Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-952: MUSTAHADAH GOLONGAN KETUJUH

MUSTAHADAH_GOLONGAN_KETUJUH.jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Seorang wanita keluar haid pada bulan ini secara berterusan melebihi tempoh maksimum haid. Dia lupa kiraan hari haid bulan sebelumnya akan tetapi tahu bahawa hari pertama bulan tersebut adalah hari permulaan haidnya. Bagaimana kiraan haid wanita tersebut? Mohon penjelasan

Ringkasan Jawapan:

Golongan mustahadah yang ketujuh ialah wanita yang pernah keluar haid dan suci pada kitaran haid sebelumnya, darah yang keluar pada terkini pula melebihi tempoh maksimum 15 hari namun tidak mampu melihat perbezaan pada sifat-sifat darah. Walau bagaimanapun, wanita tersebut mengingati waktu keluar darah bulan sebelumnya namun lupa bilangan kebiasaan hari haidnya. Oleh itu, hari yang diyakini haid dan suci dihukumkan sebagaimana hukum wanita haid dan wanita yang suci. Manakala hari yang berkemungkinan haid, suci atau terputus darah, maka perlu mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat) ketika beribadat seperti hukum wanita mutahayyirah mutlaqah.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Artikel pada kali ini akan membicarakan berkenaan pembahagian terakhir bagi golongan mustahadah dalam haid iaitu mu’tadah ghair mumayyizah zakiratun li ‘adatiha waqtan la qadran. Mereka adalah wanita yang pernah didatangi haid dan suci pada bulan sebelumnya serta tidak mampu membezakan sifat-sifat darah (warna, kepekatan, bau). Mereka mengingati waktu kedatangan darah tetapi lupa akan bilangan hari haid bulan sebelumnya.[1]

Perincian hukum bagi golongan ini adalah seperti berikut:[2]

  1. Setiap hari yang diyakini haid dianggap sebagaimana hukum wanita haid.
  2. Setiap hari yang diyakini suci dianggap sebagaimana hukum wanita istihadah.
  3. Setiap hari yang berkemungkinan haid dan suci, maka wajib berhati-hati (ihtiyat) ketika beribadat. Ketika tempoh ini, mereka hanya diwajibkan berwuduk ketika solat fardu kerana ia merupakan tempoh haid yang meragukan. Perbincangan tajuk ini telah dijelaskan dalam penulisan artikel lepas dalam bab ibadat mustahadah mutahayyirah mutlaqah. Rujuk pautan berikut.
  4. Setiap hari yang berkemungkinan haid, suci dan terputus darah, maka mereka wajib berihtiyat ketika melakukan ibadat. Ketika tempoh ini, tidak memadai sekadar berwuduk bagi setiap solat fardu bahkan wajib melakukan mandi junub setiap kali hendak melaksanakan solat kerana ia adalah tempoh suci yang meragukan.

Contoh-contoh situasi adalah seperti berikut:

  1. Wanita keluar darah pada bulan terkini selama 30 hari berterusan. Dia lupa bilangan hari haid bulan sebelumnya namun mengingati hari permulaan keluar haid iaitu hari pertama bulan tersebut.[3]

Screenshot_2026-04-06_090102.png

  1. Wanita keluar darah pada bulan terkini melebihi 15 hari. Dia lupa akan bilangan hari haid bulan sebelumnya namun ingat bahawa hari ke-6 dalam 10 hari yang pertama adalah haid.[4]

Screenshot_2026-04-06_090144.png

  1. Wanita keluar darah pada bulan terkini selama 30 hari berterusan. Dia lupa bilangan hari haidnya pada bulan lepas namun ingat bahawa hari ke-20 adalah hari terakhir keluar haid.

 Screenshot_2026-04-06_090210.png

Kesimpulan

Golongan mustahadah yang ketujuh ialah wanita yang pernah keluar haid dan suci pada kitaran haid sebelumnya, darah yang keluar pada terkini pula melebihi tempoh maksimum 15 hari namun tidak mampu melihat perbezaan pada sifat-sifat darah. Walau bagaimanapun, wanita tersebut mengingati waktu keluar darah bulan sebelumnya namun lupa bilangan kebiasaan hari haidnya. Oleh itu, hari yang diyakini haid dan suci dihukumkan sebagaimana hukum wanita haid dan wanita yang suci. Manakala hari yang berkemungkinan haid, suci atau terputus darah, maka perlu mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat) ketika beribadat seperti hukum wanita mutahayyirah mutlaqah.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff. Al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah. (Hadramaut: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). Hlmn 169.

الصورة السابعة : معتادة غير مميزة, ذاكرة لعادتها وقتا لا قدرا

[2] Abd al-Rahman al-Saqqaf. Al-Ibanah wa al-Ifadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadah. (‘Amman: Dar al-Nur al-Mubin, 2017). Hlm 70.

حكمُها: أنّ لِليَقِينِ مِن الطُّهْرِ حكمَ الطُّهْرِ، ولِليقينِ مِن الخَيْضِ حكمَ الخَيْضِ، أمّا الزَّمَنُ المُحْتَمِلُ لِلحَيْضِ والطُّهْرِ فحكمُها كحائِضٍ في الوَطْءِ ومَسِّ المُصْحَفِ والقِراءةِ في غيرٍ الصّلاةِ، وكطاهِرٍ في العِبادةِ المُحْتاجةِ لِلنِّيّةِ، وإِنِ احْتَمَلَ الوقتُ انْقِطاعًا وَجَبَ الغُسْلُ لِكُلِّ فرضٍ، وإِن لم يَحْتَمِلِ انْقِطاعًا وَجَبَ الوضوءُ لِكُلِّ فرضٍ.

[3] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). Jld 1. Hlm 293.

مِثَالُ الْحَافِظَةِ لِلْوَقْتِ دُونَ الْقَدْرِ كَأَنْ تَقُولَ: كَانَ حَيْضِي يَبْتَدِئُ أَوَّلَ الشَّهْرِ فَيَوْمٌ وَلَيْلَةٌ مِنْهُ حَيْضٌ بِيَقِينٍ؛ لِأَنَّهُ أَقَلُّ الْحَيْضِ، وَنِصْفُهُ الثَّانِي طُهْرٌ بِيَقِينِ لِمَا مَرَّ أَنَّ أَكْثَرَ الْحَيْضِ خَمْسَةَ عَشَرَ، وَمَا بَيْنَ ذَلِكَ يَحْتَمِلُ الْحَيْضَ وَالطُّهْرَ وَالِانْقِطَاعَ

[4] Ibn Hajar al-Haitami. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1983). Jld 1. Hlm 411.

وَفِي حِفْظِ الْوَقْتِ فَقَطْ كَأَنْ قَالَتْ اعْلَمْ أَنِّي أَحِيضُ فِي الشَّهْرِ مَرَّةً وَأَكُونُ فِي سَادِسِهِ حَائِضًا السَّادِسُ حَيْضٌ يَقِينًا وَالْعَشْرُ الْأَخِيرُ طُهْرٌ يَقِينًا وَمِنْهُ لِلْعِشْرِينِ يُحْتَمَلُ الِانْقِطَاعُ دُونَ الطُّرُوِّ وَمِنْ الْأَوَّلِ لِلسَّادِسِ يُحْتَمَلُ الطُّرُوُّ فَقَطْ

(قَوْلُهُ يُحْتَمَلُ الطُّرُوُّ) وَعِبَارَةُ النِّهَايَةِ وَالْمُغْنِي يُحْتَمَلُ لِلْحَيْضِ وَالطُّهْرِ اهـ.