Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-954: PERSOALAN BERKAITAN DOA YANG DIBACA KETIKA MAJLIS PERKAHWINAN

PERSOALAN_BERKAITAN_DOA_YANG_DIBACA_KETIKA_MAJLIS_PERKAHWINAN.jpg

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang doa yang dibaca dalam majlis-majlis perkahwinan dengan menyebut, “Ya Allah, Kau restulah dan eratkan hubungan kedua-dua pengantin ini sepertimana Kau eratkan hubungan antara Yusuf dan Zulaikha, Musa dan Safurah, Sulaiman dan Balqis..” Ada pihak yang mendakwa bahawa ia tidak patut dibacakan kerana kita tidak dapat menentukan kesahihannya. Justeru bolehkah kita berdoa dengan lafaz doa sedemikian?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Cara berdoa yang baik adalah dengan menjaga adab-adab ketika berdoa. Antara adab tersebut ialah tidak terlalu panjang dan berbunga-bunga sehingga seolah-olah bersajak kerana ia akan menghilangkan rasa khusyuk, perasaan tunduk dan ikhlas kepada Allah SWT. Selain itu juga, jika ingin menambah perkataan yang disebutkan dalam soalan di atas, maka sebaiknya memilih apa yang dipastikan dengan yakin kesahihannya.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perbuatan memberi ucapan selamat kepada para pengantin baru merupakan satu perkara yang dianjurkan di dalam Islam. Ia merupakan sunnah Rasulullah SAW.

Ini sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata:

أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ كانَ إذا رفَّأَ الإنسانَ إذا تزوَّجَ قالَ باركَ اللَّهُ لكَ وباركَ عليكَ وجمعَ بينكما في خيرٍ

Maksudnya: Nabi SAW apabila memberikan ucapan selamat kepada orang yang baru berkahwin, Baginda SAW akan menyebut, “Semoga Allah SWT memberkati kamu dalam keadaan senang dan susah serta menghimpun kalian berdua dalam kebaikan.

(Riwayat Abu Daud: 2130)

Secara umumnya, disunatkan untuk membaca doa-doa yang memohon kebaikan kedua-dua pengantin dan doa mengelakkan daripada keburukan. Bahkan, disunatkan juga untuk diucapkan bagi sesiapa yang tidak menghadiri majlis akad apabila bertemunya walaupun telah berlalu waktu yang lama mengikut ‘uruf.[1] Antara doa ma’thur yang disunatkan untuk dibaca seperti yang disebut oleh Imam al-Nawawi:

يُسْتَحَبُّ الدُّعَاءُ لِلزَّوْجَيْنِ بَعْدَ الْعَقْدِ، فَيُقَالُ: ‌بَارَكَ ‌اللَّهُ ‌لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، ‌وَجَمَعَ ‌بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

Maksudnya: Disunatkan untuk berdoa untuk kedua-dua pengantin selepas selesai akad. Maka dibacakan doa ‘barakaAllahu laka, wa baraka ‘alaika, ma jama’a bainakuma fi khair’.[2] (Rujuk Raudhah al-Talibin, 8:35)

Di samping itu, adab-adab dalam berdoa juga perlu dijaga dan diambil perhatian. Antara adab-adab tersebut ialah memilih lafaz yang mudah difahami, tidak berbunga-bunga dan bersajak dengan sengaja menjadikannya panjang semata-mata untuk sedap didengar. Hal ini sepertimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau berkata:

فانْظُرِ السَّجْعَ مِنَ الدُّعَاءِ فَاجْتَنِبْهُ ؛ فَإِنِّي عَهِدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ لَا يَفْعَلُونَ إِلَّا ذَلِكَ " - يَعْنِي لاَ يَفْعَلُونَ إِلَّا ذَلِكَ الِاجْتِنَابَ

Maksudnya: Hati-hatilah daripada sengaja menjadikan doa seperti bersajak dan jauhilah perbuatan tersebut. Ini kerana aku mengetahui bahawa Rasulullah SAW dan para sahabatnya tidak melakukan kecuali atas sebab tersebut, iaitu mereka tidak melakukannya kecuali dengan tujuan mengelakkan hal tersebut.

(Riwayat al-Bukhari: 6337)

Menurut Ibn al-Battal, Nabi SAW melarang untuk melakukan hal yang demikian kerana ia suatu perbuatan yang sengaja menyusahkan dan memberat-beratkan diri yang mana akan menghalang seseorang daripada khusyuk dan ikhlas dalam berdoa.[3] Walau bagaimanapun, jika ia - tidak menyusahkan diri yang tidak menghalang daripada khusyuk, perasaan tunduk dan ikhlas kepada Allah SWT, maka ia diharuskan.

Selain itu juga, antara adab yang disebut para ulama ialah tidak berdoa dengan lafaz yang sukar difahami dan perkataan yang bersajak tanpa mempunyai asal dan rujukan sehingga mengabaikan doa-doa yang ma’thur (yang diriwayatkan) daripada Rasulullah SAW. Ini seperti mana yang disebut oleh Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya:

وَمِنْهَا أَنْ يَدْعُوَ بِمَا لَيْسَ فِي الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، فَيَتَخَيَّرُ أَلْفَاظًا مُفَقَّرَةً ‌وَكَلِمَاتٍ ‌مُسَجَّعَةً قَدْ وَجَدَهَا فِي كَرَارِيسَ لَا أَصْلَ لَهَا وَلَا مُعَوِّلَ عَلَيْهَا، فَيَجْعَلُهَا شِعَارَهُ وَيَتْرُكُ مَا دَعَا بِهِ رَسُولُهُ عليه السلام. وَكُلُّ هَذَا يَمْنَعُ مِنِ اسْتِجَابَةِ الدُّعَاءِ.

Maksudnya: Antaranya (yang perlu dielakkan ketika berdoa), berdoa dengan doa yang bukan daripada al-Quran dan Sunnah dengan memilih perkataan yang sukar difahami dan susunan kata yang bersajak, yang mana didapati dalam tulisan yang tiada asal baginya dan tidak boleh dijadikan sandaran. Lalu dijadikan doa tersebut suatu syiar dengan meninggalkan doa-doa yang telah dibaca oleh Rasulullah SAW. Semua perkara ini menghalang daripada dikabulkan sesuatu doa. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 7:226)

Oleh yang demikian, doa-doa yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan atas tujuan untuk sengaja memanjangkannya supaya sedap di dengar hendaklah dielakkan. Walau bagaimanapun, jika mahu juga diletakkan doa seperti yang disebut di atas, maka sebaiknya disebut apa yang dipastikan dengan yakin kesahihannya dan yang diterima ulama riwayatnya seperti Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Khadijah, Saidina Ali Ibn Abi Talib dan Saidatina Fatimah al-Zahra atau serta seumpamanya, dengan syarat tidak terlalu memanjangkannya dan tidak memberat-beratkan diri.

Kesimpulan

i. Cara berdoa yang baik adalah dengan menjaga adab-adab ketika berdoa. Antara adab tersebut ialah tidak terlalu panjang dan berbunga-bunga sehingga seolah-olah bersajak kerana ia akan menghilangkan rasa khusyuk, perasaan tunduk dan ikhlas kepada Allah SWT.

ii. Selain itu juga, jika ingin menambah perkataan yang disebutkan dalam soalan di atas, maka sebaiknya memilih apa yang dipastikan dengan yakin kesahihannya.

WaAllahu a'lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Syarwani, Abdul Hamid, Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfat al-Muhtaj, (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, 1983), 7:216.

(قَوْلُهُ: عَقِبَهُ) أَيْ الْعَقْدِ فَيَطُولُ بِطُولِ الزَّمَنِ عُرْفًا وَيَنْبَغِي أَنَّ مَنْ لَمْ يَحْضُرْ الْعَقْدَ يُنْدَبُ لَهُ ذَلِكَ إذَا لَقِيَ الزَّوْجَ، وَإِنْ طَالَ الزَّمَنُ مَا لَمْ تَنْتَفِ نِسْبَةُ الْقَوْلِ إلَى التَّهْنِئَةِ عُرْفًا اهـ

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991), 8:35.

[3] Ibn al-Battal, Abu al-Husain Ali Ibn Khalaf, Syarah Sahih al-Bukhari, (Arab Saudi: Maktabah al-Rusyd, 2003), 10:97.

إنما نهى عن السجع فى الدعاء، والله أعلم؛ لأن طلب السجع فيه تكلف ومشقة، وذلك مانع من الخشوع وإخلاص التضرع لله تعالى وقد جاء فى الحديث: (إن الله لا يقبل من قلب غافلٍ لاهٍ).

قيل: هذا يدل أن نهيه صلى الله عليه وسلم عن السجع إنما أراد به من يتكلف السجع فى حين دعائه، فيمنعه من الخشوع كما قدمنا، وأما إذا تكلم به طبعًا من غير مؤنة ولا تكلف، أو حفظه قبل وقت دعائه مسجوعًا فلا يدخل فى النهى عنه؛ لأنه لا فرق حينئذ بين المسجوع وغيره؛ لأنه لا يتكلف صنعته وقت الدعاء فلا يمنعه ذلك من إخلاص الدعاء والخشوع والله أعلم.