Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FEQH SIRI KE- 32: HUKUM ATAS SESUATU ADALAH CABANG DARIPADA GAMBARANNYA (الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ)

hukum.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Selalu saya baca dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my) berkenaan dengan kaedah hukum atas sesuatu adalah cabang daripada gambarannya. Boleh jelaskan pada kami berkenaan kaedah tersebut?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kaedah tersebut ialah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Ini merupakan kaedah yang masyhur dan amat mulia dalam kalangan ulama yang merentasi mazhab. Al-Jurjani berkata: "Tasawwur merupakan menghasilkan gambaran sesuatu pada akal dengan tepat. Bukanlah maksud dengan tasawwur dalam kaedah ini semata-mata gambaran pada zihin pada akal dari sesuatu. (Lihat al-Ta'rifat, hlm. 59) Abu al-Baqa' al-Kafawi berkata: "Tasawwur kadang-kadang dengan maksud ilmu atau pengetahuan. Dan ia bukanlah berdasarkan kepada tasawwur yang dusta. Justeru, tasawwur yang dimaksudkan dalam kaedah ini ialah tasawwur yang penuh dengan ilmu yang mendalam tentang sesuatu perkara. Ini kerana tasawwur tersebut adalah dhabit pada zihin dan fikir yang selamat daripada kesilapan. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 290)

 

Dalil Berkenaan Kaedah Ini

Terdapat banyak dalil dan nas berkenaan kaedah ini. Antaranya:

Pertama: Firman Allah SWT:

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِ خُبْرًا

Maksudnya: Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?

Surah al-Kahfi (68)

Al-Sa’di berkata: Terdapat banyak faedah dalam kisah Khidir bersama Musa AS. Antaranya, hendaklah suatu perkara itu dicermati dan disemak tanpa segera menghukum ke atas sesuatu sehingga difahami apa yang dikehendakinya iaitu maksud. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 2/13)

Kedua: Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

Maksudnya: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;

Surah al-Isra’ (36)

Termasuk dalam kaedah ini, menghukum sesuatu sebelum mengetahui. Yakni tidak ada satu pengetahuan dan gambaran yang jelas, maka hendaklah kamu berhati-hati daripada bercakap dalam isu tersebut.

Syeikh al-Syanqithi berkata: Allah melarang pada ayat yang mulia ini daripada mengikut seseorang tanpa ada ilmu. (Lihat Adwa’ al-Bayan, 3/145)

Ketiga: Firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَـٰذَا حَلَالٌ وَهَـٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.

Surah al-Nahl (116)

Pengarang al-Kasysyaf berkata: Jangan kamu berkata ini halal dan ini haram berdasarkan sifat lidah kamu yang dusta. Dengan maksud lain, jangan kamu mengharamkan atau menghalalkan semata-mata ucapan lidah kamu yang keluar dari mulut kamu tanpa ada sebarang hujah. (Lihat Tafsir al-Kasyaf, 2/598)

 

Sunnah

Pertama: Daripada Abi Bakrah R.A, Beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

لَا يَقْضِيَنَّ حَكَمٌ بَيْنَ اثْنَيْنِ وَهُوَ غَضْبَانُ

Maksudnya: Jangan seseorang kamu menghukum antara dua orang dalam keadaan sedang marah.

Riwayat al-Bukhari (7158)

Kedua: Daripada Abi Hurairah R.A, Rasulullah SAW:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِالله وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap yang baik atau diam.

Riwayat al-Bukhari (6019), Abu Daud (5156)
dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19158)

Seseorang itu hendaklah berfikir dahulu apabila bercakap tentang hukum sesuatu. Jika dia mengetahui dan mendapat gambar yang jelas, barulah dia bercakap. Sebaliknya jika tanpa mengetahui hakikat sesuatu, lebih baik dia diam, kerana keselamatan itu adalah pada yang diam.(Lihat Hilyah Talib al-Ilmi, hlm. 16)

Justeru, jelaslah bahawa gambaran yang sahih dan pengetahuan yang mendalam bagi setiap cabangan masalah yang diutarakan dalam kajian merupakan asal atau prinsip. Ini kerana mengetahui hakikat sesuatu dan pemahaman dengan segala maknanya dikira perkara asas dalam sesebuah gambaran. Di atas asas ini hendaklah dikias. Benarlah kata Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’adi: Sayugia bagi hakim tidak menghukum dan memutuskan sesuatu sehingga pengetahuan yang mendalam berkenaan dengan hukum syar’ie secara kulliy dan juga juz’iyyah dari semua sisi. Ketika itulah ia akan menjadi elok dan baik serta tepat apabila ia memutuskan sesuatu hukum berdasarkan prinsip dan pertimbangan hukum syarak. (Lihat Bahjah Qulub al-Abrar, hlm. 178)

Ibn Qayyim pernah berkata: Berkenaan dengan mufti, yang amat perlu adalah dalam membina kefahaman. Begitu juga dengan hakim ketika mahu berfatwa atau berhukum dengan sebenar, hendaklah mempunyai dua jenis kefahaman.

Pertama: Memahami waqi’, fiqah dengannya dan mampu istinbat ilmu pada hakikat yang berbetulan dengan semua qarinah, tanda dan alamat sehingga benar-benar menguasai ilmu.

Kedua: Memahami yang wajib pada waqi’ iaitu memahami hukum Allah yang dihukum dengannya dalam kitab-Nya atau lisan Rasul-Nya SAW. Sesiapa yang mendalami serta menekuni syariah dan hukum-hukum yang diputuskan oleh sahabat R.Anhum sudah barang pasti mendapati hal ini, yakni menguasai dua perkara di atas. Sedangkan siapa yang berjalan bukan dengan jalan ini atau manhaj ini nescaya ia akan mengabaikan segala hak orang ramai dengan menisbahkannya kepada syariat yang Allah utus dengannya Rasul-Nya. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/165-166)

Ibn al-Solah berkata: Sesungguhnya seorang yang faqih tidak dianggap faqih kecuali memahami dengan sebenar-benarnya. Ini kerana gambaran sesuatu masalah mengikut wajahnya yang sebenar, kemudian dinukilkan segala hukumnya selepas mendapatkan kesempurnaan gambaran sesuatu itu, sama ada zahir atau yang tersembunyi dan ia tidak mampu dilakukan kecuali orang yang benar-benar faqih dan mempunyai jiwa kefaqihan. (Lihat Adab al-Mufti wa al-Mustafti, 1/37)

Semoga pencerahan berkenaan kaedah ini dapat difahami dengan sebaik mungkin.