Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-68: SIFAT DAN ADAB AL-MUSTAFTI (ORANG YANG MEMINTA FATWA)

IUF 68 1

 

SOALAN

Assalamualaikum. Boleh terangkan sifat dan adab seorang al-mustafti (orang yang meminta fatwa)?

Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Setiap seorang perlu mengetahui hukum-hakam perbuatan yang dilakukan olehnya. Jika dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah dia bertanya kepada seseorang yang berkeahlian bagi menjawab soalan tersebut. Orang yang bertanya itu diistilahkan sebagai mustafti.

Para ulama telah menetapkan sifat dan adab yang perlu dijaga oleh seseorang mustafti bagi menjaga kemuliaan dan kehormatan tugas sebagai seorang mufti. Antaranya hendaklah bertanya dalam keadaan dan situasi yang memuliakan mufti, menggunakan bahasa yang jelas, hadir sendiri bertanyakan kemusykilan sekiranya membabitkan isu peribadi, tidak memperbanyakkan soalan dan sebagainya yang dijelaskan dalam huraian jawapan. Oleh itu, hendaklah kita berusaha menjaga adab dan akhlak apabila bertanyakan sesuatu fatwa kepada para mufti supaya kita mendapatkan keberkatan daripadanya.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama, apa yang dimaksudkan dengan istilah mustafti ialah sepertimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi bahawa:

كل من لم يبلغ دَرَجَة الْمُفْتِي فَهُوَ فِيمَا يسْأَل عَنهُ من الْأَحْكَام الشَّرْعِيَّة مُستفتٍ مقلِّد من يفتيه

Maksudnya: Setiap orang yang tidak mencapai darjat mufti maka dia adalah mustafti yang bertaqlid kepada orang yang memberi fatwa berdasarkan soalan yang ditanya berkaitan dengan hukum-hakam syarak.[1] (Rujuk Adab al-Fatwa al-Mufti wa al-Mustafti, 1:71)

Oleh yang demikian, apa yang dapat difahami daripada penerangan di atas, mustafi ialah seseorang muqallid yang bertanya tentang sesuatu hukum syarak kepada mufti.

Selain itu, seseorang wajib meminta fatwa terhadap sesuatu situasi atau perbuatan yang dia tak tahu tentang hukumnya. Apa yang menjadi tanggungjawab mustafti sebelum bertanyakan soalannya, dia hendaklah memastikan kelayakan dan autoriti orang yang dia bertanya tersebut.[2]

Para ulama telah menetapkan adab-adab yang perlu dijaga dan diamalkan oleh seorang mustafti bagi menjaga kemuliaan dan keagungan tugas seorang mufti.

Antara adab seorang mustafti  ialah sepertimana yang digariskan badan fatwa yang berautoriti iaitu Dar al-Ifta Mesir berikut:

  • Hendaklah dia merasakan bahawa pertanyaan soalan berkaitan dengan hukum syarak merupakan sesuatu perkara yang agung dan mulia di dalam hatinya. Oleh itu, elakkan bertanya kepada para mufti ketika berada di jalanan. Jangan memanggil mufti daripada belakang sebagai satu adab kepadanya.
  • Hendaklah dia berlepas diri terlebih dahulu daripada apa-apa pandangan untuk mencari kebenaran. Dalam masa yang sama juga, hendaklah dia bersedia untuk menerima apa jua hukum syarak yang diputuskan oleh mufti walaupun tidak bertepatan dengan hawa nafsu sendiri. Jika sekiranya tidak bersetuju kerana tidak menepati maka beradablah dalam menerima jawapan. Ini kerana tugas mufti ialah menyampai dan menerangkan hukum Allah SWT berdasarkan ilmunya sama ada hukum itu menepati apa yang diinginkan manusia ataupun tidak.
  • Hendaklah dia bertanya dengan bahasa yang jelas dan mudah difahami dengan tujuan untuk mengetahui hukum syarak. Jika seseorang bertanya sekadar untuk mempersoalkan atau menguji ilmu mufti, maka ilmu yang didengari olehnya itu tidak akan diberkati kerana dia mengunci hatinya untuk menerima kebenaran. Ini sepertimana kata-kata al-Mujahid: “Dua sifat orang yang tidak akan dapat ilmu iaitu, orang yang sangat pemalu dan orang yang bodoh sombong.”
  • Hendaklah dia bertanya secara terus soalan berkaitan hukum syarak dan tidak mencampur-adukkan sesuatu yang bersifat peribadi dalam soalan serta tidak menceritakan tentang masalah masyarakat yang tidak berkaitan dengan soalan tersebut. Hendaklah dia menumpukan soalannya kepada hal yang berkaitan dan apa yang membantu mufti untuk mengeluarkan hukum sahaja untuk tidak membuang masa mufti.
  • Jika sesuatu persoalan yang diwajibkan kehadiran orang yang bertanya, maka tidak boleh diwakilkan kepada orang yang lain untuk bertanya. Contohnya soalan berkaitan lafaz talak, niat, situasi talak tersebut berlaku dan yang berkaitan, maka perlu soalan ditanya terus daripada suami kepada mufti kerana dia bertanggungjawab dalam hal itu. Kemudian apabila suami mendapat jawapan maka dia perlu menyampaikan fatwa tersebut kepada isteri, maka hendaklah isteri membenarkan apa yang diberitahu oleh suaminya tersebut.
  • Jika seseorang mustafti menipu dan mencerita hal yang tidak benar kepada mufti, maka fatwa yang dikeluarkan oleh mufti tersebut tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal baginya. Ini kerana fatwa dikeluarkan berdasarkan soalan yang ditanya oleh seseorang secara zahir dan perkara yang tersembunyi disebalik itu diserahkan kepada Allah SWT. Oleh itu, hendaklah dia bertaqwalah kepada Allah SWT dan takut kepada azab-Nya.
  • Janganlah dia sengaja memperbanyakkan soalan yang ditanya kepada mufti sehingga menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Maka, hendaklah dia menumpukan pertanyaannya kepada persoalan yang utama sahaja dan mencampur-adukkan dengan sangkaan, ramalan, jangkaan dan yang seumpamanya. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.”[3]

Oleh itu, hendaklah kita berusaha menjaga adab dan akhlak apabila bertanyakan sesuatu fatwa kepada para mufti supaya kita mendapatkan keberkatan daripadanya.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1408H, Adab al-Fatwa al-Mufti wa al-Mustafti, Dar al-Fikr, Damsyiq, 1:71.

[2] وَيجب عَلَيْهِ الاستفتاء إِذا نزلت بِهِ حَادِثَة يجب عَلَيْهِ علم حكمهَا فَإِن لم يجد بِبَلَدِهِ من يستفتيه وَجب عَلَيْهِ الرحيل إِلَى من يفتيه وَإِن بَعدت دَاره وَقد رَحل خلائق من السّلف فِي الْمَسْأَلَة الْوَاحِدَة اللَّيَالِي وَالْأَيَّام. الثَّانِيَة يجب عَلَيْهِ قطعا الْبَحْث الَّذِي يعرف بِهِ أَهْلِيَّة من يستفتيه للإفتاء إِذا لم يكن عَارِفًا بأهليته فَلَا يجوز لَهُ استفتاء من انتسب إِلَى الْعلم وانتصب للتدريس والإقراء وَغير ذَلِك من مناصب الْعلمَاء بِمُجَرَّد انتسابه وانتصابه لذَلِك وَيجوز استفتاء من استفاض كَونه أَهلا للْفَتْوَى. (آداب الفتوى والمفتي والمستفتي، ج 1، ص 71)

[3] Rujuk Laman Web Dar al-Ifta’ Mesir (diakses pada 28/1/2022) : https://www.ifta-learning.net/mofti3?page=3