Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-27: MAKRIFAH HUKUM MERUPAKAN SYARAT MUFTI

makrifah hukum.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Salah satu daripada syarat mufti adalah mengetahui berkenaan hukum syara’. Boleh terangkan kepada kami yang sebenarnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, para ulama telah menetapkan beberapa syarat. Antaranya:

  • Makrifah kitab Allah dan segala ilmu berkaitan dengan:
    • Nasakh mansukh
    • Muhkam mutasyabih
  • Makrifah Sunnah Rasulullah SAW dan segala ilmu yang berkaitan dengan nasakh mansukh dan mustolah hadith.
  • Makrifah qawa’id istinbat
  • Makrifah wujuh al-qiyas
  • Makrifah takhrij

Para ulama’ telah menggolongkan seseorang yang berfatwa tanpa ilmu sebagai sebesar-besar musibah. Benarlah sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan cara menariknya dari dada-dada hamba. Akan tetapi Dia menarik ilmu dengan mematikan para Ulama. Sehinggalah apabila tidak ada para Ulama, manusia mengangkat pemimpin-pemimpin yang jahil. Apabila mereka ditanyakan, mereka memberi fatwa tanpa ilmu. Lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”

Riwayat al-Bukhari (99) dan Muslim (4835)

Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mengulas hadis ini berkata: Hadis ini menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dicabutnya ilmu di dalam hadis-hadis sebelum ini bukanlah dengan cara memadamnya daripada dada-dada para penghafalnya. Akan tetapi, maknanya adalah dengan mematikan golongan yang memikul ilmu. Lalu orang ramai mengambil golongan yang jahil dan berhukum dengan kejahilan mereka, maka mereka pun sesat dan menyesatkan orang lain. (Lihat Syarah al-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 16/224)

Ibn Hamdan dalam Sifat al-Mufti wa al-Mustafti (hlm. 9) berkata: Diharamkan ke atas orang yang jahil untuk berfatwa sekalipun jawapannya tepat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ

Maksudnya: Dan janganlah kalian berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram…”

(Surah al-Nahl: 116)

Justeru, Syeikh Muhammad Abu Zahrah mengingatkan kita dengan katanya: Telah zahir dan muncul pada tahun-tahun terakhir ini ramai orang cuba menggambarkan dirinya sebagai ahli ilmu sehingga mereka menisbahkan kepadanya. Ada dalam kalangan mereka telah mendapat kepercayaan dan thiqah manusia. Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kedudukan di dunia. Mereka itu telah memberi fatwa kepada manusia tanpa ilmu atau sedikit ilmu sedangkan mereka tidak ada sandaran Syar’ie di samping kenyataan mereka tidaklah adanya wajah kebenaran. Mereka itulah dikatakan telah melampau terhadap diri mereka dengan fatwa yang songsang. Akan tetapi mereka menganggap diri mereka sebagai mujaddid atau ulama tahqiq atau pengkaji dan penyelidik yang hebat. (Lihat tulisan al-Fatwa fi Din Allah oleh Muhammad Abu Zahrah dalam Majallah Liwa’ al-Islam, 24 Syawwal 1376 Hijrah bersamaan 5 Mei 1957 Masihi, hlm. 110-111)

Justeru, marilah kita sama-sama menginsafi diri untuk mencermati dalam mengeluarkan fatwa dan hukum agar ia benar-benar berbetulan dengan syariat Islam. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam beragama. Amin.