Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya, sebahagian orang bermudah-mudah dalam membidaahkan amalan seperti tahlil, maulid dan membaca Yasin pada malam Jumaat dengan alasan bahawa asal setiap perkara yang berkait dengan ibadah adalah haram. Adakah kaedah ini benar dan jika benar bagaimana cara untuk memahaminya?
Ringkasan Jawapan
Antara kaedah yang masyhur di kalangan ulama seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Imam Shamsuddin al-Ramli adalah:
“Hukum asal bagi ibadah adalah terhenti kepada dalil”.
Walau bagaimanapun kaedah ini tidak boleh digunakan untuk bermudah-mudah dalam membidaahkan amalan umat Islam. Kaedah ini perlulah difahami dengan neraca ilmu Usul Fiqh yang benar berpandukan dalil al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias.
Kaedah ini berkait rapat dengan perbincangan ulama usul al-Fiqh sama ada adakah qias boleh digunakan dalam bab ibadat atau tidak? Para ulama berbeza pandangan dalam masalah ini namun secara praktikalnya majoriti ulama menerima qias di dalam bab ibadat. Mengharuskan qias digunakan dalam bab ibadat tidak bermakna sesiapa sahaja boleh mereka-reka ibadat baharu atau menambah perkara yang telah menjadi ijmak di kalangan ulama seperti bilangan rakaat dalam solat fardu.
Qias merupakan salah satu asas dalil yang digunakan oleh ulama Ahli Sunnah Wa al-Jamaah dan memiliki syarat-syarat yang ketat. Ibadat yang disyariatkan hanya atas asas taabudi iaitu perintah atau larangan Allah SWT yang wajib ditaati meskipun tidak diketahui alasannya tidak boleh digunakan qias. Manakala bidaah yang tertolak pula ialah perkara yang menyanggahi syarak atau tidak memiliki mana-mana asas dalil syarak yang umum dan kaedah-kaedah agama.
Huraian Jawapan
Secara mudahnya kaedah fiqh ialah suatu kaedah umum yang bersifat menyeluruh ataupun kebiasaan (aghlabi, yang mana daripadanya kita dapat mengetahui hukum-hakam bagi cabang-cabang yang berkaitan dengannya. Kami telah menjelaskan berkenaan maksud kaedah fiqh dalam artikel yang bertajuk Irsyad Usul Fiqh Siri Ke-6: Perbezaan di Antara Usul Feqh dan Kaedah Feqh[1].
Antara kaedah yang disebutkan oleh para ulama ialah “Hukum asal bagi segala ibadah adalah haram atau dilarang”. Namun kaedah tersebut sering digunakan untuk membidaahkan amalan-amalan yang menjadi perselisihkan di kalangan ulama. Kebanyakan para ulama ketika menyatakan kaedah asal hukum berkaitan ibadah mereka akan menggunakan lafaz:
الْأَصْلُ فِي الْعِبَادَةِ التَّوَقُّفُ
Maksudnya: “Hukum asal berkaitan ibadah adalah terhenti kepada dalil (tawaqquf).[2]”
Selain itu, Imam Shamsuddin al-Ramli dalam kitab Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan turut menggunakan lafaz yang hampir serupa[3]. Imam Ibn Daqiq al-‘Ied ketika menjelaskan kaedah ini berkata bahawa hal ini kerana kebanyakan ibadat adalah berbentuk taabudi iaitu perintah atau larangan Allah SWT yang wajib ditaati meskipun tidak diketahui alasannya[4]. Ia tidak lain hanyalah sebagai ujian kepada orang beriman sama ada mereka mentaati perintah tersebut atau tidak. Antara contoh bentuk taabudi adalah bilangan rakaat sembahyang dan menyapu di atas khuf.
Imam al-Syatibi pula menjelaskan bahawa asal ibadah adalah taabudi, tanpa melihat kepada alasan-alasannya. Manakala hukum asal perkara yang berkaitan dengan urusan kehidupan seharian pula hendaklah melihat kepada sebab dan alasan. Hal ini demikian berdasarkan pemerhatian beliau terhadap perintah-perintah Allah SWT dalam perkara ibadah seperti pergerakan dalam sembahyang, menghilangkan najis mesti menggunakan air sekalipun boleh menggunakan selain air dan begitulah dalam urusan ibadat yang lain[5].
Daripada penerangan tersebut dapat difahami bahawa kaedah “hukum asal bagi segala ibadah adalah haram atau dilarang” bukanlah digunakan dalam semua keadaan tetapi hanyalah secara kebiasaan sahaja. Para ulama turut membincangkan perkara ini dalam perbahasan qiyas yang mana ulama berbeza pandangan sama ada adakah qias boleh berlaku dalam perkara berkaitan ibadah atau tidak.
Hukum Menggunakan Qiyas dalam Ibadah
1. Ulama mazhab Hanafi berpandangan bahawa qiyas tidak boleh digunakan pada usul ibadah. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh salah seorang ulama mazhab Hanafi iaitu Syeikh al-Ala’ dengan katanya:
اختلف الناس في إثبات أصول العبادات وغيرها من المقدرات، كالحدود والكفارات، بالقياس:فـذهب الكرخي وجملة من المتكلمين- إلى المنع منه. وحكاه الكرخي عن أبى حنيفة
Maksudnya: “Ulama berbeza pandangan dalam menetapkan prinsip-prinsip asas ibadah dan yang lainnya seperti penentuan kadar, hudud dan kaffarah menggunakan qias. Syeikh al-Karkhi dan sekumpulan ulama ahli kalam melarangnya dan ini merupakan pendapat yang diriwayatkan oleh beliau daripada Imam Abu Hanifah[6].”
2. Manakala ulama mazhab Syafi’i pula membenarkan qiyas dalam bab ibadah. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Isnawi dalam kitabnya Nihayah al-Sul:
الصحيح وهو مذهب الشافعي كما قاله الإمام أن القياس يجري في الشرعيات كلها، أي: يجوز التمسك به في إثبات كل حكم حتى الحدود والكفارات والرخص والتقديرات إذا وجدت شرائط القياس فيها،
Maksudnya: “Pandangan yang kuat dan ia pandangan mazhab Syafi'i sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Baidawi, qiyas boleh berlaku dalam semua perkara berkaitan hukum, hal ini bermaksud: dibenarkan untuk melakukan qisas dalam semua hukum termasuklah hudud, kaffarah, rukhsah dan ketetapan kadar, jika syarat-syarat qiyas dipenuhi[7].”
Contoh-Contoh Qias dalam Ibadat
Menurut Syeikh Abdul Malik Sa’di, pandangan yang melarang untuk menggunakan qiyas dan ijtihad secara mutlak dalam bab ibadah tidak tepat. Antara contoh penggunaan qiyas dalam ibadah adalah perbuatan Usman RA yang menambah azan solat Jumaat. Beliau memahami bahawa sebagaimana ketika solat Subuh azan yang pertama bertujuan untuk mengejutkan orang ramai maka begitulah perlunya ditambah azan pertama bagi menyedarkan orang ramai yang sedang leka di pasar[8].
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Sa’ib bin Yazid RA bahawa beliau berkata:
كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رضى الله عنهما ـ فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ ـ رضى الله عنه ـ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ
Maksudnya: “Seruan azan pertama pada hari Jumaat pada awalnya dikumandangkan apabila imam di atas mimbar ketika zaman Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar R.Anhuma. Kemudian pada zaman Usman RA, manusia semakin ramai, maka beliau menambah seruan azan ketiga (termasuk azan dan iqamah yang sedia ada) di pasar-pasar.”
(Riwayat al-Bukhari)
Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan hadis di atas dengan katanya bahawa sesuatu yang tidak ada pada zaman Nabi SAW adalah bidaah namun bidaah terbahagi kepada hasanah (baik) dan ada yang mazmumah (tercela). Penambahan azan Jumaat yang dilakukan oleh Saidina Usman RA bertujuan untuk memberitahu umat Islam tentang masuknya waktu solat dengan mengqiyaskan azan dengan solat fardhu yang lain. Dalam masa yang sama, beliau mengekalkan azan seperti yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW iaitu azan ketika khatib berada di atas mimbar. Hal ini berdasarkan sebuah kaedah fiqh[9]:
استنباط معنى من الأصل لا يبطله
Maksudnya: “Mengeluarkan illah daripada hukum yang asal tanpa membatalkannya[10].”
Dakwaan bahawa apa yang dilakukan oleh Saidina Usman RA hanyalah khusus untuknya adalah tidak tepat kerana Saidina Usman RA bukanlah seorang yang menerima wahyu sebagaimana Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi dengan qiyas yang dilakukan oleh majoriti ulama dalam bab ibadah seperti:
- Ulama mewajibkan untuk bertayamum dengan menyapu tanah sehingga ke siku kerana mengqiyaskan kepada anggota wuduk.
- Mengatakan bahawa hukum solat sunat sebelum Jumaat adalah sunat muakkad (yang dituntut) dengan mengqiyaskan kepada solat sunat sebelum zuhur.
- Mengqiyaskan kesucian baki jilatan kucing dengan baki jilatan tikus bahawa kedua-duanya adalah haiwan yang berkeliaran.
- Ulama mazhab Syafi’i mengatakan batalnya wuduk kerana menyentuh faraj dengan mengqiyaskan kepada menyentuh lingkaran lubang dubur.
- Ulama mazhab Maliki dan Hanbali tidak menganggap sakit sebagai pemutus kepada syarat berturut-turut yang disyaratkan dalam puasa dua bulan berturut-turut pada bab kafarah puasa[11].
Maksud Bid’ah yang Tercela dalam Ibadat
Hal ini tidak bermakna sesiapa sahaja boleh mereka-reka ibadah sesuka hati. Maksud bid'ah yang dilarang dalam agama adalah perkara baru yang bercanggah dengan al-Quran, Hadis, athar (sesuatu yang disandarkan kepada nabi SAW atau para sahabat dan sebagainya) atau ijmak sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syafi’i[12]. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “Sesiapa yang mereka-reka perkara baru dalam urusan (agama) kami, yang tidak berasas daripadanya, maka ia tertolak.”
Ibn Hajar al-Haitami ketika menjelaskan makna “tidak berasas daripadanya” beliau berkata bahawa bidaah yang tertolak itu adalah perkara yang menyelisihi agama atau perkara yang tidak ada petunjuk daripada kaedah-kaedah atau dalil-dalil umum agama[13].
Berkaitan dengan amalan seperti tahlil, maulid dan membaca Yasin pada malam Jumaat, meskipun ia tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW namun terdapat dalil-dalil umum yang mengisyaratkan keharusannya di samping tidak ada mana-mana nas yang melarangnya. Sebagai contoh, antara dalil keharusan untuk menyambut maulid adalah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا، يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ؟ فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، أَنْجَى اللهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ، وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ، فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا، فَنَحْنُ نَصُومُهُ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW datang ke Madinah dan mendapati orang Yahudi sedang berpuasa pada hari Asyura’, lalu Nabi SAW bertanya kepada mereka: Mengapakah kamu berpuasa pada hari ini? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang agung di mana Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya serta Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Kemudian Nabi Musa AS berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda syukur. Disebabkan itu kami pun turut berpuasa. Maka Nabi SAW bersabda: Kami lebih berhak dan utama mengikut Nabi Musa berbanding kamu. Dengan itu, Rasulullah SAW berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.”
(Riwayat Muslim)
Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani tatkala ditanyakan mengenai hukum menyambut maulid, beliau menjelaskan bahawa hadis di atas merupakan dalil yang thabit berkenaan asas kepada menyambut maulid Nabi SAW. Beliau juga menjelaskan bahawa asal peringatan maulid adalah bidaah yang tidak pernah dilakukan oleh salaf yang hidup pada tiga kurun yang pertama. Walau bagaimanapun sambutan maulid Nabi SAW mengandungi perkara kebaikan dan yang sebaliknya. Sesiapa yang memilih untuk melakukan perkara yang baik sahaja dalam menyambutnya di samping menghindari perkara yang maksiat dan dosa maka sambutan maulid adalah termasuk dalam bidaah hasanah (perkara baharu yang baik)[14].
Kesimpulannya
Oleh itu, antara kaedah yang masyhur di kalangan ulama seperti Ibn Hajar al-Asqalani dan Shamsuddin al-Ramli adalah “hukum asal bagi ibadah adalah terhenti kepada dalil”. Walau bagaimanapun kaedah ini tidak boleh digunakan untuk bermudah-mudah dalam membidaahkan amalan umat Islam. Kaedah ini perlulah difahami dengan neraca usul al-Fiqh yang benar berpandukan dalil al-Quran, hadis, ijmak dan qias.
Kaedah ini berkait rapat dengan perbincangan ulama usul al-Fiqh berkaitan adakah qias boleh digunakan dalam bab ibadah? Para ulama berbeza pandangan dalam masalah ini namun secara praktikalnya majoriti ulama menerima qiyas di dalam bab ibadah. Mengharuskan qiyas digunakan dalam bab ibadah tidak bermakna sesiapa sahaja boleh mereka-reka ibadat baharu atau menambah perkara yang telah menjadi ijmak di kalangan ulama seperti bilangan rakaat dalam solat fardhu.
Qiyas merupakan salah satu asas dalil yang digunakan oleh ulama Ahli Sunnah Wa al-Jamaah dan memiliki syarat-syarat yang ketat. Ibadat yang disyariatkan hanya atas asas taabudi iaitu perintah atau larangan Allah SWT yang wajib ditaati meskipun tidak diketahui alasannya tidak boleh lakukan qiyas ke atasnya. Manakala bidaah yang tertolak pula ialah perkara yang menyanggahi syarak atau tidak memiliki mana-mana asas dalil syarak yang umum dan kaedah-kaedah agama.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Lihat: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/1403-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-6-perbezaan-di-antara-usul-feqh-dan-kaedah-feqh
[2] Ibn Hajar al-Asqalani (1390H) Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 3:54.
[3] Syamsuddin al-Ramli (t.t) Ghayah al-Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan, Beirut: Dar al-Makrifah, 79.
[4] Ibn Daqiq al-‘Ied (1987) Ihkam al-Ahkam Syarh Umdah al-Ahkam, Beirut: Dar Alami al-Kutub, 1:200.
وَقَرِيبٌ مِنْ ذَلِكَ: أَنْ تَكُونَ الْعِبَادَةُ مِنْ جِهَةِ الشَّرْعِ مُرَتَّبَةً عَلَى وَجْهٍ مَخْصُوصٍ. فَيُرِيدُ بَعْضُ النَّاسِ: أَنْ يُحْدِثَ فِيهَا أَمْرًا آخَرَ لَمْ يَرِدْ بِهِ الشَّرْعُ، زَاعِمًا أَنَّهُ يُدْرِجُهُ تَحْتَ عُمُومٍ. فَهَذَا لَا يَسْتَقِيمُ؛ لِأَنَّ الْغَالِبَ عَلَى الْعِبَادَاتِ التَّعَبُّدُ، وَمَأْخَذُهَا التَّوْقِيفُ.
[5] Abu Ishak al-Syatibi (1997) al-Muawafaqat, Qaherah: Dar Ibn Afan, 2:513.
الأصل في العبادات بالنسبة إلى المكلف التعبد دون الالتفات إلى المعاني ، وأصل العادات الالتفات إلى المعاني . أما الأول ; فيدل عليه أمور : منها الاستقراء ; فإنا وجدنا الطهارة تتعدى محل موجبها ، وكذلك الصلوات خصت بأفعال مخصوصة على هيئات مخصوصة ، إن خرجت عنها لم تكن عبادات ، ووجدنا الموجبات فيها تتحد مع اختلاف الموجبات ، وأن الذكر المخصوص في هيئة ما مطلوب ، وفي هيئة أخرى غير مطلوب ، وأن [ ص: 514 ] طهارة الحدث مخصوصة بالماء الطهور وإن أمكنت النظافة بغيره ، وأن التيمم - وليست فيه نظافة حسية - يقوم مقام الطهارة بالماء المطهر ، وهكذا سائر العبادات ; كالصوم ، والحج ، وغيرهما
[6] Al-Ala’ Muhammad bin Abdul Humaid al-Asmandi (1996) Bazl al-Nazar fi al-Usul, Qaherah: Maktabah al-Thurast, 623.
[7] Jamaluddin al-Isnawi (1999) Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 315.
[8] Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di (2014) al-Bidaah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, Aman: Nur al-Mubin, 54
[9] Ibn Hajar al-Asqalani (1390H) Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 2:394.
وكل ما لم يكن في زمنه يسمى بدعة ، لكن منها ما يكون حسنا ومنها ما يكون بخلاف ذلك . وتبين بما مضى أن عثمان أحدثه لإعلام الناس بدخول وقت الصلاة قياسا على بقية الصلوات فألحق الجمعة بها وأبقى خصوصيتها بالأذان بين يدي الخطيب ، وفيه استنباط معنى من الأصل لا يبطله
[10] Ibid.
[11] Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di (2014) al-Bidaah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, Aman: Nur al-Mubin, 54
[12] Abu Bakar Ahmad al-Baihaqi (2017) al-Madkhal ila Ilm al-Sunan, Beirut: Dar al-Minhaj, 2:633.
المحدَثاتُ من الأمور ضربان: أحدهما: ما أُحدثَ يخالف كتابًا أو سنةً أو أثرًا أو إجماعًا، فهذه البدعة الضلالة
[13] Ahmad bin Muhammad bin Hajar al-Haitami, al-Fath al-Mubin bi Syarh al-Arba’in, Lubnan: Dar al-Minhaj, 1:221.
مِمَّا يُنَافِيهِ أو لَا يَشْهَدُ لَهُ شَيْءٌ مِن قَوَاعِدِهِ وأَدِلَّتِهِ العَامَّة
[14] Jalal al-Din al-Suyuti (2004) al-Hawi li al-Fatawi, Beirut: Dar al-Fikr, 1:229.
أصل عمل المولد بدعة، لم تنقل عن السلف الصالح من القرون الثلاثة، ولكنها مع ذلك اشتملت على محاسن وضدها، فمن تحرى في عملها المحاسن وتجنب ضدها كانت بدعة حسنة، وقد ظهر لي تخريجها على أصل ثابت، وهو ما ثبت في الصحيحين من أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قدم المدينة فوجد اليهود يصومون يوم عاشوراء فسألهم، فقالوا: هو يوم أغرق الله فيه فرعون، ونجى موسى، فنحن نصومه شكرا لله،