Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-74: KAEDAH DAN PERINGKAT PENGELUARAN FATWA

KAEDAH_DAN_PERINGKAT_PENGELUARAN_FATWA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, di sini saya ada satu permintaan yang mana saya sendiri ingin tahu tentang proses dan tatacara pengeluaran sesuatu hukum dari institusi fatwa. Saya harap pihak Datuk mufti dan asatizah dapat memberikan sedikit penjelasan tentang perkara ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Setiap permasalahan yang memerlukan fatwa dan jawapan hukum daripada mufti perlulah melalui berberapa peringkat serta proses penyelidikan fatwa seperti peingkat al-taswir (gambaran permasalahan), peringkat al-takyif (pengkalsifikasi / pengkategorian), peringkat al-hukm (penentuan hukum) dan peringkat al-Ifta’ (pengeluaran fatwa). Hal ini bagi memastikan setiap permasalahan yang diajukan kepada mufti dan institusi kefatwaan dapat menghasilkan jawapan yang baik dan bertepatan dengan hukum syarak.

 

Huraian Jawapan:

Institusi fatwa merupakan suatu badan yang berperanan dan berautoriti dalam mengeluarkan fatwa bagi menjelaskan isu-isu serta permasalahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam. Oleh itu, amat penting bagi sesuatu fatwa yang dikeluarkan itu benar-benar menjawab isu dan permasalahan serta mengikut kriteria-kriteria kertas hukum dan fatwa.

Justeru, bagi memastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan itu memenuhi standard dan kriterianya yang bersifat sebagai penyelesaian masalah, maka Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai beberapa garis panduan dan prosedur bagi pengeluaran sesuatu fatwa. Perkara ini juga telah dijelaskan melalui artikel rasmi yang bertajuk:

Bayan Linnas Siri ke-179: Metodologi Jawapan Hukum Dan Fatwa Mufti Wilayah. Boleh dirujuk melului pautan ini:

https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/3440-bayan-linnas-siri-ke-179-metodologi-jawapan-hukum-dan-fatwa-mufti-wilayah-persekutuan .

Untuk menjelaskan dengan lebih terperinci lagi berkenaan pengeluaran sesuatu hukum, perlu dijelaskan bagaimana kaedah dan peringkat pengeluaran fatwa di samping memberi penerangan tentang kepentingan fatwa kepada masyarakat.

Fungsi dan Kepentingan Fatwa Terhadap Masyarakat

Telah menjadi tanggungjawab sesebuah institusi fatwa untuk memberi penjelasan hukum dan menyediakan jawapan bagi setiap permasalahan yang berlaku. Hal ini seiring dengan konsep fatwa dalam negara malaysia yang mana ia berperanan sebagai penyelesai masalah dan menjadi rujukan kepada umat Islam Malaysia. Asasnya adalah melalui firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ‎﴿٤٣﴾

Maksudnya: “Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah an-Nahl: 43)

Sheikh Ali al-Sobuni menjelaskan ayat berikut yang mana terdapat perintah Allah SWT kepada golongan Musyrikin Quraisy supaya merujuk ulama yang taurat dan Injil berkenaan perutusan Rasul daripada kaum manusia jika mereka tidak mengetahui perkara yang berkaitan.[1] Oleh yang demikian, firman Allah di atas dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada umat Islam supaya merujuk golongan yang berkelayakan dalam sesuatu perkara yang diragui dan tidak diketahui. Jelaslah bahawa institusi fatwa berfungsi sebagai tempat rujuk dan medium penyelesaian masalah hukum kepada umat Islam.

Peringkat-Peringkat Pengeluaran Fatwa

Dalam mengeluarkan hukum dan fatwa bagi sesuatu isu, setiap permasalahan hendaklah melalui beberapa proses dan peringkatnya. Menurut Sheikh Ali Jum’ah, seorang faqih perlu mengaplikasikan empat peringkat elemen dalam mengemukakan jawapan iaitu, mendapatkan gambaran permasalahan, menganalisis, menjelaskan hukum dan mengemukakan jawapan.[2] Justeru, terdapat 4 peringkat yang akan dilalui iaitu:

  1. Peringkat al-Taswir:(Peringkat gambaran masalah)

Peringkat al-Taswir atau gambaran ini ialah peringkat mufti perlu mendapat gambaran awal bagi sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh mustafti (peminta fatwa).[3] Oleh yang demikian, pada peringkat ini mufti perlu meneliti sesuatu isu dengan mengambil kira beberapa aspek seperti masa, tempat, individu (mustafti) dan suasana. Sebagai contoh, bagi isu yang timbul tersebut berkenaan dengan pengharaman rokok, sebelum isu ini difatwakan ia perlu diteliti dahulu gambaran permasalahannya. Penelitian ini selaras dengan kaedah fikah:

الحكم على الشيء فرع عن تصوره

Maksudnya: “Hukum ke atas suatu perkara berdasarkan gambarannya.”[4]

(Rujuk al-Ijtihad Fi Manat al-Hukm: h280)

Menurut al-Zabidi, kaedah tersebut adalah sebahagian daripada garis panduan ijtihad dalam mendapatkan gambaran hukum secara jelas mengikut keadaan, realiti, peristiwa dan sebab-sebab bagi ijtihad tersebut.[5]

  1. Peringkat al-Takyif (Permbahagian dan Pengkalsifikasi)

Setelah mengenal pasti gambaran bagi sesuatu isu dan permasalahan, isu tersebut akan melalui proses al-Takyif atau proses pengklasifikasi atau pengkategorian masalah mengikut perbahasan fiqh yang sesuai. Dalam peringkat ini sesuatu isu akan diletakkan pada skop permasalahan yang sepadan dengan isunya seperti ibadat, muamalat, jenayah dan lain-lain.[6]

Oleh itu, para mufti perlu memahami dengan jelas tentang isu ini supaya setiap permasalahan yang diajukan dari pihak peminta fatwa dapat diletakkan pada perbahasan yang selayaknya. Dalam contoh permasalahan rokok, perbahasan ini dibincangkan dalam skop pengambilan makanan serta perbahasan yang berkaitan halal dan haram di sisi agama Islam.

  1. Peringkat al-hukm (Peringkat penjelasan hukum)

Peringkat al-hukm atau bayan al-hukm ialah peringkat penjelasan dan penentuan hukum yang mana sesuatu hukum itu akan diletakkan mengikut kaedah dan pendalilan yang betul serta tepat.[7] Dalam peringkat al-hukm ini juga, berlakunya pengumpulan maklumat dan dalil-dalil yang berkaitan dengan sesuatu masalah melalui sumber-sumber yang diiktiraf seperti al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas. Oleh itu, peringkat al-hukm dalam pengharaman rokok ini juga berpandukan dalil-dalil syarak seperti al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas serta kaedah fiqh yang berkaitan. Seterusnya, isu ini dibincangkan bersama jawatankuasa fatwa yang terlibat.

Secara mudahnya, setelah sesuatu isu itu telah mendapat gambaran permasalahan yang jelas serta mengkalsifikasikan masalah mengikut perbahasan yang sesuai. Maka, di peringkat ini ialah peringkat penentuan hukum yang mana suatu permasalahan perlu dinilai dan dibincang berdasarkan sumber-sumber dan dalil-dalil yang sesuai.

  1. Peringkat al-Ifta’ (Peringkat Pengeluaran Fatwa)

Peringkat al-Ifta’ merupakan peringkat akhir dalam proses pengeluaran fatwa setelah suatu permasalahan atau isu tersebut telah melalui peringkat gambaran permasalahan, pengklasifikasian dan penentuan mengikut nas-nas syariat. Kemudian, keputusan dan hasil daripada penyelidikan bagi permasalahan tersebut akan dikemukakan oleh mufti jawapannya kepada mustafti(peminta fatwa).[8] Setiap jawapan dan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti hendaklah mengambil kira aspek nas-nas qat’i, nas-nas syarak yang lain dan prinsip-prinsip maslahah.[9] Sebagai contoh dalam permasalahan rokok, hukum pengharamannya berasaskan kepada larangan memudaratkan diri sepertimana yang terdapat dalam nas dan keputusan ini perlu difatwakan. Hal ini supaya fatwa yang dikeluarkan nanti bersesuaian dengan realiti dan bersifat sebagai penyelesaian masalah.

Kesimpulan:

Setiap permasalahan yang memerlukan fatwa dan jawapan hukum daripada mufti perlulah melalui berberapa peringkat serta proses penyelidikan fatwa seperti peingkat al-taswir (gambaran permasalahan), peringkat al-takyif (pengkalsifikasi / pengkategorian), peringkat al-hukm (penentuan hukum) dan peringkat al-Ifta’ (pengeluaran fatwa). Hal ini bagi memastikan setiap permasalahan yang diajukan kepada mufti dan institusi kefatwaan dapat menghasilkan jawapan yang baik dan bertepatan dengan hukum syarak. Wallahu A’lam..

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Sobuni, Muhammad ‘Ali. (1997). Safwat al-Tafasir. Cetakan 1, Kaherah: Dar al-Sobuni. Jilid 2 hlm: 228.

{فاسألوا أَهْلَ الذكر إِن كُنْتُم لاَ تَعْلَمُونَ} أي اسألوا يا معشر قريش العلماء بالتوارة والإِنجيل يخبرونكم أن جميع الأنبياء كانوا بشراً إن كنتم لا تعلمون ذلك

[2] Ali Jum’ah Muhammad, (2005). AL-Kalim al-Tayib Fatawa ‘Asriyyah. Dar al-Salam. Hlm 3.

وتعد أول درجات التفكير عند الفقيه: تصور السؤال الموجه إليه، ثم تكييفه، ثم الحكم، ثم الإجابة عليه.

[3] https://www.ifta-learning.net/mofti223?page=13 di akses pada: 28/2/2022

[4] Al-Zabidi, Balqasim bin Zakir bin Muhammad. 1435H/2014M. Al-Ijtihad fi Al-Manat al-Hukm Al-Syar’i. Markaz al-Takwin. Cetakan 1. H588.

[5] Ibid. Teks Asal: من ضوابط الاجتهاد في تحقيق المناط التصوُّر التام للواقعة , ومعرفة حقيقتها , ومكوناتها, وأسبابها

[6]http://eprints.usm.my/29095/1/Aplikasi_Proses_Penfatwaan_Dalam_Kaedah_Penyelidikan_Berteraskan_Islam.pdf: 10/5/2022.

[7] https://jfatwa.usim.edu.my/index.php/jfatwa/article/view/95/77 diakses pada: 10/5/2022.

[8] https://jfatwa.usim.edu.my/index.php/jfatwa/article/view/95/77 diakses pada: 10/5.2022.

[9] Ibid