis يُحِبُّ الْجَمَال bermaksud Allah mencintai manusia yang memperindahkan diri dalam pakaian, alas kaki, tubuh badan dan seluruh urusannya. Perhiasan dan kecantikan mampu menarik perhatian serta menjadikan seseorang disukai dan disenangi oleh orang lain. Berbeza pula dengan mereka yang mengabaikan penampilan diri sehingga tidak mudah menarik perhatian kerana rambut, pakaian atau penampilan keseluruhannya tidak kemas. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Allah SWT menyukai manusia yang tampil indah, kemas, dan bijak menghias diri dengan cara yang sepatutnya.[6]   Islam mengajar umatnya untuk tampil kemas, cantik dan rapi. Namun persoalannya, cantik yang bagaimana? Kecantikan yang dituntut ialah kecantikan yang patuh Syariah, nilai adab dan tidak membawa kepada fitnah.

Sementara, Maqasid Tahsiniyyat (kamaliyyah) berfungsi untuk memperbaiki keadaan manusia bagi menyempurnakan kehidupan sebaik-baiknya dan melengkapkan kebahagiaannya di dunia dan akhirat dengan segala perkara yang sesuai daripada amalan dan adat yang baik. Manakala, Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur mendefinisikan maslahah tahsiniyyat adalah perkara-perkara yang dapat menyempurnakan keadaan sistem kehidupan umat yang stabil dan imej cara hidup. Keindahan adat kebiasaan terhasil daripada cara mengurus kehidupan melalui perhiasan diri serta adab-adab yang merujuk kebaikan dan kemuliaan yang bersifat tambahan dalam kerangka menyempurnakan kehidupan.[7]

Merujuk pada isu yang dibahaskan, pengunaan suplemen pemutih bagi usaha untuk memiliki anggota seluruh badan yang cerah sekaligus mengembalikan warna tona kulit asal wajah yang tidak  sekata akibat pendedahan langsung cahaya matahari yang berpanjangan adalah diharuskan. Perkara tersebut termasuk dalam aspek tahsiniyyah untuk kesempurnaan anggota zahir. Produk kosmetik mahupun suplemen makan yang terdedah dengan risiko bahaya kesihatan terutamanya hanya tujuan kecantikan semata-mata adalah dilarang.  Kecantikan yang sebenarnya tidak seharusnya bergantung semata-mata produk vitamin putih, malah perlu ada gabungan dengan gaya hidup sihat dan rutin penjagaan kulit.

Penutup

Kesimpulannya, hukum makan suplemen pemutih bagi tujuan mengembalikan tona wajah asli dan merawat wajah kusam disebabkan terdedah secara langsung dengan cahaya matahari dan mengatasi masalah pigmentasi kulit adalah harus dengan ketetapan syarat berikut:

  1. Tujuan merawat bagi menghilangkan aib cela pada wajah yang kusam
  2. Tidak terdedah pada risiko bahaya dari segi kesihatan di samping pemantauan pakar.
  3. Memastikan memilih sumber bahan yang suci dan diyakini halal
  4. Rawatan kosmetik yang boleh mengubah ciptaan-Nya dari bentuk asal yang bertujuan semata -   mata untuk menzahirkan kecantikan (tahsiniyyah) adalah haram dan hanya diterima pada    situasi darurah situasi darurah

 

[1] Duperray, J.; Sergheraert, R.; Chalothorn, K.; Tachalerdmanee, P.; Perin, F. The Effects of the Oral Supplementation of L-Cystine Associated with Reduced L-Glutathione-GSH on Human Skin Pigmentation: A Randomized, Double-Blinded, Benchmark- and Placebo-Controlled Clinical Trial. J. Cosmet. Dermatol. 202221, 802–813.

[2] https://www.arielcosmetic.com/ms/analysis-of-key-ingredients-in-whitening-skincare-products/#:~:text=Dalam%20dunia%20hari%20ini%2C%20mencapai%20warna%20kulit,yang%20mendakwa%20dapat%20mengurangkan%20bintik%20hitam%20dan

 

[4] al-Shatibi, Abi Ishaq. al-Muwafaqat fi Usul al-Shari’ah. (Lubnan: Dar al-Kitab al ‘Ilmiah, 2004) Jild 1: Hlmn 223

[5] Al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi (Mesir. 1946) Jilid 8, Hlman 135

إخراج الله للزينة خلق موادها وتعليم طرق صنعها بما أودع فى فطرهم من حبها والميل إلى الافتنان فى استعمالها، إذ خلقهم مستعدين لإظهار آياته فى جميع ما خلق فى هذا العالم الذي يعيشون فيه، بما أودع فى غرائزها من الميل إلى البحث فى كشف المجهول والاطلاع على خفايا الأمور، فهم لا يدعون شيئا عرفوه بحواسهم أو عقولهم حتى يبحثوه من طرق شتى وأوجه لا نهاية لها، ولن تنتهى بحوثهم مادام الإنسان على ظهر البسيطة.

وغريزة حب الزينة وحب التمتع بالطيبات كانت من أهم الأسباب فى اتساع أعمال الفلاحة والزراعة ورقىّ ضروب الصناعة، واتساع وسائل العمران، ومعرفة سنن الله وآياته فى الأكوان، وهما لا يذمّان إلا بالإسراف فيهما والغفلة عن شكر المنعم بهما.

والخلاصة- إن الدين لم يحرمهما إلا إذا كانا عائقين عن الكمال الروحي والكمال الخلقي،

[6] Muhammad bin Salih bin Muhamad Uthaimin, ( Syarah Riyadh al-Salihin   ( 1426) Jilil 3, Halaman 542

((يحب الجمال)) أي يحب التجمل يعني أنه يحب أن يتجمل الإنسان في ثيابه، وفي نعله، وفي بدنه، وفي جميع شؤونه؛ لأن التجمل يجذب القلوب إلى الإنسان، ويحببه إلى الناس، بخلاف التشوه الذي يكون فيه الإنسان قبيحاً في شعره أو في ثوبه أو في لباسه، فلهذا قال: ((إن الله جميل يحب الجمال)) أي يحب أن يتجمل الإنسان.

[7] Nurruddin Mukhtar al-Khadimi, Ilmu Al-Maqasid al-Syariah (Maktabah al-‘Abikan 2001) Halamam 89-90